​KLIMS 2026 Bermula: Mobiliti Hijau Jadi Tumpuan Utama Dalam Mencorakkan Masa Depan Automotif Malaysia


KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026 — Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026)
secara rasminya bermula hari ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). Acara ini menandakan edisi ke-11 KLIMS sebagai pameran automotif antarabangsa terkemuka di Malaysia. Dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dengan pengurusan acara oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube), KLIMS 2026 bersedia untuk memamerkan masa depan mobiliti yang mampan dan inovatif daripada jenama global serta tempatan terkemuka di bawah tema, "Beyond Mobility" (Melampaui Mobiliti).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan, yang menekankan peranan penting KLIMS dalam menyediakan platform penglibatan yang berpaksikan kepada perbincangan mengenai mobiliti hijau, penggunaan kenderaan elektrik (EV), pengurangan pelepasan karbon, dan peralihan ke arah pengangkutan yang lebih bersih. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, serta YB Datuk Hairil Yahri Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

KLIMS 2026 berfungsi sebagai platform untuk memamerkan masa depan mobiliti serta peralihan evolusi industri automotif daripada pengangkutan tradisional kepada penyelesaian mampan. Ia sekali gus memberikan pandangan penting terhadap trend transformatif seperti tenaga baharu dan penyelesaian mobiliti lestari..

Selaras dengan matlamat peralihan tenaga Malaysia, KLIMS 2026 mempromosikan penggunaan kenderaan bertenaga elektrik (xEV) dan kemajuan teknologi hijau, di samping menekankan peranan kritikal industri automotif dalam memacu pertumbuhan ekonomi. Melalui jalinan kerjasama antara pengeluar tempatan, PKS, dan pemain global, acara ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi automotif.

Ketika berucap di majlis tersebut, YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah menegaskan komitmen Malaysia untuk beralih ke arah penyelesaian mobiliti yang mampan dan bernilai tinggi:

​"Di peringkat global, kita menyaksikan kemajuan pesat dalam elektrifikasi, teknologi terhubung, sistem pengangkutan pintar, automasi, keselamatan jalan raya, dan penyelesaian tenaga alternatif. Perkembangan ini sedang membentuk semula cara kita mereka bentuk kenderaan, membina infrastruktur, dan merancang bandar-bandar kita. Sambil kita berbicara tentang masa depan mobiliti, aspek keselamatan mesti kekal sebagai agenda utama. Mobiliti baharu bukan sahaja perlu lebih bersih dan terhubung, malah ia juga mesti membantu mengurangkan kemalangan, melindungi pengguna jalan raya yang rentan, serta menyokong tingkah laku pemanduan yang lebih selamat. Bersama-sama, kita mampu menggerakkan Malaysia – melampaui mobiliti."

Mohd Shamsor bin Mohd Zain, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLIMS 2026, berkongsi tentang kepentingan acara ini:

​"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri mobiliti telah beralih daripada sekadar pengangkutan biasa. Hari ini, mobiliti tidak lagi terhad kepada bagaimana orang ramai berulang-alik, malah ia mencerminkan bagaimana sesebuah bandar berfungsi dan bagaimana teknologi menghubungkan komuniti melalui penyelesaian yang lebih pintar dan mampan. KLIMS 2026 mengekalkan tema yang sama, 'Beyond Mobility', yang mewakili transformasi industri automotif daripada pengangkutan tradisional kepada ekosistem yang lebih luas dengan penyelesaian mobiliti pintar.

Kami terus melihat peralihan rakyat Malaysia ke arah mengguna pakai teknologi baharu dan inovasi yang dipertingkatkan dalam kehidupan seharian mereka, yang mana ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk memajukan agenda kemampanan dan iklimnya."


Lebih 900 hadirin telah berhimpun untuk majlis perasmian gilang-gemilang KLIMS 2026, yang menandakan bermulanya paparan luar biasa bagi inovasi automotif. Acara ini menampilkan tontonan eksklusif model pratinjau, pelancaran kereta baharu, dan pameran konsep futuristik daripada 18 jenama automotif.

Para pengunjung KLIMS 2026 bakal menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan melalui pelbagai aktiviti serta pameran automotif dan gaya hidup yang menarik lagi imersif. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah hebat bernilai keseluruhan RM125,000, termasuk hadiah utama sebuah Perodua Bezza. KLIMS 2026 berlangsung dari 12 hingga 21 Jun di MITEC.


Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, sila layari https://reg.klims.com.my/Account/RegisterVisitor.

Untuk perkembangan terkini mengenai jenama yang mengambil bahagian dan aktiviti pameran, layari laman web https://klims.com.my/ atau ikuti kami di media sosial:

###

Mengenai Persatuan Automotif Malaysia (MAA):
​Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah ditubuhkan pada November 1960 sebagai Federation of Malaya Motor Traders Association (FMMTA), yang memberi tumpuan kepada import dan pengedaran kenderaan siap dibina (CBU). Ditukar nama kepada Malaysian Motor Traders Association (MMTA) pada tahun 1968, ia kemudiannya bergabung dengan Malaysian Motor Vehicles Assemblers Association (MMVAA) pada tahun 2000 untuk membentuk MAA. Sepanjang tahun, MAA telah berkembang pesat, kini merangkumi kedua-dua aspek perdagangan dan pembuatan dalam industri automotif.

​Untuk maklumat lanjut: https://www.maa.org.my/
Mengenai Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS):
​Dijenamakan semula sebagai Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS), ia merupakan pameran automotif antarabangsa terkemuka di Malaysia. KLIMS terkenal sebagai acara terbesar dan paling diiktiraf dalam industri. Dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan disokong oleh para pengeluar serta persatuan berkaitan, KLIMS 2026 menandakan era baharu dalam industri automotif dengan memamerkan spektrum mobiliti yang lebih luas. Ini termasuk mod bukan bermotor (seperti pejalan kaki, basikal, skuter, dan kasut roda), peralatan pengecasan EV, komponen automotif, serta produk dan perkhidmatan berkaitan pengangkutan.
Untuk maklumat lanjut: https://klims.com.my/
Mengenai Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd:
​Ditubuhkan pada tahun 2005, Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. telah berkembang daripada sebuah firma butik reka-dan-bina pameran menjadi salah satu syarikat pengurusan acara dan pameran terkemuka di Malaysia. Mempunyai asas tempatan yang kukuh serta jejak operasi di peringkat serantau, Qube menyediakan platform berimpak tinggi yang memperkasakan perniagaan — terutamanya PKS dan jenama Malaysia — untuk meluaskan pasaran mereka melalui pameran perdagangan, ekspos antarabangsa, dan pengalaman acara strategik.
Untuk maklumat lanjut: https://qube.com.my/

Post a Comment

0 Comments