KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2026: Pusat Pelancongan Islam (ITC) hari ini melancarkan edisi kelima Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026, dengan memperkenalkan identiti yang diperbaharui serta pengalaman digital berwajah baharu untuk kempen tahun ini.
ITM 2026 yang diperbaharui ini merangkumi logo dan identiti visual baharu, laman web rasmi yang dipertingkatkan dengan keupayaan tempahan dan pembayaran dalam talian, serta perkongsian strategik baharu yang bertujuan menyediakan pelbagai tawaran pelancongan mesra Muslim kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
ITM 2026 yang diperbaharui ini merangkumi logo dan identiti visual baharu, laman web rasmi yang dipertingkatkan dengan keupayaan tempahan dan pembayaran dalam talian, serta perkongsian strategik baharu yang bertujuan menyediakan pelbagai tawaran pelancongan mesra Muslim kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Majlis pelancaran media tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur.
Berlangsung dari 1 hingga 30 September 2026, ITM 2026 menghimpunkan pemain industri pelancongan dan hospitaliti, agensi kerajaan, komuniti, dan rakan strategik untuk mempamerkan produk, perkhidmatan, dan pengalaman mesra Muslim di bawah satu platform di www.itm.itc.gov.my.
PENGALAMAN DIGITAL YANG LEBIH LANCAR
Laman web ITM 2026 menghimpunkan promosi, pakej, aktiviti, dan tawaran daripada rakan kongsi yang mengambil bahagian di satu tempat, memberikan pengunjung cara yang lebih mudah untuk meneroka dan mengakses pengalaman pelancongan mesra Muslim di seluruh Malaysia.
Buat julung kalinya, platform ini juga membolehkan tempahan, pembelian, dan pembayaran dalam talian, disokong oleh gerbang pembayaran (payment gateway) yang baharu. Ini membolehkan pelawat beralih daripada mencari tawaran kepada menyelesaikan transaksi melalui platform yang sama.
Platform ini juga akan memberikan ITC dan rakan kongsi maklumat dan pandangan yang lebih mendalam mengenai penglibatan pengguna serta prestasi jualan, lantas membantu mereka memahami jangkauan dan impak tawaran mereka.
PERKONGSIAN STRATEGIK BAHARU
Pelancaran ini juga menyaksikan tiga perkongsian strategik dimeterai antara ITC dan rakan industri, iaitu AirAsia MOVE, MNet Technologies, dan Incentiv5.
AirAsia MOVE diumumkan sebagai agensi pelancongan dalam talian utama untuk ITM 2026, yang memperluaskan jangkauan kempen ini kepada kumpulan pelancong domestik dan antarabangsa yang lebih besar. Melalui laman sesawang mikro (microsite) khusus yang boleh diakses menerusi laman web ITM, pelancong boleh mencari dan menempah tawaran percutian yang berkaitan, lantas memudahkan penerokaan produk dan pengalaman pelancongan mesra Muslim.
Sementara itu, Incentiv5 turut serta untuk menawarkan pengguna ITM akses kepada pelbagai tawaran pelancongan dan gaya hidup yang lebih luas, manakala MNet Technologies memperkasakan gerbang pembayarannya.
Bersama-sama, perkongsian ini mengukuhkan rangkaian industri ITC sambil mencipta nilai yang lebih besar untuk para pelancong dan perniagaan pelancongan, memberikan pengguna akses yang lebih mudah kepada pilihan percutian yang berkaitan, di samping menyediakan perniagaan dengan lebih banyak peluang untuk mendekati bakal pelawat.
GABUNGAN PENGALAMAN DIGITAL DAN FIZIKAL
ITM 2026 dilaksanakan melalui gabungan promosi dan tawaran dalam talian menerusi platform digital ITM, di samping program dan aktiviti secara fizikal.
Sepanjang bulan September, pelawat akan dapat meneroka pelbagai tawaran istimewa, pakej, aktiviti, dan pengalaman daripada rakan kongsi yang mengambil bahagian, dalam kategori berikut:
■ Hotel dan penginapan
■ Agensi pelancongan
■ Spa dan kesejahteraan
■ Makanan dan minuman
■ Membeli-belah dan peruncitan
■ Tarikan pelancong
■ Program dan acara khas
■ Aktiviti komuniti dan Hari Terbuka Masjid
ITM 2026 juga akan melibatkan pelbagai kerjasama dan program yang diadakan bersempena dengan kempen ini, termasuk Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) anjuran JAKIM, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) anjuran MATRADE, dan Hari Terbuka Masjid yang melibatkan masjid-masjid terpilih di seluruh Malaysia.
Kerjasama ini menghimpunkan elemen pelancongan, halal, budaya, warisan, dan komuniti, lantas menawarkan pengunjung lebih banyak peluang untuk merasai pengalaman di Malaysia dari pelbagai perspektif yang berbeza.
SEIMBAS LALU ITM 2026
Selepas taklimat media ITM 2026, para tetamu dipertontonkan dengan video kempen ITM 2026 sebelum meneruskan lawatan ke pameran rakan kongsi yang memaparkan peniaga terpilih yang mengambil bahagian.
Pameran tersebut memberikan pratonton bagi sebahagian produk dan pengalaman yang ditawarkan sepanjang ITM 2026, termasuklah rawatan urutan tradisional oleh Nur Taj Spa, pengalaman berinteraksi bersama pelbagai jenis reptilia (termasuk mengkarung dan ular) di Farm in the City, dan anjing AI popular dari i-City, serta sesi merasa coklat oleh Ryverra.
Pameran itu mengetengahkan pelbagai jenis tawaran pelancongan mesra Muslim yang tersedia melalui ITM, merangkumi penginapan, pelancongan, makanan dan minuman, kesejahteraan, peruncitan, tarikan, dan pengalaman berasaskan komuniti.
Untuk maklumat lanjut mengenai ITM 2026, rakan kongsi yang mengambil bahagian, promosi, dan aktiviti, layari laman web rasmi ITM 2026 di www.itm.itc.gov.my.
###
Mengenai Bulan Pelancongan Islam (ITM): Inisiatif ITM bermula pada tahun 2022 sebagai Minggu Pelancongan Islam (ITW) sebelum diperluaskan menjadi Bulan Pelancongan Islam (ITM) pada tahun 2023, susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dan pihak industri.
Sejak itu, ITM terus menyediakan platform kepada pemain industri untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, dengan penyertaan meluas daripada hotel, agensi pelancongan, penyedia spa dan kesejahteraan, pengendali makanan dan minuman, pusat beli-belah, tarikan pelancong, masjid, serta organisasi komuniti.
ITM menjana jualan dan nilai promosi sebanyak RM2,588,084 pada 2024, dan meningkat kepada RM2,642,131 pada tahun 2025.
Mengenai Pusat Pelancongan Islam (ITC) :
Pusat Pelancongan Islam (ITC) ialah sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia, yang ditugaskan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam di Malaysia. Ia menyokong sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) dengan menawarkan penyelidikan dan risikan pasaran, latihan, perundingan pembangunan industri, piawaian dan pengiktirafan perkhidmatan, serta pertukaran maklumat.
0 Comments