FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-35 ANGKAT TEMA ‘SPEKTRUM SINEMA’: BUKA PENYERTAAN CALON MULAI 29 JULAI 2026


Penyertaan Diumumkan Terbuka Bermula 29 Julai Hingga 11 Ogos 2026

KUALA LUMPUR, 29 JULAI 2026 – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan siri Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35). FFM35 merupakan platform pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kecemerlangan, mutu, serta profesionalisme pencapaian penggiat industri filem tempatan.

Pada edisi kali ini, FFM35 membawakan tema ‘Spektrum Sinema’ yang melambangkan kepelbagaian warna, perspektif, idea, dan kreativiti dunia perfileman tanah air. Tema ini mencerminkan keluasan ekspresi seni merangkumi pelbagai genre, budaya, teknologi, serta bakat tempatan—sekali gus memperkukuh industri filem sebagai medium perpaduan nasional dan memartabatkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

​Kemuncak Malam Anugerah FFM35 dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya, dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyari rasmi serta rakan strategik FFM35.

Penyertaan & Syarat Kelayakan FFM35

​Permohonan penyertaan FFM35 dibuka secara rasmi kepada umum bermula 29 Julai 2026 hingga 11 Ogos 2026. Kategori yang dipertandingkan merangkumi Filem Cereka, Filem Pendek, dan Dokumentari.

​Antara syarat utama kelayakan penyertaan adalah seperti berikut:

​●  Tempoh Kelayakan Tayangan: Karya mestilah telah ditayangkan di platform berkaitan dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026 dan belum pernah menyertai siri FFM sebelum ini.
​●  Pengeluar Filem: Mestilah memegang Lesen Pengeluaran Filem FINAS yang sah sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember 2026.
​●  Kelulusan LPF: Filem cereka dan dokumentari wajib mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
​●  Kewarganegaraan: Semua calon mestilah warganegara Malaysia atau bertaraf Pemastautin Tetap (PR).
​●  Filem Cereka: Mengalu-alukan 61 filem di bawah Skim Wajib Tayang serta filem cereka tempatan bukan Skim Wajib Tayang yang ditayangkan di pawagam dalam tempoh kelayakan.

25 Kategori Dipertandingkan

​Sebanyak 25 kategori anugerah akan dipertandingkan dalam FFM35 tahun ini bagi mengiktiraf bakat di dalam dan di luar tabir:

​1.  Filem Terbaik
​2.  Pengarah Terbaik
​3.  Pengarah Harapan
​4.  Pelakon Lelaki Terbaik
​5.  Pelakon Wanita Terbaik
​6.  Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
​7.  Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
​8.  Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
​9.  Pelakon Lelaki Harapan
​10.  Pelakon Wanita Harapan
​11.  Lakon Layar Terbaik
​12.  Cerita Asal Terbaik
​13.  Sinematografi Terbaik
​14.  Penyunting Terbaik
​15.  Skor Muzik Asal Terbaik
​16.  Penataan Seni Terbaik
​17.  Penataan Bunyi Terbaik
​18.  Lagu Tema Terbaik
​19.  Rekaan Busana / Kostum Terbaik
​20.  Kesan Khas Visual Terbaik
​21.  Tatarias / Solekan Terbaik
​22.  Poster Terbaik
​23.  Dokumentari Terbaik
​24.  Filem Pendek Terbaik
​25.  Anugerah Aksi Dan Lagak Ngeri Terbaik

​(Nota: Sebanyak 5 kategori anugerah khas tidak dipertandingkan pada edisi kali ini).

​Pendaftaran dan borang penyertaan boleh diakses secara dalam talian menerusi pautan borang di laman web rasmi FFM.

​Untuk maklumat lanjut mengenai maklumat pertandingan dan syarat penyertaan lengkap, sila layari laman web rasmi FINAS di www.finas.gov.my atau laman rasmi FFM di ffm.finas.my.

Post a Comment

0 Comments