KUALA LUMPUR, 28 JUN 2026 – Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali Ke-27 bertempat di P.Ramlee Lounge, Saloma Kuala Lumpur, Jalan Ampang. Mesyuarat ini menjadi medan penting bagi seluruh ahli berdaftar untuk menilai prestasi persatuan serta menentukan hala tuju baharu bagi industri kreatif tempatan.
Antara agenda utama dan usul yang dibentangkan dalam mesyuarat kali ini termasuklah pengesahan minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu, pembentangan serta kelulusan Laporan Kerja Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan bagi tahun sebelumnya, dan kelulusan Akaun Audit Persatuan bersama laporan daripada Juruaudit.
Selain daripada urusan pembentangan laporan tahunan, AGM kali ini turut menyaksikan agenda penting iaitu pemilihan barisan Lembaga Eksekutif bagi penggal tiga (3) tahun akan datang. Pemilihan tersebut merangkumi jawatan utama iaitu:
● Presiden
● Timbalan Presiden
● Setiausaha
● Bendahari
● Lima (5) Ahli Jawatankuasa yang dipilih.
Bagi melengkapkan struktur organisasi, lima (5) ahli jawatankuasa tambahan bakal dilantik oleh Presiden atas dasar keperluan persatuan, di mana sebarang kekosongan dalam tempoh tersebut boleh diisi oleh jawatankuasa dengan memilih ahli biasa. Turut menjadi agenda adalah pelantikan Juruaudit baharu serta perbincangan transaksi perniagaan lain yang telah dikemukakan secara bertulis kepada Setiausaha dalam tempoh sepuluh (10) hari dari tarikh notis.
Pihak pengurusan KARYAWAN mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli atas sokongan padu serta penglibatan aktif dalam menjayakan segala aktiviti persatuan sepanjang tahun lalu.
Semua ahli berdaftar yang hadir diingatkan untuk membawa kad keahlian masing-masing bagi tujuan pengesahan di kaunter pendaftaran. Bagi ahli yang belum berbuat demikian, pengesahan kehadiran boleh dilakukan secara digital melalui pautan atau kod QR yang telah dilampirkan bersama surat notis rasmi.
PERSATUAN TERIMA MANDAT BARU: PERJUANGKAN ISU ROYALTI TERTUNGGAK 30 TAHUN DAN DESAK KERAJAAN AMBIL ALIH PENGURUSAN
Persatuan hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli atas kepercayaan dan mandat baharu yang diberikan untuk meneruskan agenda memartabatkan kebajikan penggiat seni tanah air.
Menerusi mandat ini, persatuan akan memberikan fokus utama kepada beberapa isu kritikal, khususnya membabitkan tuntutan royalti tertunggak, kebajikan ahli, serta ekosistem industri yang lebih adil.
Antara usul dan agenda utama yang akan diperjuangkan termasuklah:
1. Tuntutan Royalti Artis yang Terabai:
Persatuan akan memperjuangkan nasib ramai artis dan waris yang tidak menerima bayaran royalti hasil penjualan karya mereka—termasuk dalam bentuk CD, kaset, serta platform digital seperti Spotify dan YouTube—sejak berpuluh tahun lalu, malah ada yang mencecah tempoh 30 tahun. Isu ini merujuk kepada royalti berasaskan penjualan langsung, bukannya kutipan daripada badan seperti MACP atau RPM.
2. Desakan Pengurusan Royalti di Bawah Badan Kerajaan:
Bagi menghentikan konflik berpanjangan dan memastikan ketelusan, persatuan mengesyorkan agar sistem kutipan dan agihan royalti diambil alih sepenuhnya oleh satu badan di bawah seliaan kerajaan. Langkah ini penting demi memastikan pengurusan yang lebih profesional, telus, dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi tanpa menyisihkan hak penggiat seni.
3. Perlindungan Kebajikan dan Biro Baharu:
Persatuan bakal menubuhkan Biro Penari yang baharu bagi membela nasib kelompok tersebut. Di samping itu, kerjasama dengan pihak kerajaan akan diperkukuh untuk memperketat perlindungan sosial ahli melibatkan carukan PERKESO, KWSP, serta pelan insurans, khususnya bagi membantu mereka yang ditimpa kemalangan, jatuh sakit, atau hilang keupayaan untuk bekerja.
4. Isu Pemilihan Pelakon Berdasarkan Jumlah Pengikut (Followers):
Persatuan memandang serius aduan mengenai trend stesen televisyen atau produksi yang memilih pelakon utama berdasarkan jumlah pengikut di media sosial berbanding bakat dan pengalaman. Isu ini akan diketengahkan kepada pihak stesen TV agar ekosistem pemilihan mengekalkan keadilan buat pelakon berpengalaman dan berkemahiran.
5. Pemerkasaan Biro Muda dan Pertambahan Ahli:
Bagi memastikan kelangsungan persatuan, Biro Muda akan diperkuatkan untuk menarik lebih banyak penglibatan generasi baharu. Setakat tahun ini, persatuan mencatatkan impak positif dengan penyertaan sekitar 500 ahli baharu, membuktikan keyakinan komuniti seni terhadap perjuangan persatuan.
Secara keseluruhannya, sebanyak lima ke enam usul telah dibawa dan dipersetujui. Persatuan komited sepenuhnya untuk menggunakan mandat ini bagi memajukan industri dan memastikan hak serta kebajikan setiap ahli sentiasa terbela. Perjuangan ini belum selesai.
###
MENGENAI PERSATUAN KARYAWAN MALAYSIA (KARYAWAN)
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) adalah sebuah pertubuhan yang komited dalam membela nasib, menjaga kebajikan, serta memperkasakan profesionalisme para penggiat seni, artis, dan karyawan dalam industri kreatif di Malaysia.
0 Comments