JOHOR BAHRU, 5 OKTOBER 2026 - Pulang dengan penuh kepuasan! Itulah yang dirasai lebih 14,000 penonton yang membanjiri Educity Sports Complex, Johor Bahru demi menyaksikan Konsert Wali Band Live in JB, yang berlangsung dalam suasana penuh meriah, nostalgia, kejutan Istimewa dan momen yang sukar dilupakan.
Berlangsung hampir tiga jam, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu menampilkan Wali Band dalam persembahan yang cukup bertenaga, diselang-selikan dengan momen santai, sisi religi serta interaksi spontan yang membuatkan hubungan mereka bersama peminat terasa begitu dekat.
Rata-rata penonton turut memberikan reaksi positif terhadap aspek produksi, khususnya kualiti sistem bunyi dan tata cahaya yang dianggap padu dan berjaya menghidupkan lagi suasana persembahan. Gabungan persembahan bertenaga, produksi yang kemas serta interaksi rapat bersama penonton menjadikan malam tersebut sebuah pengalaman yang cukup berkesan buat peminat Wali Band.
Seperti biasa, Wali Band tampil dengan persembahan yang hebat bertenaga dan penuh interaksi bersama penonton, membuktikan populariti kumpulan dari Indonesia itu masih utuh dalam kalangan peminat muzik tanah air terutama di Johor dan Singapura.
Namun sebelum pentas menjadi milik Wali, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor, Najwa Latif terlebih dahulu membuka tirai persembahan dengan tujuh lagu popularnya.
Walaupun kini tidak lagi seaktif dahulu dalam dunia nyanyian kerana lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan, suara Najwa ternyata masih kekal merdu dan mempunyai identiti tersendiri, bak telan kaset.
Menariknya, Wali Band dan Najwa Latif turut berkongsi satu persamaan apabila kedua-duanya muncul sebagai penyanyi rakaman dalam industri muzik pada era yang hampir sama, masing-masing mula mengukuhkan nama sekitar 2008 dan 2011.
Justeru, pertemuan Wali Band dan Najwa Latif di satu pentas dilihat cukup istimewa kerana kedua-duanya mempunyai kelompok peminat daripada generasi yang hampir sama, yang membesar dengan lagu-lagu mereka. Kemunculan bersama mereka pada malam itu sekali gus menghidupkan kembali nostalgia era tersebut, selain menjadi satu momen istimewa buat peminat yang hadir.
NAJWA LATIF BAWA NOSTALGIA
Najwa membuka persembahan menerusi “AdaMu”, sebuah lagu yang membawa mesej ketuhanan dan mengingatkan bahawa Tuhan sentiasa ada untuk membantu kita dalam setiap keadaan.
Ia disusuli dengan “Carta Hati”, yang menurut Najwa merupakan antara lagu pertama yang ditulisnya bersama kakaknya, Syafiqa Latif sebelum meneruskan persembahan dengan “Satu Hari Nanti”, “Kosong” dan “Sahabat”.
Suasana menjadi lebih intim apabila Najwa menyampaikan “Untuk Dia” tanpa iringan muzik dan beliau seolah-olah ingin menguji ingatan peminat terhadap lagu yang pernah dipersembahkan dengan kumpulan Sleeq daripada Singapura, sebelum menutup segmennya dengan lagu yang cukup sinonim dengan namanya, “Cinta Muka Buku”.
Lagu “Cinta Muka Buku” adalah sebuah lagu yang cukup fenomena yang memperkenalkan Najwa kepada peminat muzik tanah air. Rata-rata yang membesar dengan lagu-lagu Najwa turut menyanyi bersama sepanjang persembahan sehingga membuatkan penyanyi itu kelihatan begitu terharu dengan sambutan yang diterima.
Walaupun tidak tampil dengan gitar yang selama ini menjadi antara trademarknya, Najwa tetap berjaya menguasai pentas dan menyampaikan lagu-lagunya dengan baik, bahkan ramai peminat yang memintanya ini untuk membuat konsert solonya sendiri, membuktikan beliau masih relevan dalam dunia muzik.
Sebagai anak kelahiran Batu Pahat, Johor, kesempatan untuk membuat persembahan di negeri kelahirannya sendiri pastinya membawa makna yang cukup istimewa buat Najwa, apatah lagi apabila persembahannya disambut penuh mesra oleh peminat yang hadir.
WALI BAND TERUS ‘HIDUPKAN’ JB
Kemunculan Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) sememangnya ditunggu-tunggu. Sebaik sahaja melihat kelibat Wali Band di pentas, satu stadium bergema sorakan gemuruh penonton.
Sebaik sahaja, Wali Band memulakan persembahan dengan lagu pertama, “Cari Berkah”, penonton sudah mula bergoyang sambil ikut menyanyi disusuli dengan “Si Udin Bertanya”, “Kekasih Halal” dan “Neneku Pahlawanku”.
Kempat-empat lagu pembuka itu seolah-olah menjadi ‘umpan’ Wali Band untuk mengajak penonton bergoyang dan menikmati rentak persembahan terlebih dahulu, sebelum mereka berhenti seketika untuk menyatakan betapa berertinya buat Wali Band apabila berpeluang untuk kembali bertemu peminat dan membuat persembahan di Johor Bahru.
