FILEM ANIMASI ‘FLEAK’ HIDUPKAN DUNIA IMAGINATIF, TEMUI PENONTON MALAYSIA MULAI 21 MEI 2026 SEMPENA CUTI SEKOLAH

Kuala Lumpur, 15 Mei 2026 -  Filem animasi pengembaraan penuh imaginasi, Fleak, bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei, selepas mencuri perhatian penonton antarabangsa menerusi tayangan festival dan pasaran global. 

Diterbitkan oleh Anima Vitae Point (Malaysia), bersama Anima Vitae (Finland), Animoon (Poland) dan Godo Films (Perancis), filem ini turut mendapat kerjasama Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran rasmi di Malaysia.

FLEAK sebelum ini telah dipersembahkan di beberapa festival antarabangsa berprestij, termasuk Annecy International Animation Film Festival (Perancis), Children’s International Film Festival (Australia), serta Busan International Kids and Youth Film Festival (Korea Selatan).

Filem ini juga akan menembusi pelbagai pasaran global melalui perjanjian pengedaran antarabangsa, termasuk Sepanyol, Perancis, Brazil, Türkiye, Denmark, Maghribi, Norway, Tunisia, Sweden dan Poland. Malaysia antara negara Asia terawal yang menayangkan FLEAK dalam bahasa asalnya, iaitu Bahasa Inggeris, lebih awal sebelum tayangan di Amerika Syarikat dan Kanada. 

Fleak mengisahkan Thomas, seorang kanak-kanak yang kehilangan upaya untuk berjalan selepas satu kemalangan. Pertemuannya dengan makhluk misteri dari dimensi lain membawa penonton ke dunia alternatif penuh warna. Dipuji sebagai karya ‘wildly imaginative’ oleh media antarabangsa Variety, filem ini menampilkan dunia fantasi yang unik dan penuh kreativiti. 

Bukan itu sahaja, Fleak turut mengangkat tema seperti penerimaan diri, konflik emosi dan hubungan kekeluargaan, yang diterjemahkan melalui visual dalam bentuk yang dekat dan mudah difahami penonton muda. Filem ini diarahkan oleh Jens Moller yang terdahulu mengarahkan animasi Lego Star Wars: The Freemaker Adventures dan Ninjago. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit Anima Vitae Point (Malaysia), Yuki Pang berkata, “Kami rasa berbesar hati untuk berkongsi sebuah filem yang melibatkan sebahagian besar hasil kerja bakat-bakat kreatif Malaysia yang sangat berbakat. Empat belas tahun dalam membangunkan bakat, membina kerja produksi, dengan dedikasi mendalam terhadap dunia perfileman telah menjadikan penghasilan filem ini satu kenyataan. Filem animasi Fleak mempunyai keunikan tersendiri kerana ia mampu menyentuh hati kanak-kanak dan juga orang dewasa, kerana emosi melangkaui batas usia. Fleak pada asalnya merupakan ‘rakan imaginasi’ yang dicipta oleh Antti Haikala untuk anak-anaknya, bagi membantu mereka melalui situasi-situasi sukar. Semasa proses pembangunan, watak Fleak pada awalnya lebih menyerupai seekor labah-labah. Namun kini, ia telah berubah menjadi lebih comel, gebu, dan seperti teman berbulu yang manja serta gemar makanan manis. Kami berharap filem ini dapat mengingatkan kita semua bahawa imaginasi masih penting dalam dunia yang semakin bergerak pantas ini.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami amat gembira dapat bergandingan bersama Anima Vitae, Anima Vitae Point, Animoon dan Godo Films untuk membawakan Fleak kepada penonton Malaysia. Kerjasama ini mencerminkan bagaimana kolaborasi antarabangsa mampu memperkukuh industri animasi tempatan, apatah lagi momentum filem animasi di Malaysia semakin kuat dengan sambutan hebat penonton. Kami percaya Fleak akan terus menyumbang kepada perkembangan positif ini. Kami juga berharap filem ini dapat menjadi pilihan utama seisi keluarga pada musim cuti sekolah, di samping memberi pengalaman sinematik yang menghiburkan”. 

https://youtu.be/ZfniaNG63iw?si=-xf-ATKZWCQMkVJg

Dengan gabungan visual memukau, dunia imaginatif dan naratif yang menyentuh emosi, saksikan Fleak di pawagam seluruh Malaysia mulai 21 Mei 2026. Ikuti klip menarik dan perkembangan terbaru filem Fleak menerusi semua akaun media sosial Astro Shaw.


###

Tentang Anima
Anima adalah sebuah studio animasi yang memenangi pelbagai anugerah, yang mengkhusus produksi 3D berkualiti tinggi. Dengan lebih dua dekad pengalaman, studio ini beroperasi sebagai satu rangkaian global yang saling berhubung, dengan pusat utama di Kuala Lumpur dan Helsinki. Dengan menggabungkan tenaga kreatif Asia Tenggara bersama kepakaran penceritaan Nordic, Anima menghasilkan pengalaman visual yang mendalam dan imersif, merangkumi siri televisyen popular sehingga filem cereka antarabangsa. Disokong oleh pasukan produksi yang sangat berbakat di Malaysia serta sistem aliran kerja yang bertaraf tinggi, Anima komited untuk menghasilkan animasi yang inovatif dan berkualiti tinggi, yang menyentuh emosi serta menghubungkan penonton di seluruh dunia.

Post a Comment

0 Comments