UTV Original Tampil Dengan Telefilem Romantik Komedi FANTASI FIKSI, Himpunkan 4 Pemegang Trofi FFM Sebagai Teraju Utama


  
KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 - Platform penstriman UTV terus mengukuhkan komitmennya dalam mempersembahkan kandungan tempatan berkualiti menerusi telefilem romantik komedi terbaharu berjudul Fantasi Fiksi yang kini boleh distrim dengan harga RM9.50.

Mengangkat premis unik dan segar, Fantasi Fiksi membawa penonton menyelami kisah Azalea, seorang penulis skrip yang sering dikritik kerana menghasilkan cerita klise. Segalanya berubah apabila satu insiden di set penggambaran menyebabkan dia terperangkap dalam dunia fiksyen ciptaannya sendiri.


Untuk kembali ke dunia sebenar, Azalea perlu membuatkan Irfan jatuh cinta kepadanya. Namun dia sedar, dalam cerita itu dia sebenarnya ditakdirkan sebagai antagonis. Dalam dilema tersebut, Azalea terpaksa memilih sama ada mengikut takdir yang sudah tertulis atau berani mengubah nasibnya sendiri. Naskhah ini bukan sahaja menyajikan elemen romantik dan komedi, malah menyelitkan mesej tentang pencarian diri, keberanian dan penerimaan terhadap kelemahan.

Menurut pengarahnya, Tam Suhaimi, telefilem ini dihasilkan sebagai sebuah karya ringan namun mempunyai lapisan makna yang lebih mendalam.


Fantasi Fiksi sebuah karya bergenre romantik komedi. Saya cuba sebuah drama ringan dan sampaikan kisah ini daripada sudut pandangan penulis skrip yang sering hasilkan cerita klise. Bila dia berada di dunia seperti yang digambarkan, dia sendiri mengakui tulisannya itu tidak seperti apa yang orang labelkan. Dalam masa sama ada pengajarannya seperti pencarian diri,” katanya.

Tam turut berkongsi pandangan mengenai kedudukan genre romantik komedi dalam industri perfileman masa kini yang menurutnya semakin terpinggir berbanding genre lain.


“Kalau kita tengok bukan hanya di Malaysia, tapi di Indonesia pun karya yang lebih mendapat perhatian adalah filem seram.

"Sementara di Malaysia karya aksi lebih mendapat tempat. Benda ini agak subjektif dan kalau nak salahkan produser pun, mereka nak berniaga. Tentunya mereka nak filem yang boleh mendapat pulangan.


“Bagi saya genre romantik komedi ini masih ada pengikutnya. Contohnya Gol & Gincu, Pisau Cukur, Istanbul Aku Datang dan cerita-cerita ini sinonim dengan penonton sehingga mereka ingat naskhah ini sampai sekarang.

"TikTok pun ada orang guna sound bait babak-babak filem ini. Genre ini masih boleh mendapat sambutan tapi disebabkan penerbit berasa karya A atau B lebih boleh ‘jual’, mereka terus mengenepikan genre-genre lain sedangkan ada penonton yang merindukan genre romantik komedi ini,” ujarnya.


Tambah membanggakan, Fantasi Fiksi berjaya menghimpunkan empat pemenang trofi Festival Filem Malaysia (FFM) dalam satu naskhah iaitu Sazzy Falak, yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM19 menerusi filem Gol & Gincu; Liyana Jasmay, Pelakon Wanita Terbaik FFM22 menerusi Papadom; Amy Mastura, Pelakon Wanita Terbaik FFM14 menerusi Puteri Impian; serta Sharifah Amani, Pelakon Wanita Terbaik FFM19 menerusi Gubra.

Turut membarisi pelakon ialah Iedil Dzuhrie, Sherry Alhadad, Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadon dan Luqman Hafidz.

Sementara itu, Penerbit dan Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan, berkata Fantasi Fiksi kini sudah boleh ditonton di platform penstriman UTV pada harga RM9.50 dan yakin naskhah ini akan mendapat tempat dalam kalangan penonton.

“Fantasi Fiksi kini boleh ditonton di platform penstriman UTV dengan harga RM9.50. Kami percaya karya romantik komedi seperti ini sebenarnya mempunyai pengikut tersendiri. Secara peribadi saya juga meminati genre ini dan yakin telefilem ini akan mendapat tempat dengan barisan pelakon yang cukup berbakat besar.


UTV dalam perancangan untuk menembusi pasaran Indonesia dan bakal ada pengumuman dalam waktu terdekat. Kami juga akan terus menerbitkan karya-karya yang hebat dan berkualiti sepanjang 2026,” katanya.

Dengan gabungan pelakon berpengalaman, premis yang kreatif serta sentuhan pengarahan yang segar, Fantasi Fiksi dijangka mampu mengubat kerinduan penonton terhadap karya romantik komedi yang ringan, menghiburkan dan sarat mesej bermakna. Telefilem ini kini boleh distrim secara eksklusif di UTV.


.

Post a Comment

0 Comments