Maher Zain Mengumumkan Pelancaran Album Studio Terbaharu ‘Back To You’, Album Penuh Pertama Dalam Tempoh 10 Tahun


Kuala Lumpur, 30 April 2026 - Awakening Music dengan bangganya mengumumkan pelancaran album studio terbaharu yang dinanti-nantikan daripada ikon muzik berinspirasikan keimanan global, Maher Zain, berjudul Back To You. Projek ini menandakan album studio penuh pertama beliau dalam tempoh satu dekad, selepas deretan karya berimpak besar di peringkat antarabangsa termasuk single popular seperti Rahmatun Lil’Alameen dan Qalbi Fil Madinah yang telah mencapai jutaan pendengar di seluruh dunia.

Back To You merupakan sebuah karya yang mengandungi 16 buah lagu, menampilkan evolusi seni dan spiritual Maher Zain yang semakin matang. Album ini menggabungkan penulisan lagu dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris dengan pengaruh muzik yang pelbagai termasuk ritma Afrika dan Afrika Utara, sambil kekal berteraskan mesej keimanan seperti refleksi diri, harapan, zikir, keikhlasan, dan tawakal kepada Tuhan.


Maher Zain berkata, “Album ini dinamakan Back To You kerana pada dasarnya ia tentang kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan, kepada tujuan hidup, dan kepada perkara yang benar-benar penting. Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual, dan projek ini mencerminkan perjalanan tersebut. Saya mahu muziknya terasa jujur, penuh renungan dan relevan, terutamanya ketika Ramadan apabila hati lebih terbuka dan mencari makna.”

Album ini dibangunkan menerusi beberapa siri kem penulisan lagu antarabangsa yang diadakan di Maghribi, Turki, Sweden, dan Indonesia, menghimpunkan pelbagai bakat kreatif dari dunia Islam dan juga peringkat global. Antara kolaborator yang terlibat termasuk pasukan penulis lagu antarabangsa, artis Awakening Music Harris J, serta rakan kolaborasi lama Maher Zain, Bara Kherigi.


Berbeza daripada pelancaran album secara serentak dalam satu hari, Back To You akan diperkenalkan menerusi pelan pelancaran berfasa yang disusun selari dengan perjalanan spiritual bulan Ramadhan. Kempen ini bermula pada penghujung Januari dengan pengenalan album yang menetapkan asas tema keseluruhan projek.

Mulai awal Februari, Maher Zain akan melancarkan lagu baharu setiap hari Khamis secara mingguan, bermula sebelum Ramadhan dan berterusan sepanjang bulan suci tersebut. Setiap pelancaran disusun secara teliti bagi mencerminkan rentak emosi dan spiritual musim ini,  daripada fasa persediaan dan penantian, kepada pengabdian, peringatan, dan pembaharuan jiwa. Pendekatan ini membolehkan pendengar menghayati setiap lagu sebagai satu momen refleksi, bukan sekadar mendengar keseluruhan album sekaligus.


Bara Kherigi, Pengarah Urusan Awakening Music, menambah “Maher Zain ialah artis luar biasa yang muziknya sudah menjadi sebahagian daripada suasana spiritual dan budaya Ramadan di seluruh dunia. Ini merupakan album studio penuhnya yang pertama dalam tempoh sepuluh tahun, dan kami sangat teliti dalam merancang cara pelancarannya. Daripada tergesa-gesa, kami membentuk Back To You sebagai satu perjalanan yang berkembang minggu demi minggu sepanjang Ramadan, memberi ruang, makna dan penghormatan kepada setiap lagu.”

Beberapa lagu dalam album ini menyentuh tema kebergantungan kepada Tuhan ketika berdepan kesunyian dan ketidakpastian, kecintaan serta penghormatan kepada Nabi Muhammad ﷺ, dan kerinduan manusia sejagat terhadap petunjuk, rahmat, dan hubungan spiritual. Keseluruhannya, lagu-lagu ini membentuk satu perjalanan muzik yang direka untuk menemani pendengar sepanjang salah satu tempoh paling bermakna dalam kalender spiritual umat Islam.


Menerusi Back To You, Maher Zain terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara paling berpengaruh dalam muzik berinspirasikan keimanan masa kini, mempersembahkan sebuah karya yang bukan sekadar didengar, tetapi dihayati dari minggu ke minggu melalui refleksi, kehadiran jiwa, dan hubungan spiritual yang lebih mendalam.

Album penuh Back To You akan dilancarkan pada awal April 2026, dengan baki lagu dikeluarkan serentak di semua platform digital seluruh dunia. Maklumat lanjut mengenai setiap pelancaran lagu serta kandungan visual yang berkaitan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Awakening Music
Website | Instagram | Facebook | 𝕏 | TikTok | LinkedIn 

Maher Zain
Facebook | Instagram | TikTok | 𝕏

Post a Comment

0 Comments