KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2026 – Peminat muzik tempatan bakal dibawa meneroka pengalaman persembahan berkonsepkan fantasi menerusi Konsert Malam Drama Manusia yang menghimpunkan Drama Band dan Asfan Shah bersama kumpulannya, Manusia, di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari 2027.
Dianjurkan Permaico Concerto, konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu bakal menampilkan gabungan dua kumpulan berkenaan dalam sebuah persembahan yang mengetengahkan kepelbagaian muzik, imaginasi dan emosi.
Ketua Pegawai Eksekutif Permaico Concerto, Datuk Norshida Mohamed Ali, memberikan kepercayaan kepada kedua-dua kumpulan untuk menjayakan projek berkenaan sebagai sebuah persembahan istimewa buat peminat muzik tempatan.
Vokalis Asfan Shah dan Manusia, Asfan Shah, berkata konsert itu dirancang untuk memberikan pengalaman berbeza kepada penonton menerusi konsep fantasi yang membawa mereka ke dunia imaginasi.
“Konsep konsert ini berteraskan fantasi. Kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada penonton, bukan sekadar datang untuk melihat penyanyi membuat persembahan di atas pentas.
“Kami mahu penonton merasai pelbagai emosi sepanjang persembahan, daripada lagu rancak hinggalah lagu sedih dan karya yang membangkitkan perasaan bercampur baur,” katanya.
Menurutnya, konsert yang berlangsung lebih dua jam itu bakal menampilkan sekurang-kurangnya 25 lagu, termasuk karya sendiri serta lagu yang pernah dihasilkannya untuk penyanyi lain.
Lagu-lagu berkenaan akan dipersembahkan dengan susunan muzik baharu bagi memberikan kelainan kepada karya yang sudah dikenali pendengar.
Asfan berkata, kumpulannya yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu turut memperkenalkan single berjudul Dusta, selain membawa pengalaman muzik tersendiri menerusi persembahan bersama Drama Band.
(KIRI) Muhamad Shahrir Bin Zuraimi - Event Organjzer, Permaico Concerto
(TENGAH Kiri) Datuk Norshida Mohamed Ali - CEO Permaico Concerto.
(TENGAH Kanan) Aepul Roza - Penyanyi Kumpulan Drama Band.
(KANAN) Asfan Shah - Penyanyi Kumpulan Asfan Shah & Manusia.
Kumpulan Asfan Shah dan Manusia turut dibarisi pemuzik berpengalaman iaitu Adam Karman (Treehill) yang juga pensyarah muzik dan Arash (Treehill) sebagai pemain gitar, Zack (New Boyz) pemain bes dan One (Sofazr) pemain dram.
Sementara itu, vokalis Drama Band, Aepul Roza, menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Asfan sebagai satu pengalaman bermakna selepas mereka beberapa kali bersaing dalam pertandingan muzik sebelum ini.
“Saya dan Asfan sudah pernah bertanding di atas pentas sebanyak dua kali. Ada ketika dia menang dan ada ketika saya menang.
“Jadi, peluang untuk kami bergabung dalam sebuah konsert berskala besar ini memang sesuatu yang saya hargai. Terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya Datuk Norshida, atas kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Aepul turut mengusik peminat dengan kemungkinan membuat penampilan luar biasa pada malam konsert, termasuk membotakkan kepala atau muncul menggunakan helikopter.
Bagaimanapun, tarikan utama konsert itu ialah segmen yang menyaksikan kedua-dua kumpulan bergabung dan bermain muzik secara serentak di atas satu pentas.
Gabungan itu bakal menampilkan dua pemain dram, tujuh pemain gitar dan dua vokalis, sekali gus memberikan dimensi persembahan berbeza berbanding penampilan mereka secara berasingan.
Idea menggabungkan kedua-dua kumpulan itu dicetuskan pihak penganjur, dengan persamaan dari segi penghasilan lagu yang sering menjadi runut bunyi drama tempatan turut menjadi antara faktor yang mengukuhkan konsep Malam Drama Manusia.
Konsert itu diharap dapat menghimpunkan peminat kedua-dua kumpulan dalam sebuah acara yang bukan sahaja menampilkan lagu popular, malah memberikan ruang kepada pemuzik mempersembahkan karya dalam pendekatan muzik yang berbeza.
Bagi melengkapkan pengalaman peminat, barangan cenderamata eksklusif turut dirancang untuk ditawarkan pada hari konsert.
Tiket Konsert Malam Drama Manusia kini mula dijual menerusi platform Ticket2u di laman web Ticket2u.com.my.
Rebut peluang mendaftar awal dan nikmati penjimatan sebanyak 15 peratus untuk menonton konsert ini.
Peminat disarankan mendapatkan tiket melalui saluran rasmi berkenaan bagi menyaksikan persembahan pada 15 Januari 2027.
Maklumat lanjut mengenai konsert boleh diikuti menerusi tanda pagar rasmi #MalamDramaManusia dan #KonsertMalamDramaManusia di media sosial
0 Comments