YUSRY ABDUL HALIM KEMBALI DENGAN “JIWA & RAGA” SELEPAS 2 DEKAD

Karya Penuh Emosi Terbitan Sony Music Entertainment Malaysia 

KUALA LUMPUR, 5 JUN 2026 – Selepas lebih tiga dekad mengukir pengaruh sebagai antara figura penting dalam industri hiburan tanah air, Yusry Abdul Halim kini kembali 
menghangatkan dunia muzik tempatan menerusi pelancaran single solo terbaharunya berjudul “Jiwa & Raga”.

Kemunculan ini cukup signifikan apabila ia menjadi single solo pertama beliau selepas lebih dua dekad sejak pelancaran “Dekat Padamu” pada tahun 2003, sekaligus menandakan sebuah perjalanan baharu dalam evolusi seni seorang penghibur yang sentiasa relevan merentasi generasi.

Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu “Jiwa & Raga” hadir sebagai 
sebuah karya balada moden penuh emosi, mengangkat tema cinta, pengorbanan dan 
keikhlasan yang lahir daripada hati.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan dan penulisan penyanyi rap serta penulis lagu terkenal, Luca Sickta, yang berjaya menghadirkan sebuah karya penuh jiwa dengan melodi yang melekat serta lirik yang cukup dekat dengan realiti ramai pendengar.

Selepas Dua Dekad, Suara Itu Kembali

Menurut Yusry, perkara pertama yang benar-benar menyentuh hatinya sewaktu pertama kali mendengar demo “Jiwa & Raga” adalah kekuatan emosi yang dibawa oleh lagu tersebut “Bila saya dengar demo lagu ini buat pertama kali, saya terus rasa ada sesuatu yang sangat jujur dalam melodi dan liriknya. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, ia ada rasa kehilangan, pengorbanan dan ketulusan yang dekat dengan kehidupan sebenar.”

Tambah beliau, Jiwa & Raga” membawa maksud cinta yang diberikan sepenuhnya tanpa syarat, sehingga seseorang sanggup menyerahkan seluruh jiwa dan dirinya demi insan yang dicintai.

“Bagi saya, lagu ini menggambarkan seseorang yang mencintai dengan sepenuh hati, bukan separuh jalan, dan bukan sekadar kata-kata. Apabila seseorang sanggup 
memberi ‘Jiwa & Raga’, itu adalah tahap cinta yang paling dalam.”

Walaupun terkenal dengan vokal dan gaya persembahan yang cukup ikonik sepanjang 
kerjayanya, Yusry mengakui cabaran terbesar ketika merakamkan lagu ini bukanlah dari sudut teknikal nyanyian, tetapi bagaimana untuk menyampaikannya secara tulus dan sederhana.

Lagu ini tidak memerlukan nyanyian yang terlalu besar atau berlebihan. Cabaran 
sebenar adalah untuk buat pendengar percaya pada setiap rasa yang disampaikan. 
Kadang-kadang emosi yang paling perlahan itulah yang paling kuat.”

Sebuah Karya Yang Dekat Dengan Kehidupan

Meskipun “Jiwa & Raga” membawa tema cinta, kesetiaan dan pengorbanan, Yusry percaya mesej yang disampaikan dalam lagu ini bersifat “universal” dan dekat dengan pengalaman ramai pendengar. Menurut beliau, setiap insan pasti pernah melalui fasa-fasa tertentu dalam kehidupan yang melibatkan cinta, kehilangan, kerinduan atau pengharapan, menjadikan emosi yang dibawakan dalam lagu ini mudah untuk difahami dan dihayati.

Siapa sahaja yang tidak pernah melalui pengalaman mencintai, merindui atau kehilangan seseorang dalam hidup? Saya rasa itulah yang menjadikan lagu ini dekat dengan ramai orang. Emosi yang ada dalam ‘Jiwa & Raga’ bukan milik seorang individu sahaja, tetapi sesuatu yang boleh dirasai oleh sesiapa sahaja.”

Bagi memastikan mesej dan emosi lagu ini dapat disampaikan dengan sebaiknya, Yusry 
menggunakan pendekatan yang lebih ‘natural’ ketika sesi rakaman berlangsung.

“Saya cuba sampaikan lagu ini dengan sejujur mungkin. Bagi saya, lagu seperti ini tidak 
memerlukan nyanyian yang berlebihan kerana kekuatannya sudah ada pada cerita dan 
emosinya. Saya hanya mahu pendengar dapat rasakan setiap bait lirik itu dengan cara 
mereka sendiri.”

