KANGAR, 11 Mac 2026 – Majlis Iftar Perdana PEYATIM 2026 / 1447H telah berlangsung dengan penuh keberkatan di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Kangar, Perlis. Program ini menghimpunkan anak-anak yatim dari Zon Utara bersama ahli gabungan PEYATIM, rakan penaja serta masyarakat setempat dalam suasana Ramadan yang penuh silaturahim.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datin Marzita binti Mansor, EXCO Kebajikan Negeri Perlis, yang hadir mewakili YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis. Beliau turut menyempurnakan penyampaian sumbangan dan duit raya kepada anak-anak yatim, diiringi sesi fotografi bersama tetamu kehormat.
Sebagai EXCO yang memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan & Pembasmian Kemiskinan, kehadiran YB Datin Marzita Mansor menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh usaha kebajikan dan pembangunan sosial. Portfolio beliau yang luas memberi nilai tambah kepada majlis ini, kerana ia selari dengan matlamat PEYATIM untuk membela anak-anak yatim dan golongan B40 melalui pendidikan, perpaduan dan sokongan masyarakat.
Turut hadir ialah YM. Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud bin Mansor, Presiden PEYATIM, serta barisan kepimpinan organisasi kebajikan dari seluruh negara. Dalam ucapan beliau, Presiden PEYATIM menegaskan bahawa majlis ini bukan sahaja menjadi wadah menyantuni anak-anak yatim, tetapi juga platform memperkukuh jaringan kerjasama antara organisasi kebajikan, rakan strategik dan masyarakat.
“Adalah menjadi harapan agar Majlis Iftar Perdana PEYATIM ini dapat diteruskan sebagai program tahunan, sekali gus memperkukuhkan jaringan kerjasama dan komitmen bersama dalam menyantuni serta memperkasakan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim.” ujar beliau.
Ucapan ini mencerminkan komitmen PEYATIM yang telah lebih tiga dekad memperkasa pendidikan anak-anak yatim melalui dana waqaf, biasiswa, program pembangunan minda dan penyediaan kemudahan di University College Bestari, Setiu, Terengganu. Sehingga kini, lebih 15,921 graduan telah dilahirkan dengan visi holistik “Imam, Pemimpin, Usahawan (IPU)”. Dana waqaf pendidikan yang dikumpul juga telah membiayai pembangunan universiti bernilai lebih RM80 juta, menyediakan biasiswa, elaun sara diri, asrama percuma dan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak yatim dan miskin.
Antara pengisian program termasuk tazkirah Ramadan, majlis berbuka puasa, solat berjemaah serta penyampaian sumbangan khas kepada anak-anak yatim. Kehadiran tetamu kehormat dan sokongan masyarakat jelas mencerminkan semangat kebersamaan dalam memperkasakan kebajikan golongan yang memerlukan.
Penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Islam – Sadaqa House selaku penaja utama, serta rakan penaja lain termasuk Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, F&N, Wangsa Ultima Sdn Bhd dan Ideal Convention Centre.
Majlis Iftar Perdana PEYATIM ini diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan, sekali gus menjadi simbol keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan anak-anak yatim di Malaysia.
“Kebajikan Anak Yatim Tanggungjawab Bersama.”
Disediakan Oleh :
Muhammad Nazri Ibrahim
Setiausaha Akhbar Peyatim
0 Comments