PTPTN PERKASA KEBAJIKAN PELAJAR IPT MELALUI BANTUAN LESTARI SISWA MADANI DI IFTAR BERSAMA MEDIA 2026


KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi menjaga kebajikan pelajar, khususnya peminjam PTPTN.

Justeru, Bantuan Lestari Siswa MADANI diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan sekali gus membantu meringankan beban kewangan pelajar di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

Pada hari ini, penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada pelajar Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media. Turut hadir, YBrs. Puan Mastura Khalid PTPTN, Ketua Pegawai Operasi PTPTN dan Pengurusan PTPTN.

Melalui bantuan ini, PTPTN telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM36,000 kepada 72 orang pelajar asnaf daripada kedua-dua institusi berkenaan. Setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara one-off yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian di IPT.

Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, PTPTN menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat. Antaranya ialah Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf serta Bantuan Lestari Siswa MADANI. Sebagai sebuah agensi yang prihatin, PTPTN komited untuk terus memperluas pelaksanaan program CSR kepada para pelajar terutamanya dalam aspek pendidikan.”

Bersempena majlis ini, PTPTN turut meraikan pengamal-pengamal media sebagai tanda penghargaan dan penghormatan PTPTN atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkenaan PTPTN kepada masyarakat.

Media telah banyak membantu dalam membetulkan persepsi serta mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN dan peluang perancangan kewangan melalui Simpan SSPN yang disediakan oleh PTPTN. Melalui laporan yang tepat, seimbang dan beretika, media membantu dalam memastikan setiap dasar dan usaha penambahbaikan PTPTN dapat difahami dengan jelas oleh pelanggan sama ada pendeposit Simpan SSPN atau peminjam PTPTN, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya,” tambah beliau lagi.

PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara terus mendukung misi untuk memperkasakan amalan penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjamam sekali gus memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian. Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pendeposit. 

Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Post a Comment

0 Comments