EZAD LAZIM KEMBALI DENGAN "RASA CINTA" – MEMBUKA LEMBARAN BAHARU BERSAMA EZ RECORD anak Syarikat Ezad & Zeana Ventures (M) Sdn Bhd.


KUALA LUMPUR 10 September 2026 - Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri hiburan tanah air sejak tahun 1995, Ezad Lazim terus membuktikan kecintaan dan komitmennya terhadap dunia seni dengan pelancaran single terbaharu berjudul "Rasa Cinta".

Sepanjang perjalanan seninya, Ezad Lazim yang pernah bersama Exists dikenali sebagai penyanyi yang memiliki vokal tersendiri, di samping bergelar pelakon, komposer dan penerbit. 

Pengalaman yang dikumpul selama bertahun-tahun menjadi asas kepada sebuah karya yang lebih matang dan dekat di hati pendengar.

Tahun 2026 menjadi satu titik perubahan penting dalam perjalanan kerjayanya apabila Ezad tampil menerusi syarikat rakamannya sendiri, EZ Record. 

Menerusi projek ini, beliau mengambil tanggungjawab sebagai produser, komposer serta peneraju penerbitan muzik dan muzik video, sekali gus memperlihatkan visi kreatif yang dibangunkan sepenuhnya di bawah jenama EZ Record.

Single "Rasa Cinta" merupakan ciptaan Ezad Lazim, manakala liriknya ditulis oleh Zeana Ramli. Lagu bergenre balada ini membawa mesej yang cukup luas tentang makna cinta. 

Ia bukan sahaja sesuai dihayati oleh pasangan yang saling menyayangi, malah boleh ditafsirkan sebagai luahan kasih dan pengabdian kepada Yang Maha Esa, menjadikan karya ini dekat dengan pelbagai lapisan pendengar.

Pelancaran "Rasa Cinta" juga merupakan projek sulung EZ Record sebagai label rakaman yang membawa aspirasi untuk melahirkan lebih banyak karya berkualiti serta membuka ruang kepada bakat-bakat baharu dalam industri muzik tempatan.

Selepas pelancaran ini, EZ Record bakal memperkenalkan barisan artis baharu di bawah naungannya. Antaranya ialah Adree dan Tika Nasir, yang telah pun selesai menjalani proses rakaman lagu di studio EZ Record. 

Kedua-dua artis ini dijangka tampil dengan karya masing-masing mengikut perancangan label dalam masa terdekat. 

Selain itu, EZ Record turut mempunyai beberapa buah lagu baharu yang telah siap dihasilkan dan kini hanya menunggu waktu yang paling sesuai untuk diperkenalkan kepada umum. 

Perancangan ini mencerminkan komitmen EZ Record untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti dan memberi warna baharu kepada industri muzik Malaysia.

Dengan pengalaman luas Ezad Lazim serta semangat baharu melalui EZ Record, pelancaran "Rasa Cinta" diharap menjadi permulaan kepada satu perjalanan yang lebih besar dalam memperkembangkan industri muzik tempatan serta melahirkan lebih ramai artis dan karya yang mampu memberi impak kepada pendengar.

Kisah Di Sebalik Penghasilan "Rasa Cinta" Perjalanan Ezad sebagai pencipta lagu sebenarnya bermula sejak zaman bersama kumpulan Exists lagi. Ketika itu, Ezad telah menghasilkan beberapa buah lagu, namun selepas meninggalkan kumpulan tersebut, Ezad mengambil masa yang agak lama untuk kembali berkarya. 

Mungkin ketika itu ilham belum benar-benar hadir. Alhamdulillah, segalanya berubah apabila Ezad dan Zeana memiliki pejabat sendiri yang turut memuatkan studio latihan dan rakaman serta fotografi pada awal tahun 2025 di Kota Warisan, Sepang. 

Semangat untuk kembali berkarya hadir dengan lebih kuat, sekali gus mendorong Ezad membina studio rakaman sendiri. Daripada usaha dan kesungguhan itulah, lahirnya EZ RECORD, sebuah syarikat rakaman yang menjadi platform untuk beliau menghasilkan karya secara lebih kreatif dan profesional.

Menurut Ezad, lagu "Rasa Cinta" tercipta secara spontan sebaik sahaja proses menyiapkan studio selesai. Ketika memegang gitar, melodi lagu ini hadir dengan begitu mudah. 

"Bagi melengkapkan karya tersebut, saya meletakkan kepercayaan kepada Zeana Ramli, isteri dan Pengurus saya, untuk menghasilkan lirik kerana saya percaya Zeana mempunyai bakat dalam penulisan. 

"Hasilnya, "Rasa Cinta" menjadi karya pertama yang kami hasilkan bersama sebagai pasangan suami isteri," jelas Ezad.

Penyanyi bernama sebenar Mohd Rohaizad Mohammad Lazim, 47, mengakui proses menghasilkan lagu "Rasa Cinta'" turut mempunyai cabaran tersendiri. 

"Proses menghasilkan lagu ini juga mempunyai cabarannya. Pada ketika itu, saya masih belum mempunyai jurutera bunyi untuk mengendalikan proses rakaman. 

"Namun, Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan kami apabila dipertemukan dengan individu-individu yang sudi membantu dan bekerjasama. 

"Daripada pertemuan itulah, lahirnya pasukan EZ RECORD yang menjadi tulang belakang kepada setiap proses penerbitan karya ini. 

Lebih membanggakan, keseluruhan rakaman "Rasa Cinta" disiapkan sepenuhnya di Studio EZ RECORD," katanya.

Bercerita mengenai mesej yang terselit dalam lagu tersebut, Ezad berkata, "Rasa Cinta" mengangkat tema kasih sayang yang bersifat universal. 

Ia bukan sahaja menggambarkan cinta antara pasangan suami isteri, malah boleh dihayati sebagai luahan cinta dan pengabdian kepada Allah SWT serta kecintaan kepada Rasulullah SAW. 

Lagu ini diharapkan mampu menyentuh hati pendengar daripada pelbagai latar belakang. 

Bagi melengkapkan keseluruhan projek, video muzik "Rasa Cinta" turut diterbitkan sepenuhnya oleh EZ RECORD. 

Proses penggambaran, suntingan dan pasca produksi dilaksanakan oleh tenaga kerja dalaman syarikat. Idea, konsep dan arahan kreatif video muzik ini merupakan hasil cetusan Ezad bersama pasukan EZ RECORD, sekali gus membuktikan komitmen beliau dan kru dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan mempunyai identiti tersendiri.


https://youtube.com/playlist?list=RDoauZt8k3Ivw&playnext=1&si=sCqQS2kYpEVtZTrt

Muzik video lagu "Rasa Cinta" boleh ditonton di saluran YouTube rasmi EZ Record.

###

Untuk pertanyaan media: Ezad & Zeana Ventures (M) Sdn Bhd EZ Record

*Pengurusan Artis & Event
* Photography 
* Syarikat Rakaman

Post a Comment

0 Comments