KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Istana Budaya (IB) kembali menghidupkan
semula watak ikonik Sang Kancil dengan mementaskan sebuah Teater Muzikal
Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil pada 13 – 14 November 2026 jam 8.30
malam dan 15 November 2026 , jam 2.30 petang bertempat di Panggung Sari,
Istana Budaya.
Kali terakhir IB menerbitkan teater kanak-kanak adalah pada tahun 2020 menerusi
pementasan Teater Siti di Alam Fantasi. Namun, pementasan tersebut terpaksa
dibatalkan pada saat akhir ketika sesi pratonton susulan pengumuman lock down
oleh kerajaan berikutan pandemik COVID-19. Setelah hampir enam tahun, IB kini
kembali mewarnai pentas Panggung Sari menerusi Teater Muzikal Kanak-kanak
Pengembaraan Sang Kancil (TMKPSK) yang menawarkan sebuah pengalaman
baharu, menghiburkan dan penuh imaginasi kepada kanak-kanak.
Pementasan ini menggabungkan elemen pengembaraan, muzikal, tarian dan jenaka
dalam sebuah persembahan yang penuh warna-warni, magikal dan imaginatif.
Menerusi konsep “Magika Nusantara”, pementasan ini mengetengahkan sebuah
dunia fantasi yang menggabungkan unsur magis, dongeng serta cerita rakyat
tradisional Melayu dan Nusantara. Konsep tersebut diterjemahkan dalam bentuk
yang ceria, kreatif dan dekat dengan imaginasi kanak-kanak, di samping
mengetengahkan keunikan alam, budaya serta nilai-nilai murni yang menjadi
sebahagian daripada warisan Nusantara.
Melalui pendekatan ini, TMKPSK membawa penonton menelusuri sebuah pengembaraan fantasi berlatarbelakangkan Rimba Tropika Nusantara, dengan pelbagai lokasi imaginatif seperti Perkampungan Kancil, Hutan Ajaib, Sungai, Taman Buah-buahan, Sarang Madu, Taman Kelip-kelip serta Kawasan Raja Rimba. Setiap lokasi direka untuk membentuk sebuah dunia yang hidup, penuh warna dan imaginasi, di samping memperkenalkan kepada kanak-kanak keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna.
Karya Siti Jasmina Ibrahim selaku penulis skrip mengangkat nilai keberanian,
persahabatan, kebijaksanaan dan keyakinan diri sebagai tema utama pementasan.
Beliau merupakan penulis profesional yang berpengalaman luas dalam bidang
kreatif, sastera, televisyen dan teater, serta telah menghasilkan lebih daripada 100
tajuk telemovie dan drama bersiri televisyen. Penerima Anugerah Seni Negara dan
MASTERA ini turut aktif sebagai pendidik dan Munsyi Dewan.
Berbeza daripada filem, TMKPSK memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk
menyelami sendiri pengembaraan fantasi secara langsung di pentas menerusi
konsep Magika Nusantara Muzikal Kanak-kanak – sebuah dunia rimba fantasi
yang diinspirasikan daripada keindahan alam semula jadi serta kekayaan warisan
budaya Malaysia. Menerusi gabungan elemen lakonan, muzik, nyanyian, tarian dan
reka bentuk visual yang berwarna-warni, konsep ini diolah bagi mencipta
pengalaman teater yang lebih interaktif, menghiburkan dan dekat dengan imaginasi
kanak-kanak.
Lebih daripada sekadar memindahkan watak ikonik Sang Kancil ke pentas, teater
muzikal ini mengetengahkan sebuah cerita baharu yang berpusat kepada impian
Sang Kancil untuk mengembara, keluar daripada zon selesa serta membuktikan
bahawa saiz tubuh bukanlah ukuran kepada kebijaksanaan dan keupayaan
seseorang. Dalam pengembaraan tersebut, Sang Kancil turut ditemani
sahabat-sahabat baharunya, iaitu Wang Wang, Cerdas, Cergas dan Sri Enggang.
