KUALA LUMPUR, 24 JUN 2026 – Memandangkan permintaan terhadap pakej pelancongan mesra Muslim yang semakin meningkat, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini mengumumkan kepulangan acara utamanya, Pameran Pelancongan Mesra Muslim MATTA (MFTF), yang akan diadakan pada 4 - 5 Julai 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Pameran ini hadir pada detik penting bagi industri pelancongan halal global, di mana ketibaan pelancong antarabangsa Muslim mencecah 196 juta pada tahun 2025, melebih unjuran awal sebanyak 10 million. Perbelanjaan tahunan juga berada di landasan yang tepat untuk mencecah USD310 bilion menjelang tahun 2030.
Kini memasuki edisi kedua, MFTF 2026 menandakan peningkatan skala yang signifikan berbanding penganjuran sulungnya. Pameran ini menampilkan 123 gerai (booth) daripada 57 organisasi yang mengambil bahagian, merentasi ruang pameran seluas 2,700 meter persegi, sekali gus meletakkannya sebagai pasaran paling komprehensif di negara ini yang dikhaskan untuk produk, perkhidmatan, dan pengalaman pelancongan mesra Muslim.
Malaysia terus menerajui Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) selama 11 tahun berturut-turut, menonjolkan kedudukannya sebagai penanda aras global.
“Malaysia berada pada titik perubahan yang luar biasa. Kita adalah penanda aras dunia untuk pelancongan mesra Muslim, namun peluang terbesar masih menanti di hadapan kita. MFTF wujud untuk merapatkan jurang antara pengiktirafan global tersebut dengan pertumbuhan perniagaan sebenar bagi ahli-ahli kami. Apabila lebih 100 juta pengembara bergerak ke seluruh dunia dan mencari destinasi serta perkhidmatan yang dipercayai, kami mahu ahli kami menjadi nama pertama yang terlintas di fikiran mereka, dan pameran ini adalah tempat di mana perjalanan itu bermula,” kata Dr. Fazil Khan, Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026:
● Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai Rakan Strategik
● Pejabat Pelancongan Kerajaan Makau (MGTO) sebagai Penaja
● RHB Bank Berhad sebagai Rakan Bank Rasmi
Penglibatan ITC sebagai Rakan Strategik adalah amat signifikan. Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ITC merupakan penjaga kepada Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) – sebuah standard yang dibangunkan di peringkat kebangsaan dan kini menarik minat rakan kongsi antarabangsa di seluruh dunia.
“ITC sebagai sebuah agensi MOTAC yang memperjuangkan pembangunan pelancongan mesra Muslim di Malaysia, memuji langkah MATTA dalam memimpin melalui teladan dengan menyediakan platform untuk penggiat industri memamerkan produk, perkhidmatan, dan kemudahan mesra Muslim mereka. Usaha menjadikan kemudahan ini mudah diakses oleh orang ramai memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang inklusif dan padu.
Pada masa rakan kongsi antarabangsa dan destinasi di seluruh dunia mula beralih kepada standard yang dibangunkan oleh Malaysia seperti Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) kami, kami bangga untuk mengutamakan dan mengangkat industri tempatan kami terlebih dahulu. Untuk itu, kami berbesar hati mengalukan ahli MATTA untuk menyertai kami sebagai rakan kongsi MFAR. Melangkah ke hadapan, ITC akan menyediakan program pembangunan kapasiti bersasaran kepada 1,000 ahli MATTA dalam tempoh dua tahun akan datang, bagi melengkapkan penggiat industri dengan kelebihan daya saing dan kebolehpasaran yang diperlukan untuk menembusi pasaran pelancong Muslim yang semakin berkembang,” kata Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, Ketua Pengarah ITC.
“RHB Bank berbangga dapat bekerjasama dengan MATTA sebagai Bank Rasmi untuk Pameran Pelancongan Mesra Muslim 2026, sebuah platform utama yang memajukan tawaran pelancongan mesra Muslim di Malaysia. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pelancongan halal sambil menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan lancar untuk rakyat Malaysia.
Melalui penyelesaian seperti Kad Debit Multi Mata Wang/-i RHB, yang membolehkan transaksi dalam sehingga 34 mata wang, kami menyasarkan untuk memberikan kemudahan yang lebih besar dan meningkatkan pengalaman perjalanan secara keseluruhan. Kami berharap dapat menyokong para pengunjung dengan tawaran eksklusif dan penyelesaian perbankan nilai tambah semasa mereka merancang perjalanan mereka,” kata Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad.
Selain itu, MATTA dengan bangganya mengetengahkan Makau sebagai penaja edisi kali ini, sebagai mengiktiraf kemajuan signifikan destinasi tersebut dalam pelancongan mesra Muslim. Berada di kedudukan ke-16 secara keseluruhan dalam GMTI 2025, Makau membuat kemunculan sulung yang mengagumkan dalam kalangan destinasi yang aktif membangunkan tawaran pelancongan mesra Muslim. Antara inisiatif yang dijalankan termasuklah usaha MGTO yang terus menggalakkan pensijilan halal dalam sektor F&B (makanan & minuman) serta mengadakan latihan berkala dan aktiviti lain untuk membiasakan kakitangan pelancongan dengan keperluan pelanggan beragama Islam, sebagai sebahagian daripada usaha menarik pelawat dari pelbagai pelosok dunia.
Kehadiran Makau di MFTF 2026 memberikan mesej yang jelas: dunia sedang datang ke Malaysia untuk mendekati pengembara Muslim dan MFTF adalah platform yang membolehkan hubungan itu berlaku.
MFTF dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam pada hari Sabtu dan Ahad, 4 - 5 Julai 2026. Pengunjung digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong kelestarian alam. Kemudahan tempat letak kereta juga disediakan di lokasi.
Untuk maklumat terkini, ikuti kami di Instagram, X, dan TikTok (@matta_mftf) serta Laman Facebook rasmi (MATTA Muslim Friendly Travel Fair).
###
Mengenai MATTA
MATTA merupakan persatuan pelancongan kebangsaan yang utama dan terbesar di Malaysia, dengan hampir 3,000 ahli yang terdiri daripada ejen pelancongan tempatan serta gabungan luar negara. Beribu pejabat di Kuala Lumpur, MATTA mempunyai cawangan negeri di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Perak, Kedah/Perlis, Sabah/Labuan, dan Sarawak.
Visi MATTA adalah untuk menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam industri pelancongan di Malaysia dan memperjuangkan industri pelancongan dengan menghasilkan kandungan aktiviti yang berharga bagi ahli dan industri melalui promosi serta misi jualan luar negara, latihan dan pendidikan, serta menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih erat dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
Setiap tahun, MATTA menganjurkan acara-acara signatur termasuk MATTA Fair, MATTA Connect, MATTA Malaysia Pickleball Grand Slam (MPG), MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF), dan MATTA Travel Exchange (MTEX) yang telah mewujudkan peluang perniagaan untuk ahlinya serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan industri pelancongan. National MATTA Fair telah mendapat pengiktirafan sebagai Pameran Pelancongan Antarabangsa Terbesar dalam tiga edisi: MATTA Fair ke-52 pada Mac 2023, edisi ke-55 pada September 2024, dan yang terbaharu, edisi ke-57 pada September 2025.
0 Comments