DOLLA SEMAKIN BERANI! TAMPIL DENGAN MUZIK ANIMASI!

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2021 – Kehadiran ‘band girl’ Dolla semakin diterima baik dan mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan. Dari single pertama mereka, Dolla Make You Wanna kumpulan dianggotai empat wanita ini berjaya mencipta fenomena.

Bakat dan keunikan yang dimiliki Dolla sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang melihat kemunculan mereka ini hanya sekadar ‘menjual’ rupa dan penampilan semata-mata. 

Namun, siapa sangka sangkaan itu meleset berdasarkan beberapa pencapaian yang diraih menerusi beberpa single yang dilancarkan selepas itu. Malah, single Raya Raya Raya yang dilancarkan sempena sambutan Aidilfitri lalu menjadi siulan ramai selain trending di YouTube dan pelantar muzik digital.

Tidak mahu membiarkan peminat ternanti-nanti apa lagi kelainan yang bakal ditampilkan, Dolla yang dianggotai Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo); Tabitha Ariel Lam (Tabby); Angelina Chai Ka Ying (Angel); dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya) muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul BERANI.

Sabronzo, 26, yang mewakili Dolla berkata, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu sedikit berbeza daripada kebanyalan single mereka sebelum ini.

“Dari ‘teaser’ yang Dolla sudah muat naik di Instagram, boleh dengar yang instrumental lagu ini memang lain. Malah, ‘vibe’ dan genre juga lain daripada lagu yang Dolla buat sebelum ini. Dalam erti kata lain, kali ini kita buat ia perlahan sedikit.

Mungkin peminat Dolla akan tertanya-tanya kenapa single kali ini berbeza dari segi susunan muzik. Bagi saya, Dolla juga nak tunjukkan sisi lain yang selama ini ramai tidak tahu terutamanya dalam muzik ini. Paling penting, kami mahu buktikan Dolla juga versatil sebagai grup M-Pop,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai single BERANI itu, Dolla pernah muncul menerusi telefilem yang mengisahkan kehidupan mereka iaitu Dolla Watch Me Glow berkata, lagu BERANI mengisahkan mengenai pemerkasaan wanita melalui sistem sokongan.

“Lagu BERANI ini ditujukan kepada wanita dan mahu mengangkat martabat wanita itu menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan. Pada zaman ini, seseorang wanita sudah perlu keluar dari segala ketakutan dengan menggantikannya dengan berani dan menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidak takut, dia berani dan berdikari. Wanita perlu berani.”

“Jadi, jelas tema yang ingin disampaikan dan diketengahkan menerusi lagu ini adalah semangat dan membangkitkan keberanian dalam diri wanita. Bukan apa, hari ini masih ramai wanita yang takut untuk berubah kerana berasakan diri mereka lemah. Disebabkan itu, wanita perlu sentiasa ada sokongan yang kuat dari orang sekeliling,” katanya.

Bagi Sabronzo juga, tema yang diketengahkan dalam lagu BERANI itu ditujukan khas buat peminat setia mereka yang sudah banyak memberikan sokongan dari awal kemunculan Dolla.”

“Jadi apa yang membuatkan lagu ini istimewa adalah Dolla menjadikan lagu BERANI ini sebagai lagu dedikasi buat seluruh peminat kami yang digelar iDolla yang sudah setia memberikan sokongan dan sentiasa berada bersama kami. 

“Itu sudah cukup memberikan motivasi dan inspirasi kepada kami untuk terus berjaya dan memberikan yang terbaik dalam bidang muzik ini.

“Jadi, harapan Dolla adalah semoga iDolla dan peminat muzik tempatan boleh menghargai dan ‘enjoy’ dengan lagu BERANI ini. Paling penting juga harapnya pendengar dapat menerima sisi lain Dolla dalam lagu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabronzo mengakui Dolla teruja untuk kembali memeriahkan industri muzik tanah air selepas semua aktiviti seni dan persembahan dibenarkan beroperasi.

“Sekarang Dolla memang sudah ada merancang untuk membuat persembahan secara langsung untuk beberapa acara. Jadi, kami sangat teruja sebab dapat membuat persembahan semula untuk semua. Dalam masa sama, menerusi lagu BERANI ini kami boleh fokus dari segi vokal.

“Selain itu, buat masa sekarang kami mahu memberi fokus pada lagu BERANI ini dahulu dan dalam masa sama ada lagu baru lain yang sedang dalam proses pembikinan,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai video muzik (MV) BERANI yang diarahkan oleh Thaqif Saadon itu, Sabronzo berkata terdapat beberapa faktor yang menjadikan MV ini lain daripada yang lain.

