Kalendar Acara Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026 yang mengangkat tema “Dulu, Kini dan Selamanya” merupakan satu inisiatif berterusan dalam menghidupkan kembali kegemilangan salah satu pentas seni paling ikonik dan bersejarah di ibu kota.
Melalui pendekatan yang lebih dinamik dan inklusif, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan sebanyak 40 acara pelbagai genre yang akan berlangsung hampir setiap minggu bermula Januari 2026, sekali gus menjadikan Panggung Anniversari sebagai nadi seni budaya yang sentiasa hidup dan aktif sepanjang tahun.
Sepanjang pelaksanaan program ini, pelbagai konsep persembahan telah
diperkenalkan bagi memenuhi citarasa khalayak yang pelbagai, antaranya termasuk Gegar Panggung, Nostalgia Hits dan Indie Vibes, yang bukan sahaja
memberi ruang kepada bakat baharu, malah turut meraikan kepelbagaian ekspresi seni tempatan.
Dalam usaha memastikan kesinambungan legasi seni terus terpelihara, peluang turut diberikan kepada barisan artis otai dan veteran untuk kembali ke pentas menerusi siri istimewa Throwback Hits: Retro Bangkit.
Program Throwback Hits: Retro Bangkit yang akan berlangsung pada 25 April
2026, hari Sabtu, bermula jam 3.00 petang hingga 7.00 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Kuala Lumpur, dijangka menjadi satu pertemuan penuh nostalgia yang mengimbau kegemilangan era lalu.
Persembahan ini bakal menampilkan nama-nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air seperti Dato’ Siti Fairuz, Azan Scan, Abon dan Ayati Tasrip, disokong oleh Siluman Production serta NFG Band yang akan menghidupkan suasana dengan susunan muzik yang segar namun sarat dengan elemen klasik.
Lebih daripada sekadar persembahan pentas, program ini turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti sampingan yang bersifat santai dan interaktif, termasuk karaoke terbuka yang berlangsung lebih awal sebagai ruang untuk orang ramai turut sama berkongsi pentas, selain kehadiran gerai jualan serta segmen joget lambak yang pastinya menghidupkan suasana penuh kemesraan dan keceriaan.
Penganjuran program ini juga diperkukuh melalui kerjasama bersama Yayasan Artis Veteran Malaysia, sebagai satu usaha menghargai sumbangan golongan veteran yang telah banyak mewarnai industri seni negara.
Semarak Seni @ Panggung Anniversari ini dianjurkan oleh DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) dengan sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan Malaysia, selaras dengan komitmen berterusan dalam memulihara serta mengaktifkan semula lokasi bersejarah sebagai ruang seni yang relevan dengan peredaran zaman.
Dalam masa yang sama, DBKL turut mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta komuniti seni untuk bersama-sama menjayakan pelbagai program yang telah dirancang.
Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari bukan sekadar menjadi lokasi persembahan, tetapi terus berperanan sebagai ruang yang menyatukan generasi, mencipta kenangan, melahirkan bakat serta membina sejarah baharu dalam landskap seni budaya Kuala Lumpur.
Ia mencerminkan satu usaha bersepadu dalam memastikan seni terus hidup, berkembang dan dihargai oleh masyarakat hari ini serta generasi akan datang.
0 Comments