Filem Seram Emosional Bertaraf Antarabangsa Tampil Dengan Kisah Yang Dekat Dengan Jiwa Masyarakat Melayu
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 — Selepas mencuri perhatian menerusi teaser, poster
rasmi, treler dan lagu tema yang diperkenalkan sejak beberapa minggu lalu, Khadam akhirnya melangkah ke fasa terakhir sebelum tayangan umum menerusi Malam Tayangan Perdana yang berlangsung penuh gemilang malam tadi.
Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026 ini, Khadam hadir sebagai sebuah karya sinematik yang mengangkat ketakutan paling
dekat dengan masyarakat Melayu, ketakutan terhadap warisan yang tidak boleh ditolak,
kesetiaan yang diuji dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk
bersekutu dengan kejahatan.
Berlatar tahun 1950-an, Khadam mengikuti perjalanan Melor, seorang ibu yang berusaha melindungi keluarganya daripada saka yang telah lama diwarisi turun-temurun. Namun semakin kuat usahanya mempertahankan keluarga, semakin besar harga yang perlu dibayar. Sedikit demi sedikit, Melor bukan sahaja kehilangan kawalan terhadap kehidupannya, malah berdepan kemungkinan kehilangan segala yang paling disayanginya.
Menurut pengarah Shamyl Othman, filem ini lahir daripada keinginan untuk meneroka
sisi seram yang lebih dekat dengan kehidupan dan budaya masyarakat Melayu.
“Dalam budaya Melayu, terdapat dua jenis pewarisan, satu berbentuk zahir iaitu pusaka
dan satu lagi berbentuk ghaib iaitu saka, satu entiti yang diwarisi turun-temurun dan
dipercayai berperanan melindungi serta membantu tuan empunyanya. Namun saka
yang diwarisi tidak boleh ditolak. Kita sama ada menerimanya dan menjadi tuannya,
atau berdepan dengan risiko keluarga diporak-perandakan olehnya,” jelas Shamyl.
Tambah beliau lagi, keseraman kisah ini tidak datang daripada saka itu sendiri, tetapi
daripada akibat apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan tersebut.
Di sebalik elemen seram yang dipaparkan, filem ini turut mengangkat persoalan tentang
keluarga, trauma generasi, tanggungjawab dan makna cinta yang sebenar, sambil
mengajak penonton merenung satu persoalan utama apabila melangkah keluar dari
pawagam, sejauh mana anda sanggup berkorban demi melindungi keluarga sendiri?
Kekuatan naratif tersebut diperkukuhkan menerusi lakon layar hasil nukilan Fariza
Azlina Isahak yang membina ketegangan melalui lapisan emosi, kesunyian dan konflik
dalaman yang jarang diterokai dalam filem seram tempatan. Dengan menjadikan Melor
sebagai watak yang kehilangan suara, sama ada secara fizikal mahupun simbolik, filem
ini membiarkan visual dan emosi mengambil alih peranan dialog dalam menyampaikan
penderitaan serta perjuangannya sebagai seorang ibu.
Bagi Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan
satu matlamat yang jelas sejak awal pembangunan projek, iaitu untuk menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan karya-karya serantau dan antarabangsa dari segi mutu pembikinan, tanpa kehilangan identiti budaya yang menjadi tunjang penceritaannya.
“Kualiti sentiasa menjadi keutamaan kami dalam setiap aspek pembikinan Khadam.
Daripada pembangunan skrip, pengarahan, rekaan produksi, muzik, pasca produksi
hinggalah pemilihan pelakon, setiap keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard yang kami tetapkan sejak hari pertama. Kami mahu menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton serta membuktikan bahawa cerita tempatan juga mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap yang tinggi,” terangnya secara terperinci.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut menghimpunkan rakan strategik dari seluruh rantau termasuk Magma Entertainment
dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam menghasilkan karya yang berakar pada budaya tempatan, namun dibangunkan dengan skala dan aspirasi yang merentasi sempadan.
