Kedai EMAS SRI SEMANTAN Rasmikan Cawangan Ke-18 Di SUNGAI PETANI; Sasar Jadi ‘Soorga Emas Preloved’ Nombor Satu Malaysia


SUNGAI PETANI, KEDAH, 5 Julai 2026 – Kedai Emas Sri Semantan terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri emas negara dengan pembukaan rasmi cawangan ke-18 di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Langkah strategik ini mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkasakan ekonomi rakyat, khususnya kaum Bumiputera, menerusi pelaburan dan simpanan emas yang bijak.



Majlis perasmian gilang-gilang tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Baddrol Bin Bakhtiar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, serta dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi Emas Sri Semantan Sdn Bhd termasuk Pengerusinya, Tuan Mohamad Hafizal bin Haji Mahmood.



Pengerusi Emas Sri Semantan, Tuan Mohamad Hafizal bin Haji Mahmood berkata, pembukaan cawangan ke-18 ini bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi merupakan simbol perjuangan dan harapan dalam membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan emas sebagai pelindung nilai harta.



"Kami berazam untuk menjadikan Emas Sri Semantan sebagai Soorga Emas Preloved Nombor Satu di Malaysia—sebuah platform yang bukan sahaja dipercayai, tetapi memberi manfaat sebenar kepada ekonomi ummah. Apabila seseorang menyimpan emas dengan ilmu yang betul, mereka sedang membina ketenangan dan masa depan keluarganya," kata beliau.


Beliau turut menambah, bahawa Emas Sri Semantan tidak berniat untuk bersaing dengan sesiapa, sebaliknya fokus mengambil tanggungjawab bersama-sama merancakkan industri emas domestik serta memberi pulangan yang sewajarnya kepada seluruh ahli dan rakan niaga.



Sementara itu, ADUN Gurun, YB Tuan Baddrol Bin Bakhtiar dalam ucapan perasmiannya memuji usaha murni Emas Sri Semantan yang telah berjaya mengubah taraf hidup dan meningkatkan ekonomi banyak keluarga di Malaysia.



​"Saya begitu optimis Emas Sri Semantan akan terus menerajui industri emas negara. Pembukaan cawangan demi cawangan di seluruh negara bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, malah membuka peluang besar kepada rakyat, khususnya Bumiputera, untuk membina legasi kehidupan yang lebih baik dan boleh diwariskan kepada generasi akan datang," ulas YB Tuan Baddrol.

Bermula sebagai sebuah kedai kecil, Emas Sri Semantan kini membuktikan pertumbuhan luar biasa hasil kepercayaan padu daripada para ahli, rakan strategik, dan masyarakat umum. Dengan visi yang jelas dan strategi yang kukuh, syarikat tekad memacu langkah untuk terus menjadi benteng kewangan masyarakat ketika mendepani waktu sukar.

###
Mengenai Emas Sri Semantan Sdn Bhd:
Emas Sri Semantan Sdn Bhd adalah sebuah syarikat peneraju perniagaan emas tempatan yang komited menyediakan produk dan perkhidmatan emas berkualiti tinggi. Dengan rangkaian 18 cawangan di seluruh negara, syarikat memfokuskan kepada usaha memberi kesedaran kewangan berasaskan aset emas serta menyasarkan kedudukan sebagai peneraju pasaran emas preloved utama di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments