Deric Yeo, Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (kiri) dan Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON (kanan).
Kuala Lumpur, 8 Mac 2022 – AEON CO. (M) BHD. (AEON) dan Persatuan Francais
Malaysia (MFA) menandatangani Memorandum Persefahaman dalam usaha bersepadu untuk memperkasakan usahawan-usahawan francais yang mempunyai keahlian dengan MFA.
Memorandum Persefahaman yang dimeterai ini membolehkan AEON dan MFA meneroka keampuhan masing-masing serta mengembleng usaha dalam
menyediakan rangka kerja dan platform untuk mempertingkatkan daya saing, peluang pemasaran serta promosi melalui perkongsian maklumat bagi menyokong,
membangun serta menggalakkan perniagaan francais.
Melalui pendekatan ini, usaha akan turut diadakan untuk memperkembangkan
perniagaan francais ke peringkat antarabangsa menerusi ekosistem AEON ke negara-negara seperti Jepun, China, Vietnam, Kemboja serta Indonesia.
Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON berkata, “Kami amat bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan MFA dan lebih daripada 500 ahlinya dalam usaha untuk mendorong para pengusaha francais terus maju ke hadapan bersama. Ianya selari dengan matlamat inisiatif kelestarian untuk negara iaitu AEON Sayap Bagimu bagi menyokong memajukan bidang keusahawanan francais dan pada masa yang sama merancakkan industri peruncitan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara.”
“Sebelum pandemik melanda, sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) amat signifikan. Pada tahun 2018, sektor ini mencatatkan
sumbangan RM32 bilion kepada KDNK. Sedar akan potensi besar industri ini, minat para usahawan untuk menceburkan diri di dalam perusahaan francais tetap tinggi, walau pun situasi semasa yang mencabar. Adalah harapan kami kolaborasi ini dapat merancakkan pembangunan industri selain dari melahirkan para pengusaha francais yang berkebolehan tinggi serta mampu menangani peralihan corak pembelian para pengguna yang turut menjurus ke arah platform digital,” tambah Shafie lagi.
Naib Pengerusi MFA, Deric Yeo pula berkata, “Kerjasama AEON dan MFA ini bukan hanya boleh dimanfaatkan oleh ahli kami yang berdaftar untuk mempertingkat
perniagaan malah ianya juga akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang
pekerjaan di dalam industri francais kepada rakyat tempatan. Ini selari dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan membantu para usahawan terus berkembang bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.”
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara AEON dan MFA diadakan secara maya.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman yang diadakan secara maya pada 7 Mac 2022 itu disempurnakan oleh Deric Yeo, Naib Pengerusi, MFA dan Wan Muhammad Zainal Wan Yahya, Timbalan Pengurus Besar, MFA. Manakala AEON pula diwakili oleh Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif serta Sunny Setiawan, Ketua Pegawai Operasi. Sesi tersebut disaksikan oleh Nuramalina Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Majlis turut dihadiri oleh Mohamad Shukri Salleh, Setiausaha Agung, MFA; Ahli-Ahli
Jawatankuasa Utama, MFA; perwakilan dari KPDNHEP; pihak pengurusan serta
kakitangan AEON dan MFA.
Memorandum Persefahaman ini turut menggariskan beberapa usahasama strategik yang akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak, antaranya seperti mempromosikan perkhidmatan atau perniagaan AEON kepada ahli-ahli MFA dengan kadar istimewa, memberi keutamaan kepada ahli-ahli MFA atas program-program AEON untuk membantu usahawan francais mikro dan membuka peluang kepada AEON untuk berkongsi pengetahuan berkenaan peruncitan dan inovasinya seperti operasi Peruncitan Baharu atau ‘New Retail’ kepada para pengusaha francais.
Kolaborasi ini adalah selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mana salah satu daripada fokusnya ialah Menyediakan Pekerjaan Yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi (SDG 8). Ianya mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, inklusif dan mampan serta menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk semua.
###
AEON CO. (M) BHD. adalah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, 9 MaxValu Prime, 65 AEON Wellness dan 43 DAISO di seluruh negara. Ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai maklum balas kepada jemputan oleh Kerajaan Malaysia dalam membantu memodenkan industri peruncitan negara.
AEON BiG (M) SDN. BHD. mengendalikan 21 pasar raya besar dengan nama dagang "AEON BiG" di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat. Pengambilalihan AEON BiG adalah sebahagian daripada rancangan AEON Group untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi di Asean.
AEON terus berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Berpandukan kepada falsafah “Pelanggan Didahulukan”, pemahaman mendalam mengenai keperluan pasaran sasaran, dibantu oleh campuran produk yang optimum, AEON beriltizam untuk melangkaui jangkaan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka setiap kali mereka berbelanja di rangkaian AEON.
Dengan semangat AEON yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam Bahasa Latin, matlamat AEON adalah untuk memastikan kerjasama lestari dengan para pelanggan, pembekal, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti untuk mewujudkan masa hadapan yang tiada had.
Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Laman Web: www.aeonretail.com.my
Twitter: @AEON_Malaysia
Persatuan Francais Malaysia (MFA) telah ditubuhkan pada tahun 1994 untuk menyokong perlaksanaan program kerajaan bagi menggalakkan keusahawanan melalui francais. MFA telah bertatih dan mengatur langkah, menjadi satu-satunya persatuan francais yang terbesar di Malaysia kini. Dengan hanya bermula 44 orang ahli penaja, kini MFA telah mempunyai lebih 500 ahli terdiri daripada francaisor, francaisi induk, francaisi, bakal francaisor, bakal francaisi, perunding francais, institusi kewangan, firma guaman, dan ahli akademik.
Antara program utama MFA adalah program latihan francais, in-buying mission, jerayawara, sesi jaringan perniagaan, Pameran Dan Persidangan Francais Antarabangsa (FIM), Malaysia Digital Franchise Expo (MyDigifex) di bawah Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) serta Program Pembanguna Francais Mikro Dan Mampu Milik (F3M). MFA telah dilantik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai agensi perlaksana bagi program F3M ini pada September 2021 bagi menyokong perlaksanaannya.
Selain itu, MFA bertindak sebagai penghubung antara penggiat francais tempatan dengan penggiat francais antarabangsa. MFA telah bergiat aktif sebagai ahli kepada World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC). Menjadi ahli kepada dua badan francais antarabangsa yang berprestij ini telah meletakkan MFA sebagai badan francais terkemuka di Malaysia.
Hubungi MFA di talian:
T: 03 - 6241 4141
0 Comments