KUALA LUMPUR, 20 September 2026 – Perlumbaan menara paling lama dianjurkan di Malaysia, Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2026 (Turkish Airlines KLTRIC2026), kembali hari ini bagi edisi ke-24 dengan penyertaan peserta dari 24 negara, sempena sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kuala Lumpur Tower.
Dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, acara ini menggabungkan penyertaan sukan antarabangsa dengan peluang meneroka destinasi. Kehadiran peserta dari 24 negara ke Kuala Lumpur Tower membuka peluang untuk memperkenalkan tarikan, budaya dan hospitaliti ibu negara kepada para pelari serta penyokong yang mengiringi mereka, sambil menggalakkan mereka meneroka lebih banyak destinasi di Malaysia selepas perlumbaan.
Para peserta menakluki 1,608 anak tangga sebelum menamatkan perlumbaan di Sky Garden, pada ketinggian 292 meter dari aras tanah, yang diperkenalkan sebagai garisan penamat baharu bagi acara tahunan ikonik ini. Tarikan terbaharu Kuala Lumpur Tower itu menyediakan latar yang unik bagi atlet elit yang bersaing merebut kedudukan podium, serta pelari rekreasi yang berusaha mencapai sasaran peribadi masing-masing. Garis penamat baharu ini mencerminkan usaha berterusan Kuala Lumpur Tower untuk memperbaharui pengalaman KLTRIC, sambil mengekalkan cabaran pendakian menegak yang telah menjadi identiti perlumbaan ini selama lebih dua dekad.
Sepanjang penganjurannya, perlumbaan ini telah berkembang menjadi antara acara tahunan yang dinantikan oleh komuniti pelari menara, menghimpunkan peserta yang kembali menyertai perlumbaan serta mereka yang pertama kali mengambil bahagian untuk menguji ketahanan diri di salah satu mercu tanda paling dikenali di Malaysia.
Khairil Faizal Hj Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., berkata: “Sempena sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kuala Lumpur Tower, KLTRIC yang kini memasuki edisi ke-24 telah menjadi sebahagian daripada sejarah Kuala Lumpur Tower. Kami terus mempertingkatkan pengalaman peserta sambil mengekalkan cabaran yang menjadi identiti KLTRIC sejak lebih dua dekad lalu. Tahun ini, garisan penamat baharu di Sky Garden menambah dimensi baharu kepada acara tersebut.”
Pelepasan perlumbaan telah disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad; Khairil Faizal Hj Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd.; Mustafa Kemal Kizilay, Pengurus Besar Turkish Airlines Malaysia; serta Shazman Shahid, Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan, AmBank Group.
Kuala Lumpur Tower merakamkan penghargaan kepada Turkish Airlines, yang kembali sebagai Penaja Utama bagi tahun kelima berturut-turut, atas komitmen berterusan terhadap acara ini serta
perkembangan sukan larian menara. AmBank pula menyertai acara ini untuk kali pertama sebagai Rakan Perbankan Rasmi, seterusnya memperkukuh sokongan terhadap penganjuran edisi tahun ini.
Penghargaan turut diberikan kepada Towerrunning World Association (TWA), Malaysia Towerrunning Association (MTA), agensi-agensi kerajaan, para penaja, tarikan pelancongan serta rakan industri hospitaliti atas sumbangan mereka dalam menjayakan acara ini.
0 Comments