Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat seni, muzik dan budaya apabila KL Street Arts Festival 2026 yang menggabungkan KL Street Jam dan Fête de la Musique 2026 berlangsung selama dua hari pada 20 dan 21 Jun 2026 di Jalan Raja, Dataran Merdeka.
Festival anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (melalui jenama KL Street Jam) serta Alliance Française de Kuala Lumpur bagi segmen Fête de la Musique ini menghimpunkan penggiat seni jalanan, pemuzik, artis visual, komuniti kreatif, pengusaha kraftangan dan orang ramai dalam sebuah festival seni bandar yang inklusif, meriah dan berteraskan komuniti.
Acara ini turut mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah melalui inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS) 2026.
Acara kemuncak pada malam Sabtu akan menampilkan persembahan artis dan pemuzik terkenal termasuk Baba Andy (Flop Poppy), Maman Teacher’s Pet, Aru Peruzza, Muzza dan The Velvettones, serta kumpulan muzik seperti Viona, Scubadub, KL Trad Sessioners, Dalam Kelam dan The Berettas.
Hari kedua pula diteruskan dengan persembahan artis dan bakat baharu termasuk Iskandar, SATWO, Vox Riot, Kien Lim, Sofiya Shazal, Kathrika dan Jo Lixian, selain pelbagai persembahan buskers dan artis komuniti dari pelbagai latar belakang muzik.
Selain persembahan muzik, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti komuniti dan seni kreatif termasuk Bicara Badut bersama Mr Labu, Demonstrasi dan Bengkel Origami bersama YOSH Studio, Khat Clinic bersama Cheb Ali, pameran seni visual, aktiviti urban arts serta pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.
Festival ini turut menampilkan jualan kraftangan, produk kreatif tempatan, booth komuniti, pameran seni dan ruang jaringan kreatif yang memberi peluang kepada usahawan seni, penggiat budaya dan industri kreatif mempromosikan hasil karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Sebagai sebahagian daripada sambutan antarabangsa Fête de la Musique, festival ini akan menampilkan pelbagai pengisian khas dan penyertaan komuniti yang dibawakan menerusi kerjasama dengan Alliance Française de Kuala Lumpur, sekali gus menghubungkan komuniti seni tempatan dengan rangkaian sambutan muzik yang diraikan di lebih 100 negara di seluruh dunia.
Di samping itu, beberapa pengisian kesedaran komuniti termasuk Kempen Muzik Tanpa Dadah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan turut diadakan sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan gaya hidup sihat, positif dan bebas dadah dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang dua hari penganjurannya, festival ini dijangka menghimpunkan lebih 120 penggiat seni dan kreatif serta menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung yang terdiri daripada warga kota, pelancong domestik dan pelancong antarabangsa ke kawasan bersejarah Dataran Merdeka.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menikmati pelbagai persembahan muzik, aktiviti seni, pameran kreatif, jualan kraftangan serta pengalaman budaya yang unik dalam suasana festival bandar yang meriah dan penuh warna-warni di tengah-tengah ibu kota.
MAKLUMAT FESTIVAL
KL STREET ARTS FESTIVAL 2026 x KL STREET JAM x FÊTE DE LA MUSIQUE 2026
Tarikh:
20 & 21 Jun 2026
Lokasi:
Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Kemasukan:
Percuma
TARIKAN UTAMA
• Persembahan artis dan band tempatan
• KL Street Jam Showcase
• Fête de la Musique Stage
• Persembahan buskers & street performers
• Bicara Badut bersama Mr Labu
• Demonstrasi dan Bengkel Origami bersama YOSH Studio
• Khat Clinic bersama Cheb Ali
• Pameran Seni Visual & Urban Arts
• Jualan Kraftangan & Produk Kreatif
• Booth Komuniti & Industri Kreatif
• Kempen Muzik Tanpa Dadah (AADK)
ARTIS & PERSEMBAHAN
20 JUN 2026
• Baba Andy (Flop Poppy)
• Maman Teacher’s Pet
• Aru Peruzza
• Muzza
• The Velvettones
• Viona
• Scubadub
• KL Trad Sessioners
• Dalam Kelam
• The Berettas
21 JUN 2026
• Iskandar
• SATWO
• Vox Riot
• Kien Lim
• Sofiya Shazal
• Kathrika
• Jo Lixian
• Artis Komuniti & Buskers Jemputan
Hos Bob Ringgo & Nadia Hasnan
“SENI UNTUK SEMUA”
0 Comments