KARYAWAN BAGI RPM 3 BULAN UNTUK SELESAI ISU ROYALTI


KUALA LUMPUR, 28 September 2021 - Persatuan Karyawan Malaysia bersedia memberi masa tempoh 3 bulan kepada pengurusan RPM Bhd untuk selesaikan masalah royalti tertunggak sebanyak RM 11 juta yang melibatkan Jabatan Insolvensi selain mengagihkan duit royalti dalam akaun bank RPM sebanyak RM 26 juta. Mereka sudah membazirkan 9 bulan tanpa lakukan apa-apa kerja pengagihan dan apabila melihat ketidakpuasan di kalangan ahli hanya ambil jalan mudah dengan mengagihkan satu jumlah kecil sama rata kepada semua ahli.

Jika Karyawan tidak lihat apa-apa perkembangan dalam perkara tersebut Karyawan akan teruskan dengan usaha untuk minta satu Mesyuarat Agung Luar Biasa dianjurkan dimana resolusi sudah diperolehi dari ahli untuk minta ahli lembaga pengarah letak jawatan dengan serta merta.

“Kami hanya perlukan beberapa tandatangan sahaja lagi dari ahli untuk lakkukan demikian tetapi akan  berikan masa kepada ahli lembaga pengarah untuk selesaikan masalah royalti antara ahli RPM dan Prism Bhd, di mana sejumlah besar wang masih berada dalam kawalan Jabatan Insolvensi dan tidak dapat diagihkan kepada ahli kedua-dua badan itu. Pada masa yang sama saya harap semua ahli Prism yang layak mendapat royalti akan diberi peluang mendaftar sebagai ahli RPM dan pengurusan RPM pula akan mengambil berat tentang soal ini” kata Datuk Freddie Fernandez, President Persatuan Karyawan Malaysia.

“Duit yang ada dalam kawalan Jabatan Insolvensi itu tidak termasuk hampir RM 26 juta lagi yang patut diagihkan kepada ahli RPM hasil dari kutipan MRM dari tahun 2017 hingga 2019. Kami ingin melihat apakah tindakan ahli lembaga pengarah untuk mengagihkan royalti itu dan sekiranya gagal membuat sesuatu kami akan bertindak” ujarnya.

“Masa goyang kaki dan tunggu orang lain buat kerja sudah berakhir. Sekarang pengurusan RPM kena turun padang dan membuat kerja-kerja yang diperlukan. Langkah yang pertama yang harus dilakukan ialah untuk menambah kakitangan untuk melakukan kerja-kerja kutipan dan pengagihan.

Empat kakitangan yang sedia ada sudah pasti tidak mencukupi dan mencerminkan betapa jahilnya pengurusan RPM apabila mengharapkan empat kakitangan melakukan tugas seberat itu, sedangkan badan lain ada lebih 30 kakitangan untuk lakukan kerja-kerja yang sama” katanya.

Datuk Freddie memberi ulasan ini selepas  Mesyuarat Agung Tahunan RPM yang baru berlangsung pada Isnin 27 September  di mana pengurusan RPM yang diketuai oleh Datuk Sheila Majid telah janji pertingkatkan usaha dan perbaiki prestasi untuk lakukan kerja-kerja yang diperlukan untuk menjaga hal kutipan serta pengagihan bagi pihak ahli yang berdaftar.

“Pihak kami akan melihat dan memantau prestasi mereka. Jika tiada sebarang perubahan dalam tiga bulan ini kami akan bertindak” kata Freddie secara tegas.

Post a Comment

0 Comments