“Pertama adalah pengunaan medium animasi dalam mengambarkan Dolla dalam suatu alam yang berbeza. Dengan masa yang diberikan, kami sepenuh tenaga mengumpulkan segala kudrat untuk menghasilkan MV yang kami percaya akan mengangkat martabat MV berkonsepkan animasi kepada aras yang lebih tinggi.”

“Dari segi teknikal juga, kami mengaplikasikan beberapa teknik baharu dalam membolehkan dan membuka kunci kepada apa yang kami ingin sampaikan dari imaginasi kami ke dalam bentuk visual. Perkara itu adalah pengunaan Projeksi 2D ke atas bahan 3D membolehkan kami melakukan adengan dan juga animasi yang kami tidak boleh sebelum ini.”

Ketika Video Call Sesi Sidang Media Kumpulan DOLLA - BERANI Single (MUZIK VIDEO) 2021 Dilancarkan secara ZOOM bersama Rakan Media bersama Universal Music Malaysia pada Hari Ini.

“Dari segi penyampaian cerita juga, kami cuba yang terbaik untuk menyampaikan suatu cerita fantasi yang bergantung kepada penonton untuk huraikan dan impretasikan diri mereka sendiri,” katanya.

Sabronzo berkata, MV BERANI mengambil masa dua bulan untuk disiapkan di mana tempoh sebulan diambil bagi produksi untuk menghasilkan MV ini.

“Perancangan bagi MV ini adalah mengikut prosedur yang kami tetapkan di dalam cara pembikinan dalaman kami sendiri. Ia boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pra produksi, produksi dan post produksi. Pada peringkat pra produksi adalah fasa yang merangkumi Storyboard, Character Design, Background Design dan sebagainya. Dasarnya adalah untuk mengorak langkah dengan teliti dari adegan kepada adegan yang seterusnya untuk memastikan kejayaan projek.”

“Fasa produksi pula merangkumi animasi, lukisan latar belakang, penyediaan asset 3D dan lain-lain. Ia diakhiri dengan pemeriksaan kualiti oleh pihak yang bertangungjawab sebelum aset itu dibawa ke peringkat seterusnya.”

“Pada proses akhir ini adalah pengumpulan ke semua aset untuk visual yang terakhir. Mereka juga bertangungjawab dalam mencantikkan dan membolehkan visua dan warna-warna di dalam MV ke tahap yang terbaik. Kemudian mereka akan ‘export’ MV di dalam format yang ditetapkan sebelum dihantar untuk pemeriksaan terakhir kepada klien,” katanya.

Apa yang pasti, besar harapan Dolla agar lagu dan MV BERANI ini diterima baik peminat. 

“Secara keseluruhan seramai lapan orang terbabit dalam pembikinan MV ini. Mereka terdiri daripada kerjasama bersama Atypical Visual dengan Studio Firepulse; Atypical Visual: pengarah Thaqif Saadon; penerbit Zulfadhli dan dari Studio Firepulse (3D and BG department) Hakeem Roshdi, Amirul Najihan, (2D department) Imran Mansur, Nabila Nazmi, Syazwina Ali, dan Sabrina Sofiadin.




“Harapan Dolla agar industri animasi dan juga MV ini dapat berkembang lebih besar dan maju. Ia hanya dapat dicapai jikalau penonton terus menyokong, dan berikan kami peluang untuk membuktikan yang Malaysia juga mempunyai daya tenaga untuk mencipta MV aras antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, pada Mei lalu, Dolla menerima penghargaan daripada Samsung apabila wajah mereka telah diabadikan sebagai lukisan mural yang terletak di Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur.

Dengan ini, pihak Universal Music Malaysia ingin mengumumkan single terdahulu Impikan Berjaya mendapat Anugerah Platinum berdasarkan jualan strim mereka melebih RM200,000 di Malaysia.

Perkembangan lain, Dolla menjadi artis ketiga tanah air muncul di Billboard New York Times Square pada 20 September lalu. Dalam masa sama, Dolla turut dilantik sebagai antara duta Spotify equal SGMY.

Single BERANI yang turut mendapat sentuhan John Jeeves selaku penerbit dan penggubah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital pada 24 September 2021 ini. Serentak itu, video muzik boleh boleh ditonton di saluran YouTube Dolla VEVO.

Post a Comment

0 Comments