ANDMESH KONSERT DI PLENARY HALL KLCC SANGAT LUAR BIASA!

Pelantun Lagu Fenomena ‘Cinta Luar Biasa’ Hiburkan Peminat Malaysia Dalam Sebuah Konsert Bertemakan ‘Cinta’ Yang Penuh Emosi

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2023 – Malam tadi telah menjadi saksi kehebatan penyanyi dari Indonesia, Andmesh Kamaleng buat peminat di ibu kota yang hadir menyaksikan konsert perdananya di Malaysia ‘ANDMESH KAMALENG LIVE IN KUALA LUMPUR’ yang bertemakan ‘cinta’ dan penuh emosi bertempat di Plenary Hall, KLCC bermula jam 8:30 malam, dibawakan khas oleh penganjur acara Kharisma Music International.

“Menjangkau ekspektasi dan penuh memukau! Kami sangat terhibur dengan persembahan Andmesh, kesemua penonton turut menyanyikan bersama lagu-lagu kegemaran mereka.


“Masing-masing terpesona dengan kehebatan vokal Andmesh yang lantang dan merdu, serta tersentuh dengan penceritaan yang dibawakannya sepanjang berlangsungnya konsert,” kongsi salah seorang penonton yang hadir.

Malam konsert dimulai dengan persembahan pembukaan oleh 3 penyanyi pelapis tanah air seperti Arddley Nicholas, Daniesh Suffian dan Aisha Retno yang masing-masing tidak kurang hebatnya menghiburkan penonton dengan bakat nyanyian mereka.


Ini merupakan penghormatan besar buat kami, pendatang baharu dalam industri muzik dapat membuat persembahan di konsert segah ini bersama Andmesh yang merupakan idola kami semua dan penyanyi yang hebat lagi berbakat yang terkenal di rantau Asia Tenggara,” kata Aisha.

Bertemakan ‘cinta’, Andmesh memulakan persembahan menyanyikan lagu Kumau Dia berlatarbelakangkan visual terang yang menarik perhatian. Salah satu segmen yang membuat penonton terkesan apabila beliau mendedikasikan persembahannya buat kedua-dua orang tuanya yang sudah tiada melalui lagu Luka dan Hanya Rindu, rata-rata penonton menitiskan air mata apabila kedua-dua adiknya naik ke pentas berpelukan sesama mereka.


Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Andmesh juga merupakan pencipta lagu Sial nyanyian penyanyi Indonesia iaitu Mahalini, di mana penonton berpeluang mendengar lagu tersebut dinyanyikan oleh beliau dalam versinya tersendiri serta lagu ciptaannya untuk Rossa berjudul Terlalu Berharap.

Andmesh ternyata berjaya menambat hati setiap penonton yang hadir dengan kemantapan suaranya yang tidak perlu dipertikaikan lagi,  membawa para hadirin mengembara bersama karya-karya indah yang punyai cerita tersendiri.


Pemilik nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng ini, walaupun hanya berusia 26 tahun, ternyata matang dalam berinteraksi dengan penonton dengan penguasaan pentas yang bagus sehingga durasi konsert yang berlangsung selama 2 jam tidak terasa berlalu begitu sahaja.

Diiringi seramai 6 orang pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia, Andmesh turut menyanyikan lagu-lagu popularnya yang lain seperti Cinta Luar Biasa, Nyaman, Jangan Rubah Takdirku dan banyak lagi.

Menurut En. Ahmad Jeffny, selaku Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, “Saya tidak menyangkan sambutan yang cukup memberangsankan daripada penonton yang hadir menyaksikan konsert Andmesh dan ternyata beliau mempunyai pengaruh yang besar di Malaysia.


“Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penganjur seperti Kamya, selaku rakan pengurusan, rakan radio rasmi, ERA & Gegar, dan juga The Curve, sebagai rakan sidang media yang turut serta menjayakan konsert Andmesh Kamaleng Live In KL ini.

“Dan jangan lupa konsert yang seterusnya dari Kharisma Music International iaitu Judika dengan kejutan yang lebih hebat dan pastinya membawakan hiburan maksimal buat penggemar muzik di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments