KUALA LUMPUR, 25 Julai 2026 - Selepas lebih tiga dekad mengukuhkan nama sebagai penyanyi, komposer, pelakon dan pengarah, Yusry Abdul Halim kembali dengan album solo terbaharunya berjudul Eternal, diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.
Eternal merupakan album solo penuh pertama Yusry selepas lebih dua dekad. Kepulangannya sebagai artis solo bukan sekadar membawa muzik baharu, malah menampilkan sisi beliau sebagai pengkarya yang terus berevolusi dengan karya-karya yang matang dan dekat dengan kehidupan.
Bagi meraikan pelancaran album ini, Yusry akan bertemu peminat, rakan media dan penggiat industri menerusi Eternal Gala Night yang berlangsung pada 25 Julai 2026, jam 8.30 malam di JioSpace. Album Eternal dilancarkan secara rasmi pada jam 9.00 malam dan boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.
Enam (6) Lagu, Pelbagai Cerita
Judul Eternal dipilih bagi menggambarkan perkara-perkara yang kekal dalam kehidupan seseorang. Sama ada kenangan, kasih sayang, kehilangan, harapan mahupun pengalaman yang membentuk diri, semuanya meninggalkan kesan yang terus hidup merentasi masa.
Album ini memuatkan enam buah lagu yang membawa cerita dan emosi yang berbeza. Setiap satunya berdiri dengan identiti tersendiri, namun saling melengkapi sebagai sebuah perjalanan yang dekat dengan kehidupan. Daripada kisah cinta dan pengorbanan, kehilangan, penghargaan terhadap keluarga, cabaran dalam hubungan sehinggalah pemerhatian terhadap masyarakat hari ini, Eternal mengajak pendengar menyelami pelbagai sisi kehidupan melalui muzik.
Menurut Yusry, beliau mahu menghasilkan sebuah album yang mampu menemani pendengar tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing.
"Saya memilih tajuk Eternal kerana saya percaya setiap orang mempunyai cerita yang akan kekal bersama mereka sepanjang hidup. Ada kenangan yang menggembirakan, ada juga yang menyakitkan, tetapi semuanya membentuk siapa diri kita hari ini. Saya harap album ini dapat menjadi teman kepada pendengar, tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing."
Kolaborasi Bersama Luca Sickta
Eternal turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap, kKomposer dan penulis lagu Luca Sickta menerusi dua buah lagu, "Jiwa & Raga" dan "Hancur Kecewa”.
Menurut Luca, beliau sudah membayangkan karakter vokal Yusry sejak awal proses penulisan kedua-dua lagu tersebut.
"Saya mahu lagu-lagu ini kedengaran jujur. Yusry mempunyai kematangan dalam penyampaian yang mampu menghidupkan setiap emosi yang ingin disampaikan. Itulah suara yang saya bayangkan sejak awal lagi."
Selain dua karya ciptaan Luca Sickta, empat lagi lagu dalam album ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yusry Abdul Halim.
Enam (6) Lagu, Enam (6) Kisah
Sebagai lagu fokus album, "Jiwa & Raga" mengisahkan tentang cinta yang dibina atas kesetiaan dan pengorbanan. Dipadankan dengan susunan muzik balada moden, lagu ini membuka keseluruhan perjalanan emosi dalam Eternal.
"Hancur Kecewa" pula menyelami rasa kehilangan apabila sebuah hubungan yang
pernah menjadi tempat bergantung akhirnya hanya tinggal kenangan. la mengangkat proses menerima kenyataan, melepaskan masa lalu dan mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Berbeza dengan dua karya tersebut, "Pelengkap Hidup" membawa tema yang lebih hangat dengan meraikan kasih sayang dalam keluarga serta kesyukuran terhadap insan yang sentiasa berada di sisi.
Melalui "Kasarnya Cinta", Yusry membawa pendengar menelusuri sisi lain sebuah hubungan apabila cinta menjadi ujian yang menguji hati, kepercayaan dan kesetiaan.
"Kamu Harus Tahu" pula berkisar tentang kepercayaan, janji dan penyesalan, manakala “Narsisistik" menutup album dengan sentuhan pop yang lebih segar, mengupas fenomena budaya media sosial, obsesi terhadap imej dan pencarian pengiktirafan dalam masyarakat hari ini.
Walaupun setiap lagu membawa tema yang berbeza, kesemuanya saling melengkapi dalam membentuk sebuah album yang meraikan pelbagai warna kehidupan.
Teman Dalam Setiap Fasa Kehidupan
Bagi Yusry, Eternal bukan sekadar sebuah album yang diraikan pada hari pelancaannya, tetapi sebuah karya yang diharapkan dapat terus menemani pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan.
"Saya berharap setiap orang akan menemui sekurang-kurangnya sebuah lagu dalam album ini yang dekat dengan kisah hidup mereka. Jika karya-karya ini mampu memberi ruang untuk seseorang mengimbau kenangan, mencari kekuatan atau sekadar menemani perjalanan mereka, itu sudah cukup bermakna buat saya."
Dengan enam (6) buah lagu yang membawa cerita dan emosi yang berbeza, Eternal menjadi sebuah album yang meraikan pelbagai sisi kehidupan. Daripada detik yang menggembirakan sehinggalah saat yang penuh cabaran, setiap karya memberi ruang kepada pendengar untuk menemukan kisah yang paling dekat dengan diri mereka.
Album Eternal kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.
###
TENTANG SONY MUSIC ENTERTAINMENT
Di Sony Music Entertainment, kami menghormati perjalanan seni. Para pencipta kami membentuk perubahan, budaya, komuniti dan sejarah. Kami telah memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Perjalanan kami bermula dari menubuhkan syarikat rakaman muzik pertama sehingga mencipta rakaman cakera padat. Kami telah membimbing ramai artis ikonik dalam dunia seni muzik dan menerbit beberapa buah rakaman yang berpengaruh sepanjang zaman. Sony Music Entertainment kini mempunyai lebih dari 100 cawangan syarikat di seluruh dunia untuk menyokong pelbagai pencipta yang berbakat pada setiap peringkat serta di setiap pentas persembahan. Di samping muzik, hiburan dan teknologi, kami juga membawa imaginasi, kepakaran kepada platform dan model perniagaan yang baharu serta peluang untuk menembusi pasaran luar. Semua usaha ini adalah untuk menyokong eksperimen, pengambilan risiko dan kemajuan komuniti kreatif. Sony Music Entertainment telah menerapkan prinsip perkongsian yang mendalam, kepercayaan, punca yang berasas bagi meningkatkan dan memperkuatkan masyarakat di seluruh dunia. Sony Music Entertainment adalah sebahagian daripada keluarga global Sony. Pelajari lebih lanjut mengenai pencipta dan label rekod kami sini.
0 Comments