Menerajui naskhah ini ialah bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque, yang buat
pertama kalinya membintangi sebuah produksi filem Malaysia menerusi kerjasama
antarabangsa berskala besar sebagai Melor, di samping Datuk Remy Ishak sebagai
Awang, antara gandingan paling dinanti tahun ini. Turut membarisi filem ini ialah Siti
Khadijah Halim, yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon
muda paling berbakat menerusi pelbagai karya televisyen dan filem, selain bakat
baharu Karl' El yang membuat penampilan sulungnya dalam dunia lakonan menerusi
Khadam.
Filem ini turut diperkuatkan dengan persembahan mengagumkan Zarra Zhaff, yang memegang watak penting dalam perkembangan naratif dengan kematangan emosi dan kehadiran layar yang luar biasa, sekali gus menyerlahkan potensinya sebagai antara bakat muda yang wajar diberi perhatian. Melengkapkan barisan pelakon ialah kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak, menjadikan Khadam sebuah karya yang menghimpunkan pengalaman, karisma dan generasi baharu yang sedang mencorakkan masa depan industri hiburan serantau.
Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi turut mencerminkan dunia Khadam yang dibina dengan penuh teliti di layar perak. Ruang acara dihidupkan
menerusi reka bentuk bunyi yang menggabungkan hujan, guruh dan lapisan audio yang membangkitkan rasa gelisah, manakala persembahan khas Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi “Tak Berlagu” menambah lagi dimensi emosi sebelum tayangan bermula.
Reaksi awal daripada penggiat industri, media dan tetamu jemputan selepas tayangan
memperlihatkan sambutan yang amat memberangsangkan. Ramai memuji keberanian Khadam menggabungkan elemen seram, drama keluarga dan psikologi dalam sebuah naratif yang lebih matang. Kekuatan cerita, persembahan lakonan, rekaan bunyi serta keupayaan filem ini membina ketegangan tanpa bergantung kepada formula seram konvensional disebut sebagai antara kekuatan utama filem ini.
Sokongan pelbagai rakan jenama turut menyerlahkan skala penganjuran acara
tersebut, termasuk Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel
Kuala Lumpur dan Hyatt House Hotel Kuala Lumpur sebagai rakan hospitaliti rasmi,
selain Per'l sebagai penaja minuman. Barisan pelakon digayakan oleh Mimpikita dan
Kita&Co bagi sesi Tayangan Media pada sebelah petang, sebelum malamnya mereka
mengenakan rekaan eksklusif daripada Behati untuk Malam Tayangan Perdana.
Dengan kisah yang berakar dalam budaya Melayu, nilai produksi bertaraf antarabangsa
dan tema tentang keluarga, kehilangan serta pengorbanan yang dekat dengan kehidupan manusia sejagat, Khadam muncul sebagai antara filem tempatan paling dinanti tahun ini. Khadam tampil sebagai sebuah karya yang membuktikan kematangan industri perfileman tempatan yang terus berkembang dan berevolusi, sekali gus mencerminkan tahap produksi yang semakin berani serta bercita-cita tinggi dalam landskap filem Malaysia hari ini.
Mulai 11 Jun 2026, penonton akhirnya berpeluang memasuki dunia Khadam di lebih
120 pawagam seluruh negara menerusi pengedaran oleh GSC Movies, dengan
Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama. Selepas tayangan di
Malaysia, filem ini turut dijangka menemui penonton di pasaran serantau termasuk
Singapura dan Indonesia.
Jika reaksi awal penonton menjadi petunjuk, ini adalah sebuah pengalaman sinematik
yang wajar disaksikan sendiri. Kerana apabila lampu dewan kembali menyala, Khadam
tidak sekadar berakhir di skrin, ia terus tinggal dalam fikiran, perlahan-lahan mengganggu apa yang kita percaya tentang cinta, keluarga dan pengorbanan.
Saksikan treler Khadam di sini!
Ikuti perkembangan terkini menerusi @khadamthemovie dan Primeworks Studios di TikTok, Threads, Instagram, Facebook dan YouTube.
###
MENGENAI RED COMMUNICATIONS
Ditubuhkan pada tahun 1999, Red Communications merupakan sebuah syarikat produksi Malaysia yang telah meraih pelbagai anugerah, dengan rekod cemerlang dalam penerbitan filem, televisyen dan kandungan digital. Dikenali kerana keupayaannya mengangkat kisah-kisah yang dekat dengan jiwa anak muda serta sarat dengan nilai budaya tempatan, Red telah menghasilkan antara filem paling ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia seperti Gol & Gincu (2005) dan sekuelnya Gol & Gincu Vol.2 (2018), Kami the Movie (2008), Istanbul Aku Datang! (2012), Sabalik Baju (2021) serta Songlap (2011). Setiap karya ini bukan sahaja meninggalkan impak besar, malah menjadi penanda aras dalam membentuk wajah sinema Malaysia moden dan terus relevan merentas generasi.
Selain layar perak, Red turut membina portfolio yang kukuh dalam penerbitan televisyen dan kandungan berjenama. Antara kejayaan terbesar termasuk Oh My English! yang pernah dicalonkan untuk International Digital Emmy®, Club Mickey Mouse yang memenangi anugerah Rancangan Kanak-Kanak Terbaik di Asian Academy Creative Awards bagi tahun 2018 hingga 2020, serta From Saga With Love yang merangkul gelaran Siri Komedi Terbaik di Asia Academy Creative Awards 2024. Karya-karya Red juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, apabila Operation Sumatran Rhino dipertontonkan di New York Wildlife Conservation Film Festival, manakala siri televisyen popular 3R (Respect, Relax, Respond) mencatat sejarah apabila memenangi Anugerah Infotainment Terbaik di Asia Television Awards 2002.
Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam dunia penceritaan, Red Communications terus melangkah lebih jauh dengan meneroka idea-idea segar, mencabar batas kreativiti dan menghasilkan karya berkualiti tinggi merentas pelbagai platform. Pada masa yang sama, Red kekal komited memperjuangkan suara
Malaysia yang sejati, sambil menjalinkan kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa demi membawa cerita tempatan ke pentas dunia.
MENGENAI KOMET PRODUCTIONS
Komet diterajui oleh Ahmad Izham Omar, seorang figura berpengalaman dalam industri kandungan dan media Asia Tenggara. Komet ialah jenama yang menyatukan semua syarikat di bawah kumpulan Komet, dengan fokus utama untuk menerbit, mengedar dan melabur dalam kandungan kreatif baharu di rantau Asia Tenggara.
Sejak memulakan operasi pada Julai 2023, Komet bergerak pantas dengan melabur dalam IP kandungan besar di rantau ini. Antara projek utama Komet termasuk menjadi salah satu Penerbit Eksekutif untuk filem Siksa Kubur arahan Joko Anwar, filem box-office Malaysia, Blood Brothers Bara Naga terbitan Skop Productions, serta Ejen Ali The Movie 2 daripada Wau Animation yang mencatat kejayaan besar di seluruh Asia Tenggara.
Dengan barisan projek yang semakin berkembang, Komet kini memberi tumpuan untuk menjadi penerbit, pengedar dan pelabur pilihan bagi karya-karya segar dan berani daripada bakat baharu Asia Tenggara
untuk dipasarkan ke peringkat global.
MENGENAI PRIMEWORKS STUDIOS
Primeworks Studios - Peneraju Legasi Landskap Hiburan Di Mata Dunia
Primeworks Studios merupakan sebuah syarikat terkemuka di Asia Tenggara yang memiliki asas kukuh dalam pembangunan kandungan, pengeluaran filem, pengedaran filem, jualan kandungan, dan animasi. Selama lebih dari tiga dekad, Primeworks Studios telah menjadi peneraju yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap hiburan di Malaysia. Dengan menerapkan nilai dan teras yang utuh, Primeworks Studios terus unggul dalam menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti buat penonton di seluruh dunia disamping mengekalkan legasi hiburan untuk menghiburkan penonton sejajar
dengan keadaan masa kini dan masa akan datang.
0 Comments