SUNWAY PYRAMID PERKENAL SISTEM INTERNET TANDAS YANG SULUNG DI MALAYSIA SEBAGAI USAHA DIGITALISASINYA


Implementasi sistem tandas pintar ini akan menaik taraf pengurusan menggunakan data yang dikumpul melalui pelbagai sensor dan monitor
Pengguna boleh memberi maklum balas tentang kebersihan tandas dan pengalaman mereka, lantas memudahkan pengurusan tandas dalam masa nyata   

Kuala Lumpur, 7 Disember 2021 – Sunway Pyramid bakal memperkenalkan sistem Internet Tandas atau Internet of Toilet (IoT) yang akan menyaksikan pusat beli-belah ini beralih daripada sistem bilik air konvensional kepada sistem pengurusan yang lebih efisien untuk membekalkan pengalaman yang lebih terhubung lagi lancar buat pengguna dan juga penyelia.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah Sunway Pyramid untuk mentransformasikan pelbagai aspek pusat beli-belah ini secara digital, ia menyusuli usaha digitalisasi mereka yang terdahulu, termasuk ketika pandemik dan perintah berkurung. Sebelum ini, Sunway merupakan yang pertama di Lembah Klang memperkenalkan Parkir Pintar Sunway (Sunway Smart Parking) bagi mendorong penerimagunaan sistem tanpa tiket dan tanpa tunai di kawasan parkir, serta Hab Jalinan Pengguna (Customer Engagement Hub) untuk menangani keperluan pengguna masa kini melalui pelbagai saluran walau di mana jua mereka berada.


Menerusi kerjasama dengan pakar prasarana yang berpangkalan di Singapura, Rigel Technology, sistem tandas pintar yang baharu ini akan membantu mengoptimumkan prestasi dan efisiensi tandas komersial dengan memanfaatkan sistem IoT menerusi pengumpulan data. Sistem yang diperkenalkan oleh Rigel ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan Singapura merupakan satu-satunya lokasi yang boleh didapatinya setakat ini. 

Bagi kerja penyenggaraan tandas konvensional, penyelia perlu berhadapan dengan cabaran seperti prestasi kebersihan serta pelbagai kerosakan yang mungkin tidak dapat disampaikan dengan efektif kepada juruteknik, lantas menjurus kepada pengalaman yang kurang menyenangkan buat pengguna.


Masalah ini boleh diatasi dengan sistem IoT yang akan memberi manfaat dari segi pengalaman pengguna, kelestarian, selain menjimatkan kos. Dengan meletakkan kelestarian sebagai teras utama bagi perniagaan serta komunitinya, Sunway giat mencari kaedah inovatif yang baharu seperti ini untuk melahirkan pengalaman bertaraf tingi buat para pelanggan – lantas mereka mengambil bahagian dalam pelaksanaan teknologi baharu tersebut yang akan mula digunakan di Sunway Pyramid pada bulan ini.

Jason Chin, Pengurus Besar Sunway Pyramid berkongsi, “Sunway sejak sekian lama menjulang konsep bandar pintar serta perbandaran lestari. Langkah kami ke sistem IoT memenuhi konsep ini yang mencakupi sebuah visi holistik, turut melangkaui kepentingan yang bukan sahaja berpaksikan kemesraan alam semata-mata. Lagi satu aspek terletak dalam penaiktarafan pengalaman buat para pelanggan, yang diterjemahkan kepada pembekalan kemudahan yang terbaik serta pengurusan fasiliti berprestasi tertinggi. Itulah harapan kami dengan IoT


Pengenalan IoT ini membolehkan tenaga pengurusan pusat beli-belah ini menyingkap fungsi dan prestasi tandas melalui sensor dan monitor khas yang dipasang pada barangan seperti tong sampah, dispenser sabun dan tisu; termasuk kelengkapan air yang utama seperti pili, ruang urinari, dan injap tekan; serta pemantauan persekitaran seperti kualiti udara, kelembapan suhu, kaunter individu dan panel maklum balas interaktif. Juga terdapat sensor ammonia yang akan mengesan kewujudan ammonia untuk mencegah bau busuk di bilik air. 


Maklumat yang dikumpul ini akan dihantar ke pelayan awan yang boleh diakses melalui platform web dan aplikasi pintar mudah alih untuk memudahkan pengurusan dan penjejakan. Sebagai contoh, tenaga pengurusan dapat memantau dengan lebih jelas prestasi bilik air, penggunaan air serta data penting lain yang membolehkan mereka mengesan sebarang anomali atau kerosakan untuk ditangani dengan segera sebelum situasi berkenaan menjadi lebih teruk, lantas mengurangkan tempoh gendala dan kos, selain menjimatkan air demi output yang lebih lestari. 

Dengan mengambil pendekatan pintar ini, Sunway Pyramid juga bermatlamat untuk mengoptimumkan tenaga kerjanya untuk memaksimumkan produktiviti. Menerusi aplikasi mudah alih IoT misalnya, tukang cuci akan dimaklumkan tentang bilik tandas yang memerlukan perhatian segera dari segi kebersihan atau mengenai bahan-bahan tertentu yang perlu diisi semula, serta diberi penugasan dengan serta-merta. 


Kami sedar bahawa inovasi perlu diteruskan untuk menunaikan keperluan para pelanggan kami. Dari Sunway Smart Parking hingga Customer Engagement Hub dan Sunway eMalls, anjakan digitalisasi, inovasi dan teknologi kami baru sahaja bermula,” simpul Jason.

###

Sunway Malls berwawasan menjadi pemilik-operator pusat beli-belah yang terbesar di Malaysia dengan projek-projek semasa yang meliputi NLA berjumlah 7.7 juta kaki persegi, serta projek-projek yang bakal datang berjumlah NLA 10.2 juta kaki persegi.

Pusat-pusat beli-belah tersebut ialah:-
Sunway Pyramid, Sunway City, Kuala Lumpur
Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur
Sunway Big Box Retail Park, Sunway City Iskandar Puteri, Johor
Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur
Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang
Sunway Citrine, Sunway City Iskandar Puteri, Johor
Sunway Giza Mall, Kota Damansara

Post a Comment

0 Comments