KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER 2026 — Johor Bahru bakal kembali menjadi tumpuan peminat muzik apabila kumpulan popular Indonesia, Wali Band, memilih bandar raya selatan tanah air itu sebagai destinasi untuk bertemu peminat menerusi konsert WALI LIVE IN JB, yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru, bermula jam 8.00 malam.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment & infinity Love Creative Ventures ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha menghidupkan semula scene konsert di Johor Bahru, selain membuka ruang kepada lebih banyak penganjuran acara muzik berskala besar di bandar raya tersebut pada masa akan datang.
Lebih menarik, WALI LIVE IN JB merupakan projek sulung Nusantara Live Entertainment sebagai penganjur konsert, dengan sokongan pasukan berpengalaman serta kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Tourism Johor, Infinity Love Creative Ventures dan EduCity Sports Complex selaku penyedia acara.
Menurut wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz bin Abd Hamid dan Nur Liyana bt Abd Rahman, pemilihan Johor Bahru (JB) dibuat berdasarkan potensi bandar raya tersebut serta sambutan positif daripada peminat di selatan tanah air dan Singapura.
“Kami berbesar hati dapat bersama-sama menghidupkan semula scene konsert di Johor Bahru dengan kerjasama Tourism Johor. Kami melihat sambutan penonton di JB dan Singapura sangat menggalakkan, dan perkara ini memberikan kami keyakinan bahawa JB mempunyai potensi besar untuk terus menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran konsert pada masa akan datang.
“Walaupun kami masih baharu sebagai penganjur konsert, kami mempunyai pasukan yang berpengalaman. Kami amat menghargai sokongan daripada semua pihak yang terlibat. Infinity Love Creative Ventures banyak memberikan bimbingan dan berkongsi pengalaman kepada kami, manakala Tourism Johor serta EduCity Sports Complex turut membantu dalam memastikan projek ini dapat direalisasikan dengan baik. Kerjasama seperti ini sangat penting dalam usaha menghidupkan semula scene konsert di Johor Bahru,” jelas mereka.
Wakil penganjur Infinity Love Creative Ventures, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata kerjasama bersama Nusantara Live Entertainment merupakan satu langkah positif dalam usaha mengembangkan semula industri konsert di Johor Bahru.
“Sebagai pihak yang mempunyai pengalaman dalam industri, kami melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran bersama pasukan Nusantara Live Entertainment. Bagi kami, pengalaman yang dikongsi kepada pasukan yang baharu dalam penganjuran konsert amat penting bagi memastikan setiap aspek pengurusan dan pelaksanaan acara dapat dilakukan dengan baik,” jelas Mubarak.
Menurut beliau, WALI LIVE IN JB juga menjadi satu platform yang balk untuk menggabungkan pengalaman pasukan berpengalaman dengan tenaga serta idea baharu daripada Nusantara Live Entertainment.
"Kami berharap kerjasama ini dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang dan penganjuran acara berkualiti di Johor Bahru pada masa akan datang, sekali gus membantu menghidupkan kembali scene konsert di negeri ini,” katanya.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, pihak penganjur berharap WALI LIVE IN JB mampu menjadi pencetus kepada lebih banyak acara muzik berkualiti di Johor Bahru, sekali gus memberikan keyakinan kepada penganjur lain untuk melihat bandar raya tersebut sebagai destinasi berpotensi bagi penganjuran acara berskala besar.
Pihak penganjur turut melihat potensi untuk meneruskan penganjuran konsert di Johor Bahru pada masa akan datang, mengambil kira sambutan positif daripada penonton tempatan serta peminat dari Singapura.
Pemilihan Wali Band sebagai artis utama pula cukup bertepatan dengan kekuatan kumpulan tersebut yang telah membina hubungan erat dengan peminat Malaysia selama lebih dua (2) dekad.
Sepanjang lebih 25 tahun berkarya, Wali Band yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar/komposer), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) telah menghasilkan pelbagai lagu popular yang terus menjadi pilihan pendengar sehingga hari ini.
Antara lagu yang cukup sinonim dengan kumpulan tersebut termasuk Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib, Nenekku Pahlawanku, Cari Berkah, Emang Dasar dan Tobat Maksiat.
Kekuatan Wali Band terletak pada kemampuan mereka menghasilkan karya yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Lirik yang mudah difahami, melodi yang mudah diingati serta tema berkaitan cinta, kehidupan, keluarga dan nilai kemanusiaan menjadikan lagu-lagu mereka terus relevan merentasi generasi.
Bagi melengkapkan persembahan, penyanyi tempatan Najwa Latif turut diundang sebagai penyanyi istimewa untuk berkongsi pentas bersama Wali Band.
Gabungan Wali Band dan Najwa Latif dijangka memberikan pengalaman muzik yang menarik kepada peminat, dengan pertemuan antara kumpulan popular Nusantara yang sarat dengan nostalgia dan penyanyi tempatan yang mempunyai identiti serta kelompok peminat tersendiri.
Pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi WALI LIVE IN JB turut mempunyai nilai strategik dari sudut pelancongan dan ekonomi setempat. Kedudukannya sebagai pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia serta berdekatan dengan Singapura dan Indonesia membuka peluang kepada kehadiran peminat dari luar Johor dan luar negara.
Kehadiran pengunjung dari juar kawasan juga berpotensi memberikan limpahan positif kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan tempatan.
Bagi Wali Band pula, persembahan di Johor Bahru merupakan kesinambungan hubungan mereka dengan peminat Malaysia yang telah terjalin selama lebih 25 tahun.
Dengan deretan lagu popular yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik Nusantara, WALI LIVE IN JB dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia, hiburan dan nyanyian bersama yang menemukan Wali Band dengan peminat dari Malaysia, Singapura serta rantau sekitarnya.
Dengan produksi pentas yang lebih segar, sistem audio bertaraf antarabangsa serta pilihan lagu-lagu yang telah menjadi runut bunyi kehidupan jutaan peminat, WALI LIVE IN JB dijangka menjadi antara konsert muzik Nusantara yang dinanti-nantikan tahun ini.
Tiket WALI LIVE IN JB ditawarkan pada harga RM88 (Cari Berkah — CAT 3),
RM128 (Cari Jodoh — GA),
RM128 (Emang Dasar — CAT 2),
RM168 (Nenekku Pahlawanku — CAT 1), RM388 (Tomat — VIP) dan
RM1,188 (Yank — Super VIP). Tiket boleh didapati menerusi MyTicket Asia melalui pautan berikut: myticket.asia — WALI LIVE IN JB
0 Comments