Sebagai sebuah teater muzikal, elemen muzik menjadi antara komponen utama yang menghidupkan pementasan ini, dengan hampir enam puluh (60) peratus
persembahan terdiri daripada lagu, muzik dan koreografi. Gabungan elemen tersebut bukan sahaja menghidupkan jalan cerita, malah memberikan pengalaman yang lebih dinamik, menghiburkan dan mencetuskan keterujaan kepada penonton, khususnya kanak-kanak.
TMKPSK mendapat sentuhan kreatif daripada Ayop Azril selaku Pengarah Muzik. Ayop Azril merupakan seorang pengarah muzik, pemain keyboard/synthesizer, komposer dan penggubah muzik (arranger) dari Malaysia yang aktif dalam industri hiburan dan teater tempatan. Beliau telah mencipta hampir enam belas (16) buah lagu baharu yang akan menghiasi pengembaraan Sang Kancil nanti. Antara lagu yang dihasilkan ialah Wira Bijaksana, Usah Angan-angan Tinggi, Kita Kancil Kecil, Sekawan-kawan, Cha-Cha Chip Chip, Satu Dua Tiga Lekuk, Dondang
Pantun Rimba dan banyak lagi.
Kesemua 16 buah lagu ini akan dimainkan secara langsung (live) semasa pementasan dengan kekuatan seramai tiga puluh enam (36) orang pemuzik yang terdiri daripada pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan bahagian strings daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK). Pastinya, persembahan muzik secara langsung ini akan menambahkan lagi suasana dan mood penceritaan sepanjang pementasan berlangsung.
IB sentiasa memastikan kualiti persembahan atau pementasan sesebuah karya
terbitan IB berada pada tahap terbaik dalam usaha mengekalkan kecemerlangan
seni pentas bertaraf dunia. Sesi ujibakat bagi pemilihan watak TMKPSK telah
dilaksanakan pada 16 Ogos 2026 bertempat di Bilik Seri Nilam, dengan kehadiran
seramai 140 orang peserta cilik yang terdiri daripada kanak-kanak berumur antara 8
hingga 12 tahun.
Mereka diuji dari segi bakat lakonan, nyanyian, lontaran vokal serta keyakinan diri.
Sebanyak tiga (3) sesi ujibakat telah dilaksanakan dan pada September 2026,
pemilihan telah dimuktamadkan oleh para juri yang terdiri daripada Penulis Skrip,
Pengarah dan Pengarah Muzik.
Seramai empat puluh enam (46) orang kanak-kanak akan menjayakan TMKPSK dan
mereka telah menjalani latihan intensif selama dua (2) bulan bersama pengarah.
Pemilihan watak pula mengambil inspirasi daripada spesies haiwan yang terdapat di
Malaysia dan Nusantara, selaras dengan konsep teater Magika Nusantara.
Hasil karya Siti Jasmina Ibrahim, skrip TMKPSK digarap semula di bawah arahan
Nawfal Zamri selaku Pengarah Persembahan, dibantu oleh Iefez Alaudin sebagai Penolong Pengarah. Nawfal Zamri merupakan pengarah teater, sinografer dan jurulatih lakonan yang berpengalaman dalam bidang pengarahan, lakonan, reka bentuk set, prop dan pencahayaan. Graduan ASWARA dalam Ijazah Sarjana Muda Pengarahan dan Seni Persembahan ini kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kehormat di UPSI. Antara pencapaian beliau termasuk mengarahkan teater muzikal Living Forest yang melibatkan kanak-kanak Down Syndrome dan mendapat
pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Teater ini menampilkan beberapa pelakon cilik yang berbakat besar serta beberapa
artis popular tempatan. Berikut ialah senarai watak bagi pementasan TMKPSK:
Sebagai usaha mengangkat dan memperkukuh nilai tradisi Nusantara, rekaan visual TMKPSK memberikan penekanan kepada keindahan batik Malaysia dengan
mengadaptasikan motif flora dan fauna tempatan seperti bunga raya, daun, pucuk
rebung, orkid, pakis serta elemen hutan tropika. Unsur-unsur ini diterapkan secara
menyeluruh dalam reka bentuk set, kostum, prop dan grafik pentas bagi membentuk
sebuah dunia visual yang kaya, harmoni dan imaginatif.
