SYA MELUAHKAN BUAH FIKIRAN LEWAT MADAME

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2021 – Nama SYA mungkin agak baru dalam dunia seni muzik hip hop tempatan namun kebolehan serta semangatnya tiada batasan. Selepas tampil dengan lagu pertama berjudul ‘Pretty Girl Bop’ bersama bintang kota singa, Yung Raja, SYA kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul MADAME.

MADAME merupakan lagu yang meluahkan keinginan serta buah fikiran SYA. Dari keinginan untuk memiliki sebuah kereta Bentley, hinggalah sebuah vila di Anguila, ia merupakan lagu yang memberi SYA peluang untuk berkhayal dan membayangkan bagaimana untuk menjadikan impian tersebut kenyataan. “I can get what I want, when I want it, and I don’t care about what you think” yang bermaksud “Aku mampu dapatkan apa yang ku inginkan, bila aku mahukan dan aku tak peduli apa kau fikirkan” adalah mesej utama yang disampaikan dalam karya ini. Lagu ini memberi semangat kepada pendengar untuk tampil berani dan mencapai kemampuan sebenar masing-masing.

Menurut SYA irama lagu ini dicipta secara spontan awal tahun ini.

Di laman Instagram saya ternampak seorang gadis memakai rias kuku ala Perancis dengan hujung keemasan, maka terlahirlah kata-kata ‘gold frenchie’ dan dari situ saya berfikir, bayangkan kalau saya mampu hidup semewah itu dan mempunyai emas di setiap hujung jari secara nyata. Jadi saya tuliskan apa yang saya mahu dan akan miliki satu hari nanti. Tiada rentak. Tiada apa sama sekali. Hanyalah petikan jari sendiri dan tempo di dalam kepala. Saya telah menyimpannya di dalam nota suara saya untuk tempoh yang agak lama, dan saya tahu hanya penerbit tertentu sahaja yang mampu menghidupkan karya ini. Saya bernasib baik, kerana jurusolek saya Bubu perkenalkan saya pada DJ Ziqq. Lantas, saya berjaya menyiapkan lagu ini kerana dia” jelas SYA.

SYA juga menambah bahawa penghasilan lagu ini dicipta tanpa sebarang rujukan.
“Kami menghasilkan rentak lagu ini begitu sahaja. Tiada sampel atau rujukan. Hanya sebuah keyboard dengan melodi tersebut dan terhasillah MADAME. Apa yang paling saya suka tentang proses penuh projek ini adalah jumlah usaha dan kepercayaan yang telah DJ Ziqq berikan kepada saya sewaktu bekerjasama.  Dia memberi saya kebebasan untuk bereksperimen dan sebab itulah lagu ini menjadi lagu pertama dan bukan yang terakhir terbitan saya sendiri. Ia memakan sedikit masa namun sangat berbaloi. Ikatan yang telah kami bina semasa bekerjasama sangat istimewa buat saya dan ini bermakna akan lebih banyak kolaborasi antara SYA x DJ Ziqq di masa hadapan. Kami sama-sama belajar sambil maju ke depan,” kata SYA lagi. 

Lagu ini juga hadir dengan sebuah video muzik yang menampilkan idea SYA sendiri. Jelas terbukti projek ini memberi peluang untuk SYA lebih terbabit secara kreatif dan mengabadikan hasil kerjanya. 
SYA juga berharap lagu ini akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa dirinya serius dalam menceburi bidang seni dan ingin kekal lama dalam industri muzik.


MADAME akan dilancarkan di semua platform digital bermula Jumaat, 3 Disember 2021. Video lirik rasminya juga akan berada di laman YouTube di saluran SYA VEVO, pada hari yang sama jam 9 malam pada tarikh yang sama. Manakala video muzik rasmi lagu ini akan berada di saluran YouTube yang sama, minggu berikutnya jam 9 malam pada 10 Disember 2021.

Post a Comment

0 Comments