PELANCARAN “KITA WARGA MALAYSIA”: SEBUAH KARYA MUZIK DAN VISUAL MERENTAS PERPADUAN, PENDIDIKAN DAN SENI



KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 — Lagu patriotik terbaharu ciptaan Dr. Lee Tuck Wah, “Kita Warga Malaysia”, telah dilancarkan secara rasmi hari ini dalam satu majlis berprestij yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, merangkumi tokoh kepimpinan, penggiat seni, wira sukan, serta wakil sektor pendidikan dan komuniti.

​Berlangsung di TGV Cinemas, Pavilion Bukit Jalil, majlis pelancaran ini memartabatkan mesej perpaduan menerusi gagasan: “Satu Hati, Satu Suara — Membawa Malaysia di Mata Dunia.”


Daripada Karya Muzik ke Lensa Sinematik

Melalui proses penerbitan yang mengambil masa hampir dua tahun, projek “Kita Warga Malaysia” berevolusi daripada sebuah gubahan lagu kepada satu pengalaman visual sinematik. Hasil kerjasama strategik bersama rumah produksi LOMO Pictures yang diterajui Aron Koh, serta sokongan pengarah filem tersohor Ryon Lee Eng Keong, karya ini membuktikan keupayaan industri kreatif sebagai medium pemangkin nilai positif dan perpaduan nasional.


Selain mengangkat nilai patriotisme, karya ini turut mengintegrasikan lima prinsip Rukun Negara sebagai teras penceritaan bagi menyemarakkan keharmonian antara kaum.

Simbolik Pelancaran Berteknologi dan Menyatukan Rakyat

Kemuncak majlis menyaksikan gimik pelancaran interaktif berasaskan teknologi Robot AI. Melalui bimbingan Robot AI, para tetamu kehormat bersama hadirin mengibarkan Jalur Gemilang diiringi seruan “SAYA ANAK MALAYSIA! KITA WARGA MALAYSIA!” yang bergema di dalam dewan. Majlis diteruskan dengan gimik pembukaan payung “Kita Warga Malaysia” secara serentak, menyimbolkan perlindungan, kebersamaan, dan ketahanan rakyat Malaysia dalam mengharungi sebarang cabaran di bawah satu naungan.


Sokongan Pemimpin, Tokoh dan Wira Negara

Inisiatif ini turut menerima sokongan padu daripada penaung dan tokoh terkemuka negara, antaranya:

●  Y.A.M. Tunku Noraidah Zakiah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Puteri kepada Yang di-Pertuan Agong Pertama merangkap Penaung Diraja “Kita Warga Malaysia”;
​●  Y.A.M. Tunku Dato’ Suleiman bin Tunku Abdul Rahman, Penasihat Utama “Kita Warga Malaysia”;
​●  YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Yusof Tun Syed Nasir J.P., Presiden Yayasan Dato Malaysia;
​YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden PEMENANG.

​Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin bin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).



​Sektor pendidikan turut memberikan komitmen tinggi menerusi kehadiran YBhg. Datin Rosliza binti Rosli, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad, bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Terengganu. Langkah ini bertujuan membolehkan karya tersebut dimanfaatkan sebagai bahan sokongan aktiviti patriotisme dan nilai murni di peringkat sekolah.

​Majlis turut diserikan dengan kehadiran wira badminton legenda Piala Thomas, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit, bersama pengarah filem “Sentuhan Wira”, Lenny Ooi. Kehadiran mereka menyimbolkan kesinambungan semangat perjuangan negara daripada gelanggang sukan ke persada seni dan pendidikan. Penyertaan kebudayaan turut diperkasa oleh Persatuan Kesenian Etnik Sarawak pimpinan Rosalind Kamis, serta sokongan elemen kelestarian (ESG) oleh Alfred Kong dan Cindy Wong menerusi remadesia.



Penayangan Khas 30 Ogos dan Inisiatif Sekolah

Rakaman kebersamaan para tetamu dan penggiat seni pada majlis hari ini bakal diabadikan dalam satu kandungan khas yang diterbitkan menerusi Saluran YouTube “Kita Warga Malaysia” pada 30 Ogos 2026, jam 8:31 malam, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

​Fasa seterusnya menyaksikan pihak penganjur merancang penganjuran pertandingan Video Kreatif “Kita Warga Malaysia” di peringkat sekolah seluruh negara. Inisiatif ini membuka ruang kepada generasi muda untuk mengekspresikan semangat cinta akan negara mengikut kreativiti masing-masing.


Turut diadakan pada petang ini ialah Penyampaian Anugerah Warga Malaysia 2026 yang merangkumi 10 kategori, meliputi tokoh, wira, artis, pemuzik, pendidik dan personaliti yang telah menunjukkan kecemerlangan serta sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.

​Pihak penganjur turut mengalu-alukan penglibatan lebih ramai anak seni, pihak media, dan seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan pandangan serta menyertai pembangunan “Kita Warga Malaysia — Versi Ke-2” pada masa hadapan.

Post a Comment

0 Comments