Walau bagaimanapun, motif batik tradisional tersebut diterjemahkan melalui
pendekatan yang lebih kontemporari dan segar menerusi penggunaan bentuk
organik, tekstur, corak serta palet warna yang diinspirasikan daripada kekayaan alam semula jadi. Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan identiti visual yang unik
dan tersendiri, malah menonjolkan keindahan seni warisan Malaysia dalam bentuk
yang lebih moden, kreatif dan dekat dengan imaginasi kanak-kanak.
Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil (TMKPSK) berkisarkan tentang pengembaraan di Rimba Raya, Sang Kancil yang bijaksana menyimpan impian untuk mengembara, meskipun sering diperlekehkan
keluarganya. Suatu hari, dia tersesat ke daerah lain dan bertemu Wang Wang,
Cergas dan Cerdas. Mereka kemudian dihanyutkan arus sungai lalu terpaksa
mengembara bersama-sama untuk mencari jalan pulang. Sepanjang perjalanan,
Sang Kancil menggunakan kebijaksanaannya untuk membantu haiwan yang ditindas
oleh Chip Chip, ketua monyet, dan Taiko Boo, ketua buaya. Namun, Cerdas masih
meragui tindakannya sehingga Sang Kancil membawa diri. Sementara itu, Taring,
adik Raja Rimba yang tamak kuasa, merancang menyerang keluarga Sang Kancil.
Apabila ancaman semakin hampir, Sang Kancil bersama sahabat-sahabatnya dan
haiwan yang pernah dibantu bersatu mempertahankan keluarganya. Dengan
keberanian, helah bijaksana dan pertandingan berbalas pantun, Sang Kancil berjaya
menewaskan Taring tanpa kekerasan. Pengembaraan ini mengajar mereka erti
persahabatan, keberanian, kasih sayang keluarga dan kebijaksanaan, sekali gus
mengembalikan keharmonian Rimba Raya.
IB telah mula menjual tiket persembahan TMKPSK pada 29 September 2026 dan
jualan tiket menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan. Dalam tempoh
kurang daripada lima hari selepas jualan dibuka, permintaan terhadap pementasan
teater kanak-kanak ini menunjukkan respons yang sangat positif daripada penonton.
Susulan sambutan yang menggalakkan tersebut, IB pada sidang media hari ini
mengumumkan penambahan satu (1) slot persembahan matinee pada 14 November 2026, jam 2.30 petang. Pertambahan slot ini memberi peluang kepada lebih ramai penonton, khususnya keluarga yang belum berkesempatan mendapatkan tiket, untuk menyaksikan pengembaraan Sang Kancil secara langsung di pentas Panggung Sari.
Lebih istimewa, penonton yang membuat pembelian empat (4) keping tiket akan
menerima satu (1) tiket percuma bagi kategori Kancil dan Gajah. Bagi pelajar sekolah pula, pembelian 20 keping tiket dan ke atas bagi kategori Sang Kancil
dan Gajah layak menikmati diskaun 10 peratus.
Teater Muzikal Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil akan berlangsung selama
tiga (3) hari dengan empat (4) slot persembahan, iaitu pada 13 November 2026,
jam 8.30 malam; 14 November 2026, jam 2.30 petang dan 8.30 malam; serta 15
November 2026, jam 2.30 petang, bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.
Cloudjoi merupakan agen rasmi bagi pembelian tiket TMKPSK. Tempahan tiket
boleh dibuat melalui platform media sosial rasmi Istana Budaya atau dengan
mengimbas kod QR yang terdapat pada poster hebahan TMKPSK.
0 Comments