KL GATEWAY MALL, 20 Oktober 2022 -
Satu acara telah dirangka , iaitu program khusus bagi menghargai bakat seni para
pengkarya dari kelainan Upaya (OKU) yang dinamakan sebagai Festival Seni Insan
Istimewa yang bakal berlangsung pada 30 Oktober 2022 bermula jam 10 pagi
sehingga 10 malam di lokasi Pusat Membeli Belah KL Gateway, Aras 2, Gerbang Kerinchi Lestari (Bangsar South), Kuala Lumpur.
Ianya bakal melibatkan pelbagai acara yang bakal menampilkan penyertaan dikalangan individu kelainan upaya dan menfokuskan kepada acara berbentuk seni budaya seperti persembahan dan pertandingan serta ruang pameran hasil karya seni yang dihasilkan oleh golongan istimewa ini.
“Inisiatif penganjuran acara Festival Seni Insan Istimewa ini tercetus apabila beberapa ahli Biro OKU Karyawan yang dianggotai lebih 100 individu menyarankan agar diadakan satu acara seni khusus terhadap mereka, yang rata-ratanya amat berbakat dan menjadikan karier selaku Buskers bagi menampung pendapatan seharian mereka” ujar Dato Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia dan juga komposer lagu “ Namun Ku Punya Hati “ yang merupakan lagu Ikonik bagi golongan insan istimewa ini.
Terdapat aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan kepada mereka umpamanya
pertandingan Idola Istimewa, pertandingan kugiran Istimewa, pertandingan memasak, melukis dan sukan ringan yang diadakan secara percuma untuk semua golongan kelainan upaya dari semua kategori iaitu kelainan upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, anggota dan autism serta puluhan Booth pameran berkaitan dengan komuniti ini.
Pada malam pula akan diadakan satu Konsert Istimewa yang bakal menampilkan bakat-bakat seni suara istimewa dan diantara yang terlibat ialah Caliph Buskers, Bad Indigo, Zaiton Sameon, Azmir Arif dan juga rakan-rakan artis lain antaranya Moq, Dato/ Yusni Hamid, Radhi Khalid, Rozita Rohaizad dan ramai lagi.
Kami amat berterima kasih dengan bantuan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyediakan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2022 bagi merealisasikan acara ini.
Juga rakan-rakan strategik penting seperti Yayasan Wilayah Persekutuan di mana YB Menteri WIlayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim sendiri telah bersetuju memberi sumbangan terhadap program ini melalui Yayasan WP atas keprihatinan beliau terhadap golongan ini.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP Bangi), SWATV, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), OCBC (yang menyumbang untuk hadiah pertandingan), OKU Sentral dan YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang memberi sokongan penuh untuk mendapatkan peserta dan penyertaan gerai pameran dan pastinya KL
Gateway Mall selaku penaja lokasi untuk menjayakan festival ini.
Semoga festival ini bakal memberikan kegembiraan dan penghargaan buat
golongan istimewa ini. Terima Kasih juga buat anda para rakan-rakan wartawan atas
sokongan berterusan kepada usaha Karyawan dan aktiviti kami” ujar Freddie menutup perbualan.
Bagi individu atau badan bukan kerajaan yang berminat untuk menjadi penaja boleh
menghubungi pihak urusetia di emel okufestive@gmail.com atau di talian Tel: +6012315 3988 (Tuan Hj. Kamaluddin Mohd. Kasim) .
Bagi rakan -rakan OKU dan artis yang ingin terlibat dalam acara yang disediakan
pula sila hubungi +6017 736 9896 (En. Syafiq Bruno).
0 Comments