KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Edisi ke-21 Kuala Lumpur Tower International BASE Jump kembali berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026, menghimpunkan para penerjun di salah satu mercu tanda paling dikenali di ibu negara.
Dianjurkan oleh BASE Malaya Club dengan Kuala Lumpur Tower sebagai lokasi acara, edisi tahun ini turut menampilkan percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sempena majlis pelancarannya.
Percubaan ini akan melibatkan penerjun BASE yang berkelayakan melakukan terjunan secara berturutturut dari Sky Terrace, Kuala Lumpur Tower, bagi percubaan rekod bertajuk sementara “PESERTA TERAMAI DALAM TERJUNAN BASE BERTURUT-TURUT DARI MENARA” (“MOST PARTICIPANTS IN A
CONSECUTIVE TOWER BASE JUMP”).
Sebagai acara utama sempena pembukaan, percubaan ini turut menonjolkan Kuala Lumpur sebagai destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa.
Tajuk rekod, kriteria serta keputusan percubaan tertakluk kepada pengesahan MBOR, manakala pelaksanaannya turut bergantung pada penilaian operasi dan keadaan cuaca.
Bersempena dengan acara ini, orang ramai dan media turut berpeluang menyaksikan aksi terjunan dari jarak dekat menerusi pengalaman “Sitting on the Edge”.
Para tetamu akan duduk di bahagian tepi Sky Terrace dengan dilengkapi abah-abah keselamatan, sambil menyaksikan para penerjun beraksi berlatarbelakangkan panorama Kuala Lumpur.
Pengalaman ini memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri aksi BASE Jump dari lokasi permulaan terjunan.
Kuala Lumpur Tower merupakan perintis dalam penganjuran aktiviti BASE Jump sejak tahun 1999. BASE merujuk kepada terjunan dari empat jenis objek tetap, iaitu Building, Antenna, Span dan Earth, menggunakan satu payung terjun dari ketinggian antara 60 hingga 1,300 meter.
Hanya penerjun yang memenuhi syarat kelayakan dan penyertaan acara dibenarkan mengambil bahagian.
Kuala Lumpur Tower International BASE Jump dijangka menghimpunkan lebih 200 penerjun dari lebih 30 negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Portugal, United Kingdom, Kanada, Bulgaria, China, Perancis, Jepun dan Singapura.
Khairil Faizal Hj. Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., berkata: “Kami amat teruja menyambut kembali acara ini di Kuala Lumpur Tower. Dengan pelbagai acara berlangsung di sekitar ibu negara sepanjang hujung minggu ini, Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan dunia. Tiada pemandangan yang lebih mengujakan daripada menyaksikan penerjun dari seluruh dunia melakukan terjunan dari Kuala Lumpur Tower dengan panorama bandar raya sebagai latarnya.”
0 Comments