BARU SAHAJA GEGARKAN JOHOR BAHRU, 70% TIKET KONSERT WALI BAND DI KUALA LUMPUR SUDAH TERJUAL!


Fenomena Wali Berterusan Di Malaysia, Najwa Latif Sekali Lagi Memeriahkan Wali  Exclusive One Night Only di Megastar Arena pada 21 November Ini

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2026 — Fenomena Wali Band di Malaysia terus mencuri perhatian apabila 70 peratus tiket konsert Wali Exclusive One Night Only telah terjual, menjelang persembahan mereka di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November 2026.

Sambutan ini menyusuli persembahan luar biasa Wali menerusi WALI LIVE IN JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu, yang menghimpunkan seramai 14,000 penonton. 

Kehadiran ribuan peminat yang membanjiri konsert tersebut menjadi gambaran kepada sambutan hangat terhadap persembahan Wali, sekali gus menetapkan momentum menjelang kemunculan mereka di Kuala Lumpur pada November ini.

Dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures Wali Exclusive One Night Only akan berlangsung pada jam 8.00 malam dengan kapasiti terhad iaitu hanya 5,000 penonton. 

Konsep persembahan yang eksklusif ini memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan Wali dalam sebuah acara yang lebih terhad, sekali gus menjadikan perkembangan jualan tiket semasa sesuatu yang menarik menjelang konsert berkenaan.

Antara lagu yang sering menjadi tumpuan peminat ialah Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat Maksiat (TOMAT) — karya popular yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik Wali Band. Lagu-lagu ini bukan sahaja mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat, malah mencerminkan identiti muzik Wali Band yang menggabungkan melodi mudah diingati, lirik dekat dengan kehidupan dan mesej yang menyentuh hati.

NAJWA LATIF BAKAL BUKA TIRAI PERSEMBAHAN
Selain Wali sebagai persembahan utama, konsert ini sekali lagi menampilkan penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif, sebagai artis undangan khas yang akan membuka tirai persembahan.

Najwa yang dikenali menerusi lagu Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Sahabat bakal membawa warna muzik tempatan ke pentas Megastar Arena sebelum Wali mengambil alih persembahan utama.

Lebih menarik, peminat turut menantikan kemungkinan momen istimewa menerusi kolaborasi Wali Band bersama Najwa Latif, susulan kejutan mereka ketika di Johor Bahru baru-baru ini apabila Najwa kembali ke pentas untuk berduet bersama Faank menerusi lagu popular Wali Band, Yank.

Persembahan spontan itu mencuri perhatian penonton dan menjadi antara momen istimewa yang menyerlahkan kemeriahan konsert berkenaan. Justeru, kemungkinan untuk menyaksikan keserasian Wali Band dan Najwa Latif di atas pentas sekali lagi di Kuala Lumpur pastinya menambahkan keterujaan peminat yang mengharapkan satu lagi momen istimewa menerusi kolaborasi mereka.

Dengan 70 peratus tiket telah terjual, peminat yang masih belum mendapatkan tiket disarankan untuk membuat pembelian lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan. Tiket bagi Wali Exclusive One Night Only ditawarkan pada harga RM182 untuk CAT 1 – Dik (Ruang Berdiri), RM482 untuk CAT 2 – Baik-Baik Sayang (Tempat Duduk Bernombor), RM322 untuk CAT 3 – Doaku Untukmu Sayang (Tempat Duduk Bernombor), RM252 untuk CAT 4 – Tobat (Tempat Duduk Bernombor), RM782 untuk VIP – Berkah (Tempat Duduk Bernombor) dan RM2,222 untuk VVIP – Cari Jodoh (Tempat Duduk Bernombor).


Tiket boleh didapati menerusi platform rasmi www.myticket.asia, tertakluk kepada ketersediaan kategori masing-masing.

Konsert Wali Exclusive One Night Only turut mendapat sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi bagi acara berkenaan.

Post a Comment

0 Comments