‘LAKARAN MAGIKA’ AMANI PENUH FANTASI!


Finalis Ceria Popstar Xtra Mengorak Langkah Dengan Single Debut Bergenre Pop Balada Yang Penuh Makna

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2023 – Kecil-kecil cili api, gadis remaja yang baharu sahaja berumur 13 tahun ini mempunyai semangat yang waja, anak kelahiran Pasir Gudang, Johor Darul Takzim, Zuhairah Amanina Farhanah Mohamad Faudzi atau lebih mesra dengan panggilan ‘Amani’ mengorak langkah dengan single debut berjudul ‘LAKARAN MAGIKA’ hasil ciptaan komposer berpengalaman, Harits Agustin dan nukilan lirik oleh Azian MNor, dan diterbitkan oleh label hiburan tersohor negara, Rocketfuel Entertainment.

“Syukur Alhamdulillah di atas peluang ini kerana cita-cita saya mempunyai single sendiri akhirnya tercapai juga, walaupun tidak memenangi tempat pertama Ceria Popstar Xtra, pihak Rocketfuel tetap memandang bakat saya dan menjadikan saya artis di bawah naungan mereka,” jelas pelajar tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2 ini.

Bakat nyanyian semulajadi yang dimiliki Amani bermula ketika usianya masih hanya 6 tahun, ketika itu dia sering memasuki pelbagai pertandingan nyanyian bukan sahaja di peringkat sekolah, malah daerah dan juga negeri.


Pada tahun lepas, program Ceria Popstar Xtra ada mengadakan sesi ujibakat dan saya hanya sekadar mencuba nasib sahaja dan tidak sangka saya terpilih dan berjaya ke peringkat akhir,” kata Amani.

Single ini menceritakan tentang keindahan alam semulajadi pasca hujan yang mewujudkan pelangi nan indah melakari angkasa bak sebuah LAKARAN MAGIKA yang mengagumkan sesiapa memandangnya.

Idea disebalik lagu ini datangnya dari abang Harits Agustin sendiri yang mahukan sebuah karya yang sesuai dengan usia saya, katanya sinaran pelangi yang terhasil setelah hujan reda sangat mempesonakan lantas memberikan keajaiban dunia fantasi imaginasi kanak-kanak yang polos,” ujar Amani.

Single dalam nuansa pop balada ini dihiasi melodi seakan ‘nursery rhyme’ yang membuai sesiapa mendengarnya dan tidak sarat dengan elemen muzik yang pelbagai sesuai dengan imej Amani yang masih hijau.


Tambah Amani, “Proses rakaman lagu ini mengambil masa selama 3 hari di Studio Echo Music, manakala penggambaran video muziknya (MV) pula dihasilkan dalam masa 1 hari sahaja.

MV LAKARAN MAGIKA bertemakan kekaguman seorang gadis remaja terhadap pelangi yang indah, dunia fantasi yang dicipta bersama rakan imaginasi sangat ‘relatable’ sewaktu kita membesar, perjalanan meniti warna pelangi memberikan maksud transformasi meningkatnya umur dari kecil ke alam remaja.

Jelas Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, “Di Rocketfuel, ‘talent’ kami merangkumi setiap peringkat umur dan latar belakang, Amani mewakili golongan remaja muda yang berbakat dalam bidang seni suara. 

“Walaupun tidak bergelar juara, kami masih memandang bakat yang dimilikinya dan peluang mempamerkan bakat sewajarnya harus diberikan, semoga lagu ini mendapat tempat di hati pendengar semua.


Akhiri Amani: “Saya berharap agar lagu ini mendapat sambutan dari pendengar di luar sana, terutamanya golongan remaja seperti saya, dan semoga lagu ini dapat menceriakan semua orang!

Lagu ‘LAKARAN MAGIKA’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. 

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Post a Comment

0 Comments