Bukan setakat itu, mereka turut berkongsi tentang makanan-makanan di Johor yang sempat mereka nikmati sepanjang berada di negeri Harimau Selatan itu termasuk Nasi Lemak Lobster yang sememamgnya cukup di viral negara tetangga seperti Singapura dan Indonesia.
Wali kemudian terus mengekalkan momentum persembahan dengan lagu-lagu rancak seperti “Emang Dasar”, “Abatasa” dan “Ada Gajah Di Balik Batu”. Tanpa sedikit pun kelihatan lelah, penonton terus bergoyang dan menyanyi bersama, memperlihatkan betapa deretan lagu Wali masih begitu dekat di hati peminat Malaysia.
Dalam suasana penonton yang masih bergoyang dan menyanyi bersama, Wali Band yang cukup sinonim dengan elemen religi dalam karya mereka turut mengambil sedikit ruang untuk menitipkan doa dan harapan yang baik-baik buat semua yang hadir. Momen tersebut turut diselitkan dengan bacaan beberapa potongan ayat suci Al-Quran yang berkaitan termasuk surah AL-Fatihah, memberikan satu sisi yang lebih tenang dan bermakna di tengah-tengah kemeriahan konsert.
Daripada golongan pelajar hinggalah mereka yang sudah bekerja, sama ada makan gaji mahupun mengusahakan perniagaan sendiri; yang masih bujang, sedang bercinta ataupun sudah berumah tangga serta yang ditimpa sakit atau penyakit, Wali Band menitipkan doa dan harapan yang baik-baik buat semua yang hadir.
Doa agar mereka sentiasa dilimpahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik, diberkati kehidupan serta diampunkan segala dosa turut menjadi sebahagian daripada momen tersebut. Dalam suasana yang penuh makna itu, Faank selaku vokalis Wali Band turut menyelitkan beberapa gurauan ringan, mencetuskan humor yang membuatkan penonton ketawa.
AKUSTIK DAN KEJUTAN NAJWA LATIF
Suasana tenang itu memberikan kesempatan buat Wali untuk mempersembahkan beberapa lagu secara akustik. Menerusi lagu “Doa Untukmu Sayang”, lagu itu seolah-olah didedikasikan Wali Band buat peminat mereka apabila pada penghujung lagu, Faank secara spontan bertanya: ut “Do you love Wali?”. Pertanyaan itu dijawab dengan sorakan gemuruh peminat.
“Baik-Baik Sayang” menyusul dan pada korus lagu itu, muzik dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada penonton menyanyi bersama, sebelum persembahan diteruskan dengan “Harga Diriku”. Saat Apoy – sang gitaris mengalunkan petikan gitar secara strumming, penonton turut menerima satu pesanan yang cukup dekat daripada Faank: “Kalian adalah harga diri Wali.”
Faank kemudian bertanya;: “Capek sudah ya? Belum? Lanjut? Okay!”, sorakan penonton menjadi jawapan bahawa mereka masih belum mahu berhenti.
Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu rancak yang kembali menguasai pentas. Namun, di sebalik rentak yang menghiburkan, “Tobat Maksiat” membawa mesej yang cukup mendalam, mengajak penonton untuk sentiasa bermuhasabah, kembali bertaubat dan mengingati kematian.
Kualiti bunyi yang jelas membolehkan vokal dan muzik Wali dinikmati dengan baik, manakala pencahayaan pentas pula memberikan impak visual yang lebih menarik, khususnya ketika persembahan lagu-lagu berentak rancak.
Lebih menarik, persembahan “Tobat Maksiat” turut diserikan dengan permainan drum yang diselaraskan bersama pencahayaan pentas mengikut setiap hentakan dan rentak drum. Gabungan bunyi serta cahaya tersebut bukan sahaja mencetuskan suasana yang lebih bertenaga, malah menjadikan persembahan lagu berkenaan antara segmen yang cukup mencuri perhatian pada malam itu.
Kejutan istimewa hadir ketika Wali Band membawakan “Yank” apabila Najwa Latif muncul kembali di pentas untuk bergabung bersama kumpulan muzik yang berasal dari Tangerang, Indonesia itu.
Difahamkan, kemunculan Najwa dibuat secara spontan tanpa sebarang latihan terlebih dahulu. Namun, keputusan tersebut ternyata menghasilkan antara momen paling istimewa pada malam berkenaan apabila vokal Najwa yang lunak dan lembut ternyata begitu serasi dengan vokal Faank, sekali gus menghasilkan persembahan yang cukup menarik dan menghiburkan.
‘CARI JODOH’ SATUKAN 14,000 SUARA
Namun, kemeriahan malam itu seakan belum lengkap tanpa “Cari Jodoh”, lagu yang boleh dianggap sebagai antara karya wajib Wali setiap kali mereka beraksi di hadapan peminat. Sebaik sahaja lagu itu dimainkan, seluruh ruang konsert kembali bergema dengan sorakan dan suara ribuan peminat yang menyanyi bersama tanpa henti. Sebahagian besar penonton terus berdiri, bergoyang dan menikmati setiap bait lagu sehingga ke penghujungnya.
Sebagai lagu penutup, “Cari Jodoh” ternyata menjadi kemuncak sebenar yang dinanti-nantikan, sekali gus menyempurnakan malam tersebut dengan suasana yang begitu meriah dan penuh kegembiraan. Dengan kira-kira 14,000 penonton menyanyi bersama, Wali Band menutup persembahan mereka dengan sebuah momen yang cukup kuat untuk dikenang.
0 Comments