MISI BANTU INAZ DI INDIE VIBES @ DI PENTAS PANGGUNG ANNIVERSARI


Inaz, anak kelima kepada Andy daripada kumpulan Flop Poppy, sedang berdepan dengan scoliosis yang serius, iaitu keadaan apabila tulang belakang membengkok secara tidak normal.

Dalam kes Inaz, tahap lengkungan tulang belakangnya telah mencecah sekitar 48 darjah, menyebabkan keadaan tersebut memerlukan perhatian dan rawatan sewajarnya.

Atas semangat solidariti , Indie Vibes @ Panggung Anniversari, anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibawah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Pelancongan dan Sukan DBKL yang kembali pada 5 September 2026 (Sabtu), kali ini membawa sebuah misi yang lebih besar daripada sekadar persembahan muzik menerusi kempen S.O.S 4 INAZ.

Kempen ini merupakan satu usaha bersama untuk membantu Inaz yang kini memerlukan pembedahan dalam masa terdekat.

Secara mudah, scoliosis menyebabkan tulang belakang yang sepatutnya kelihatan lurus apabila dilihat dari belakang menjadi melengkung ke sisi. Apabila lengkungan menjadi semakin serius, keadaan ini boleh menjejaskan postur dan pergerakan serta menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan.


Berdasarkan penilaian pakar yang dikongsikan oleh keluarganya, Inaz memerlukan pembedahan dengan kos rawatan yang dianggarkan sekitar RM97,000.

Atas dasar itu, edisi Indie Vibes kali ini menjadikan S.O.S 4 INAZ sebagai antara fokus utamanya dengan mengajak komuniti muzik, peminat serta orang ramai bersama-sama menunjukkan solidariti kepada Inaz dan keluarganya.

MUZIK JADI MEDIUM SOLIDARITI

Pada hari acara, jualan amal merchandise serta kutipan sumbangan untuk Inaz akan diadakan.

Orang ramai yang hadir bukan sahaja dapat menikmati persembahan muzik secara percuma, malah berpeluang memberikan sumbangan secara langsung bagi membantu keperluan rawatan Inaz.

Misi yang turut mendapat sokongan Persatuan Karyawan Malaysia ini menggabungkan elemen kebajikan dengan program seni anjuran DBKL menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan, sekali gus memperlihatkan bagaimana sebuah acara muzik boleh menjadi medium untuk menggerakkan solidariti masyarakat.

Lebih bermakna, Baba Andy sendiri akan membuat persembahan pada hari tersebut, menjadikan Indie Vibes kali ini sebuah pertemuan antara muzik, keluarga, sahabat dan komuniti yang bersatu atas satu tujuan.

Semangat yang dibawa menerusi S.O.S 4 INAZ cukup mudah — setiap bantuan mempunyai nilai.

Sama ada melalui pembelian barangan amal, sumbangan, perkongsian mengenai kempen ini ataupun sekadar hadir memberikan sokongan, setiap usaha mampu membantu memperluaskan misi untuk Inaz.


HADIR • BANTU • SOKONG • KONGSI
INDIE VIBES TERUS RAIKAN KEPELBAGAIAN MUZIK

Dalam masa yang sama, Indie Vibes meneruskan identitinya sebagai sebuah pentas yang meraikan kepelbagaian warna dan genre muzik dengan memberikan ruang kepada pemuzik serta penggiat seni daripada latar muzik yang berbeza.

Edisi 5 September 2026 bakal menampilkan Tres Émpre, Andy, Versevil dan Rina-Hime, manakala Bob Ringgo akan mengendalikan acara sebagai hos.

Program berlangsung dari 3.00 petang hingga 7.00 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, dan seperti siri-siri Indie Vibes sebelum ini, kemasukan adalah percuma.

Kali ini, Indie Vibes bukan sekadar mengajak orang ramai datang untuk mendengar dan menikmati muzik.

Ia juga menjadi satu seruan kepada komuniti untuk berkumpul, memberikan sokongan dan bersama-sama menghulurkan tangan kepada sebuah keluarga yang sedang memerlukan bantuan.

S.O.S 4 INAZ — HADIR UNTUK MUZIK, BERSAMA UNTUK INAZ.

Terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas sokongan terhadap penganjuran Indie Vibes @ Panggung 
Anniversari serta usaha solidariti yang dibawa menerusi edisi kali ini.

Post a Comment

0 Comments