Bunga melur di laman seri,
Harum mewangi dibawa bayu;
Terbuka hikayat warisan negeri,
Mansur bertemu puteri Liu.
KUALA LUMPUR 7 Ogos 2026 – Maka tersebutlah kisah sebuah kerajaan yang berdiri megah di hujung Semenanjung, tatkala angin dari Lautan Hindi dan Laut China Selatan membawa khabar tentang kemasyhuran sebuah pelabuhan yang menjadi nadi dunia. Di situlah kukuhnya Kesultanan Melaka, mahkota Alam Melayu yang disegani sahabat dan digeruni lawan.
Tatkala sejarah sering dikenang melalui helaian kitab dan hikayat lama, sebuah naskhah teater muzikal berskala besar hadir menghidupkan kembali satu daripada kisah paling agung yang terakam dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dalam bahasa seni.
Diberi nama Teater Muzikal Mansur & Liu, ia bukan sekadar mengisahkan pertemuan antara Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming, bahkan menyingkap sebuah zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa, kebijaksanaan mengatasi kekuatan dan kasih merapatkan dua empayar yang dipisahkan oleh lautan.
Buat julung kalinya juga, maestro seni tanah air, Dato' M. Nasir mengemudi sebuah teater muzikal sebagai sutradara, menghadirkan sebuah karya yang lahir daripada jiwa seorang seniman, berpaksikan sejarah bangsa namun dipersembahkan dengan roh yang merentas zaman.
Maka seia sekatalah empunya naskhah menghimpunkan para seniman terbaik tanah air dalam satu muafakat yang boleh diibaratkan sebagai titian diplomasi seni. Daripada dunia muzik hingga ke pentas lakonan, segala bakat dipersatukan bagi menzahirkan Mansur & Liu, sebuah persembahan yang bukan sahaja menghidupkan kembali sejarah, bahkan meraikan kebesaran warisan seni Melayu dengan segala kemuliaannya.
Dan setelah diperhalusi akan segala ikhtiar juga pertimbangan tuntas, Roman Abadi yang diterajui Dato M Nasir dan Datin Marlia Musa serta Icon Entertainment sepakat menyerahkan mahkota watak Sultan Mansur Shah kepada Alif Aziz, manakala Melinda Dadew dipilih menghidupkan peribadi Puteri Liu.
Seumpama bulan dengan purnama, kedua-duanya dipertemukan bagi menzahirkan kembali sebuah hikayat yang pernah menghubungkan Melaka dengan bumi China, agar sejarah itu tidak sekadar dikenang, tetapi disaksikan kembali di hadapan mata.
Panggung Mansur & Liu turut dihidupkan dengan bala tentera, dayang dan inang istana termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad bakal menyempurnakan denyut sebuah kerajaan yang pernah berdiri sebagai pusat tamadun Nusantara.
“Lebih daripada sebuah pementasan, Mansur & Liu merupakan pengalaman yang mengundang khalayak menyeberangi batas masa. Lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli ciptaan Dato' M. Nasir menjadi nadi penceritaan, menyatukan lenggok tradisi Melayu dengan susunan orkestra kontemporari, sehingga setiap adegan mengalir bagaikan bait-bait syair yang bernyawa.
“Mansur & Liu juga bukan cinta semata-mata yang menjadi paksi cerita. Di sebalik pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, tersirat hikmah tentang maruah sebuah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, kesetiaan kepada tanah air, kebijaksanaan dalam berunding serta indahnya persahabatan antara dua tamadun besar yang saling menghormati,” ujar Iman Tang mewakili Icon Entertainment.
Akan bermula 10 hingga 20 September 2026, tirai Panggung Sari, Istana Budaya akan terbuka bagi menyambut sebuah persembahan berskala besar dan imersif ini. Di balairung seni persembahan paling berprestij negara itu, cahaya, bunyi, tari, busana, seni bina pentas dan teknologi moden berpadu bagi menghidupkan semula istiadat, kemegahan dan kehalusan budaya Kesultanan Melaka dalam sebuah pengalaman yang memukau pancaindera.