Sentuhan Moden Luca Sickta

Dalam masa sama, Yusry turut memuji keupayaan Luca Sickta dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja mudah melekat di ingatan, tetapi juga memiliki emosi yang mendalam.

Luca ada kelebihan menghasilkan melodi yang terus ‘masuk’ bila kita dengar, tapi 
pada masa sama dia sangat bijak bermain dengan emosi dalam penulisan lirik. Itu yang 
menjadikan ‘Jiwa & Raga’ lebih istimewa.”

Menurut Luca, beliau sudah membayangkan suara Yusry sejak awal proses penciptaan 
lagu ini kerana percaya Yusry mempunyai kematangan dan kejujuran yang diperlukan 
untuk menghidupkan emosi karya tersebut.

Saya mahu ‘Jiwa & Raga’ kedengaran jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar. Lagu ini berkisar tentang cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang ramai pernah lalui. Sejak awal lagi, saya dapat membayangkan Yusry menyampaikan emosi itu dengan cara yang sangat tulus dan bermakna,” ujar Luca.

Selain itu, Yusry menyifatkan lagu ini sebagai antara karya solo paling mendalam pernah 
dirakamkannya sepanjang perjalanan seninya.

Disebalik Fenomena Watak “Dato’ Muzaffar”

Kemunculan semula Yusry dalam arena muzik hadir pada waktu yang cukup menarik apabila beliau kini turut menjadi perhatian menerusi watak Dato’ Muzaffar dalam drama sensasi dan tular, “Dendam Seorang Mentua”.


Watak tersebut berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan penonton, sekaligus memperlihatkan aura dan karisma beliau yang terus kukuh sebagai figura hiburan tanah air. Dalam dunia sebenar pula, beliau turut dikenali sebagai suami kepada selebriti Datin Lisa Surihani, menjadikan persona “Dato’” yang dibawakan dalam drama tersebut terasa dekat dengan realiti kehidupannya.

Harapan Yusry Abdul Halim

Mengakhiri perkongsiannya mengenai “Jiwa & Raga”, Yusry berharap lagu ini mampu 
menjadi teman emosi kepada sesiapa yang pernah mencintai dan memberi sepenuh hati 
dalam sebuah hubungan.

Saya harap lagu ini dapat menemani mereka yang sedang melalui rasa kehilangan, 
kesetiaan atau pengorbanan dalam cinta. Kadang-kadang kita cuma perlukan sebuah 
lagu untuk faham bahawa setiap perasaan itu pernah dirasai oleh orang lain.”

https://youtu.be/lKU-MZU_Vyg?si=jmao14k1Mrhdr1GU

Lagu: “Jiwa & Raga”
Artis: Yusry Abdul Halim
Komposer: Luca Sickta
Penulis Lirik: Luca Sickta
Penerbit Muzik: Luca Sickta

Jiwa & Raga” kini boleh distrim di kesemua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.

###

TENTANG SONY MUSIC ENTERTAINMENT 
Di Sony Music Entertainment, kami menghormati perjalanan seni. Para pencipta kami membentuk perubahan, budaya, komuniti dan sejarah. Kami telah memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Perjalanan kami bermula dari menubuhkan syarikat rakaman muzik pertama sehingga mencipta rakaman cakera padat. Kami telah membimbing ramai artis ikonik dalam dunia seni muzik dan menerbit beberapa buah rakaman yang berpengaruh sepanjang zaman. Sony Music Entertainment kini mempunyai lebih dari 100 cawangan syarikat di seluruh dunia untuk menyokong pelbagai pencipta yang berbakat pada setiap peringkat serta di setiap pentas persembahan. Di samping muzik, hiburan dan teknologi, kami juga membawa imaginasi, kepakaran kepada platform dan model perniagaan yang baharu serta peluang untuk menembusi pasaran luar. Semua usaha ini adalah untuk menyokong eksperimen, pengambilan risiko dan kemajuan komuniti kreatif. Sony Music Entertainment telah menerapkan prinsip perkongsian yang mendalam, kepercayaan, punca yang berasas bagi meningkatkan dan memperkuatkan masyarakat di seluruh dunia. Sony Music Entertainment adalah sebahagian daripada keluarga global Sony. Pelajari lebih lanjut mengenai pencipta dan label rekod kami.


Post a Comment

0 Comments