KUALA LUMPUR, 14 OGOS 2026 – Industri muzik tempatan bakal menyaksikan satu lagi fasa penting apabila penyanyi dan komposer ternama, Edry Abdul Halim, memberi bayangan bakal melancarkan projek album solo pertamanya tidak lama lagi.
Berita gembira mengenai projek solo tersebut dikongsikan sendiri oleh anggota kumpulan lagenda KRU itu menerusi satu hantaran terbaharu di platform Threads. Hantaran berkenaan turut memaparkan keberadaan beliau di ibu pejabat Sony Music Malaysia bagi memuktamadkan pelan pelancaran album berkenaan.
Mengulas mengenai proses pembentukan album tersebut, Edry berkongsi bahawa beliau telah meluangkan masa secara intensif selama beberapa bulan bagi memastikan setiap karya yang dihasilkan memenuhi standard kualiti ciptaannya.
"Kembali ke ibu pejabat Sony Music Malaysia untuk memuktamadkan projek solo pertama saya. Hampir tiga bulan saya berkampung menghasilkan lagu-lagu baharu untuk album solo yang bakal dilancarkan," ulasnya.
EDRY Single - SUMPAH Takkan Cari Yang Lain! (2008). Percubaan Solo.
Karya Lagu & Lirik EDRY ABDUL HALIM - HITMAN (2011).
Dalam pada itu, Edry turut meluahkan rasa syukur atas kepercayaan serta ruang yang diberikan untuk beliau meneroka sisi artistik baharu sepanjang proses pembentukan projek solo ini.
"Bersyukur atas peluang ini untuk berkarya dengan lebih bebas dan mencuba sesuatu yang segar," tambah Edry lagi, memberi petunjuk bahawa album solo ini bakal menyajikan konsep dan nada muzik yang berbeza daripada karya-karyanya sebelum ini.
Perkembangan baharu ini dijangka bakal menarik perhatian ramai pengkritik dan peminat muzik tanah air, memandangkan Edry dikenali sebagai watak penting di sebalik ratusan lagu hits tempatan serta kejayaan fenomenal kumpulan KRU sepanjang tiga dekad yang lalu.
Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, judul album, serta senarai lagu (tracklist) bakal diumumkan oleh pihak Sony Music Malaysia dalam masa terdekat.
###
Mengenai EDRY ABDUL HALIM (KRU)
Edry Abdul Halim ialah seorang penyanyi, penulis lagu, dan penerbit muzik terkemuka di Malaysia. Beliau mula menempa nama pada tahun 1992 sebagai salah seorang anggota kumpulan Rap- pop-R&B tempatan, KRU, sebelum terus melakar kejayaan sebagai komposer yang menghasilkan pelbagai lagu hit untuk barisan penyanyi popular tanah air.
0 Comments