Lewat Mansur & Liu, pihak penerbit turut membawa mimpi yang lebih besar daripada sekadar sebuah persembahan iaitu mengangkat warisan sejarah dan kesenian Melayu ke persada yang lebih luas agar terus mekar dalam ingatan generasi hari ini dan akan datang.
“Seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur & Liu diharap menjadi lambang kekuatan seni persembahan negara, sekali gus memperkenalkan keagungan warisan Melayu kepada khalayak tempatan dan antarabangsa melalui bahasa teater yang indah, agung dan merentasi zaman,” ujar Iman lagi.
Mansur & Liu bukan sekadar sebuah teater muzikal. Ia ialah sebuah hikayat yang kembali bernyawa, sebuah warkah daripada masa silam kepada zaman kini, mengingatkan bangsa yang mengenang sejarahnya akan sentiasa menemukan jalan pulang kepada jati dirinya.
Maka dibukakanlah pintu balairung kepada sekalian pencinta seni, agar tiada terhalang hasrat untuk menyaksikan tertegaknya kembali sebuah hikayat di atas pentas. Warkah kehadiran disediakan mengikut beberapa kategori iaitu pada bahagian (Balairung Utama) Stalls dengan nilai RM388 (A1), RM408 (A2), RM388 (A3), RM368 (A4), RM388 (A5) dan RM368 (A6).
Laluan menghadap pentas juga boleh didapati pada bahagian Anjung Bendahara (Grand Circle) pada nilai RM268 (B1), RM268 (B3) dan RM308 (B2) serta rakyat jelata turut dijemput singgah menonton kemegahan Kesultanan Melaka yang dihidupkan semula dalam bahasa teater pada bahagian Anjung Rakyat (Upper Circle) dengan nilai RM88 (C1), RM88 (C3) dan RM128 (C2).
Tiket boleh didapati di https://www.ticket2u.com.my/MansurdanLiu bermula Isnin, 10 Ogos 2026 pukul 3 petang.
Kalau asal benih yang baik,
Jatuh ke bumi tetap bersemi;
Kalau asal sejarah yang baik,
Tak lapuk dek zaman, tak lekang dek seni..
LEMBARAN PEMENTASAN
Persembahan Hikayat: Mansur & Liu Yang menjunjung watak Sultan Mansur Shah : Alif Aziz Yang menjelmakan watak Puteri Liu : Melinda Dadew Yang menyempurnakan segala watak bala tentera, dayang, inang serta sekalian pelaku seni :
Alif Aziz
Melinda Dadew
Amerul Affendi
Sherry Al Hadad
Hazama
Taqim Zaki
Brian Chan
Fadhli Masoot
Anas Ridzuan
Arena Wan
Ruzana Ibrahim
Fiza Thomas
Taufiq Izmir
Marzuki Noh
Shahrul Mizad
■ Tempat : Panggung Sari, Istana Budaya.
■ Hari Pementasan : 10 - 20 September 2026.
■ Lagu & Skor Muzik : Dato' M. Nasir.
■ Naskhah & Penerbit : Dato' M. Nasir serta Datin Marlia Musa melalui Roman Abadi bersama Icon Entertainment.
Laluan Menghadap Balairung:
Stalls (Balairung Utama)
● A1 – RM388
● A2 – RM408
● A3 – RM388
● A4 – RM368
● A5 – RM388
● A6 – RM368
Grand Circle (Anjung Bendahara)
● B1 – RM268
● B2 – RM308
● B3 – RM268
Upper Circle (Anjung Rakyat)
● C1 – RM88
● C2 – RM128
● C3 – RM88
Anjung menyaksikan hikayat: https://www.ticket2u.com.my/MansurdanLiu
0 Comments