Kuala Lumpur, 23 Jun 2026 – Selepas mencetus fenomena di Indonesia, filem seram aksi Badut Gendong kini bersedia menggegarkan pawagam Malaysia bermula 25 Jun 2026.
Badut Gendong merupakan antara filem di bawah francais Universe Qodrat. Di Malaysia, Universe Qodrat telah membina kelompok peminat tersendiri yang menghargai gabungan elemen seram, spiritual dan dramatik.
Kejayaan ini terbukti menerusi sambutan memberangsangkan terhadap Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025) dari kalangan penonton tempatan. Kehadiran Badut Gendong pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan Qodrat Universe sebagai antara francais seram serantau yang paling berpengaruh.
Badut Gendong membawa genre seram serantau ke arah berbeza dan ia cukup kuat untuk berdiri sendiri. Tidak sekadar bergantung kepada elemen gangguan makhluk halus, sebaliknya naskhah ini mengangkat naratif yang menyentuh sisi kemanusiaan, kehilangan, elemen psikologi dan tekanan sosial yang jarang diketengahkan dalam filem komersial.
Dalam pada itu, filem ini turut memanfaatkan elemen budaya dan ritual di Indonesia, di samping mengangkat badut gendong (pengamen jalanan) yang menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan dan sumber pencarian rezeki di negara tersebut.
Diarahkan oleh pengarah hebat Charles Gozali, Badut Gendong membawa penonton mengikuti perjalanan Darso, seorang penghibur jalanan yang hidup dalam serba kekurangan bersama isterinya, Darsi. Namun, tragedi kehilangan yang menimpa menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya, membawa penonton menyelami bagaimana kesedihan dan tekanan boleh mengubah seseorang menjadi sesuatu yang jauh lebih gelap atau ‘monster’.
Dalam konteks filem ini, Darso dilhat sebagai manifestasi kemarahan kelas bawahan yang terlalu lama diabaikan. Dengan isu ketidakadilan yang bersifat universal, filem ini menegaskan bahawa ‘monster’ sebenar tidak semestinya datang dari dunia ghaib, tetapi boleh terbentuk daripada luka yang tidak pernah sembuh.
Watak Darso digerakkan oleh pelakon Marthino Lio dan bergandingan dengan bintang Indonesia seperti Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Vonny Anggraini, Totos Rasiti, Insan Nur Akbar, Barry Prima, dan Jose Rizal.
Dengan persembahan lakonan yang meninggalkan kesan, mood filem yang meresahkan, serta pendekatan penceritaan yang berani, Badut Gendong akan membawa penonton masuk ke dunia gelap Badut Gendong, di samping menjadi refleksi terhadap realiti sekarang yang sering diabaikan.
Filem ini merupakan terbitan MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.
Menurut Pengarah Badut Gendong, Charles Gozali yang turut terlibat sebagai salah seorang penulis skrip untuk naskhah, “Badut Gendong dicipta untuk dipertemukan dengan watak Ustaz Qodrat bagi naskhah seterusnya sebagai sebahagian daripada pengembangan universe yang lebih besar. Menerusi watak Darso, kami ingin tampilkan refleksi daripada sisi gelap Qodrat, di mana kedua-dua merasai kehilangan cinta orang tersayang, namun mereka memilih jalan yang bertentangan. Dari pertembungan inilah kami mahu tunjukkan konflik yang lebih dalam seperti bagaimana luka yang sama boleh membentuk manusia menjadi dua arah yang berbeza. Kami mengharapkan pengembangan universe Qodrat ini bukan sahaja memberikan pengalaman yang segar kepada peminat, tetapi juga mampu membuka ruang untuk menarik generasi penonton baharu dari masa ke masa.”
Penerbit Badut Gendong yang juga Penerbit dari MAGMA Entertainment, Linda Gozali, “Mencipta sebuah ‘cross-universe’ Qodrat menerusi filem Badut Gendong merupakan langkah yang berisiko, namun untuk lahirkan watak lawan kepada Ustaz Qodrat, kami ingin pastikan watak lawan tersebut standing dengan watak Ustaz Qodrat, di samping memastikan watak Ustaz Qodrat terus beri impak yang kuat. Kami bina watak Darso daripada realiti kehidupan hari ini. Di mana terlalu banyak ketidakadilan berlaku dalam masyarakat sehingga ada yang akhirnya dipinggirkan dan dilupakan. Di sinilah filem Badut Gendong membawa makna yang lebih mendalam sebagai cerminan tentang kepedulian serta kecekalan manusia untuk terus bertahan. Persoalannya, sampai bila kita akan terus menutup mata terhadap penderitaan orang lain yang smeakin individualistic dan narsistik.”
Mewakili penerbit dari Malaysia, Datuk Ahmad Izham bin Omar merangkap Ketua Peneroka Komet Productions, menyatakan “Badut Gendong merupakan sebuah cerita yang begitu menarik. Charles Gozali dengan sentuhan hebatnya membawa kita masuk ke dalam dunia serba mistik dan penuh ketegangan. Kualiti filem ini sangat luar biasa sehingga mendapat perhatian dari pelbagai negara. Kami begitu terharu dinamakan sebagai Penerbit Eksekutif untuk Badut Gendong.”
Saksikan filem Badut Gendong di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Jun 2026. Gunakan #BadutGendong di platform media sosial dan ikuti perkembangan serta klip menarik tentang filem ini menerusi akaun sosial MAGMA Entertainment, Komet Productions dan Astro Shaw.
0 Comments