KARYAWAN MALAYSIA BERITA BAIK UNTUK PENGGIAT FILEM?

Karyawan cadangkan penggiat filem dibayar “residual”dan royalti
Penggiat filem tempatan termasuk pelakon, pengarah dan penerbit mungkin akan dapat berita baik tidak lama lagi jika satu cadangan dari Persatuan Karyawan Malaysia dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Untuk makluman , penggiat filem dan televisyen tempatan sebelum ini tidak pernah dibayar royalti atau bayaran “residual” untuk karya mereka yang ditayangkan di televisyen. Mereka sentiasa dibayar secara “one-off payment” sahaja dan tidak layak menerima apa-apa bayaran selepas itu walaupun karya mereka digunakan untuk berpuluh-puluh tahun selepas penerbitan asal.

Ada karya filem dan televisyen ditayangkan di negara luar tanpa apa-apa bayaran kepada pihak yang usahakan penerbitan itu.

Satu contoh terbaik ialah karya-karya dan filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang telah diterbitkan lebih 50 tahun dahulu. Kebanyakan karya-karya ini telah melepasi had hakcipta dan telah menjadi karya dalam “public domain” selepas 50 tahun. Walaubagaimana pun Tan Sri dan keluarganya tidak dapat apa-apa pembayaran selepas filem ini diterbitkan lebih 50 tahun dahulu.

Beliau hanya dapat pembayaran asalnya atas peranannya dalam menghasilkan dan berlakon dalam filem tersebut, yang merupakan sebuah jumlah yang kecil. Nasib yang sama  juga dialami pelakon-pelakon seangkatan dengan Tan Sri seperti Datuk Sarimah Ahmad yang membintangi beberapa filem arahan Tan Sri P Ramlee yang tidak dapat apa-apa imbuhan atas tayangan berpuluh tahun di kaca televisyen selain pembayaran asal untuk berlakon dalam filem tersebut.

Satu lagi contoh rancangan yang ditayangkan berpuluh-puluh tahun ialah siri komedi “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” yang telah di tayangkan lebih 30 tahun selepas tayangan asal di stesyen televisyen swasta tanpa sebarang pembayaran kepada penerbit atau pelakon yang terlibat dalam penerbitan itu.

Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk menentukan bahawa jika sesebuah karya berbentuk filem atau terbitan untuk siaran televisyen yang ditayangkan bertahun-tahun karyawan yang terlibat dengan produksi  itu diberi sedikit imbuhan berbanding dengan karya yang hanya ditayangkan sekali dua di kaca televisyen” kata Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia.

Selain pembayaran “residual” itu kita juga perlukan usaha untuk mengutip royalti apabila sesebuah karya visual atau filem ditayangkan atau ditunjuk pada tempat awam untuk tontonan ramai, seperti restoran-restoran, hotel-hotel dan tempat awam yang lain” kata Freddie.

Perkara ini telah berjaya dilakukan untuk muzik oleh beberapa CMO (Collective Management Organzations) yang mewakili “rights holders”. Walaubagaimana pun bagi isi kandungan visual ia tidak pernah dilakukan. Memang benar bahawa perluasan penggunaan filem di tempat awam tidak begitu banyak jika dibandingkan dengan muzik tetapi sudah nyata ada juga penayangan filem dan rancangan televisyen ditempat awam dimana ia boleh dijadikan sumber untuk menjalankan kutipan secara kolektif bagi mewakili semua penggiat filem” katanya.

“Pihak Karyawan telah mencadangkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya memperkenalkan peraturan baru di mana semua stesyen tidak dibenarkan menggunakan kaedah membuat “outright buyout” untuk hakcipta sesebuah karya atau rancangan untuk tujuan siaran”.

“Sebaliknya apa yang dibayar oleh stesyen itu merupakan “hak siaran” sahaja di mana ia harus dipersetujui bahawa stesyen akan menyiarkan bahan itu, sebagai contoh,  dua kali dalam dua tahun sahaja. Selepas dua tahun pertama ini apa-apa siaran ulangan yang dilakukan akan diberikan bayaran berlebihan”.

Bayaran ini akan dibahagikan sama-rata antara tiga kumpulan ia itu yang pertama, penerbit yang keluarkan modal dan memegang hakcipta. Pihak yang kedua ialah penulis skrip dan pengarah yang menghasilkan jalan cerita atau “storyline” dan screenplay manakala pihak ketiga ialah pelakon utama dan sokongan yang mempunyai dialog dalam karya tersebut” kata Freddie.

“Badan ini akan ditubuhkan sebagai syarikat Berhad di mana semua penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon akan diminta daftarkan diri mereka serta karya-karya mereka untuk tujuan bayaran royalti dan residual ini. Selepas dapat mandate dari semua penggiat filem kera-kerja kutipan akan dapat dilakukan dengan sempurna”.

FINAS boleh ditugaskan untuk menentukan supaya perjalanan badan ini dilakukan secara professional dan mengikut etika dan syarat-syarat yang ditetapkan”, kata Freddie.

Presiden Karyawan Dato’ Freddie Fernandez, yang merupakan pengasas badan kutipan royalti bagi composer dan penulis lirik iaitu MACP pada 1989, bersedia untuk membantu dalam proses penubuhan badan baru ini yang akan mewakili penggiat filem yang karya mereka ditayangkan di tempat awam serta memantau penggunaan karya filem di televisyen untuk tujuan bayaran “residual”.

Persatuan Karyawan Malaysia

Post a Comment

0 Comments