KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2026 — Tourism Malaysia dan Jie Business Sdn Bhd (OPPO Malaysia) hari ini menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi menjalin rakan strategik berteraskan digital yang bertujuan meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi gaya hidup terkemuka. Perjanjian bersejarah ini sejajar dengan usaha negara dalam memposisikan Malaysia sebagai hab wajib dilawati menjelang Kempen Melawat Malaysia 2026–2027.
Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur itu telah disempurnakan oleh Encik Mohd Akbal Setia, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia dan Puan Monica Qin, Pengarah Pemasaran Jie Business Sdn Bhd (OPPO Malaysia), sekali gus menegaskan komitmen bersama dalam memacu inovasi pelancongan digital serta mentransformasi cara pelancong merakam keindahan negara.
“Kami bangga dapat bekerjasama dengan OPPO Malaysia. Rakan strategik ini bukan sahaja mengetengahkan keindahan dan watak unik Malaysia, malah merayakan kreativiti jurufoto tempatan yang berbilang bakat melalui seni dan fotografi. Kerjasama ini meneruskan Program Komunikasi Strategik kami sebelum ini di Kelantan yang melibatkan 15 peserta daripada OPPO Malaysia. Kami berbesar hati untuk meneruskan usaha ini bagi mempromosikan destinasi serta pengalaman unik di Malaysia menerusi penceritaan visual,” kata Encik Mohd Akbal Setia, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) merangkap Ketua Urus Setia Melawat Malaysia 2026–2027, Tourism Malaysia.
Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini berada pada masa yang tepat berikutan penerbangan terus yang menghubungkan Singapura dan Jakarta ke Kota Bharu, sekali gus memudahkan pelawat serantau meneroka Kelantan. “Ini memberi peluang terbaik untuk menyerlahkan Kelantan sebagai destinasi kebudayaan yang unik, terkenal dengan warisan yang kaya, seni tradisional yang menarik, serta gastronomi tempatan yang ikonik termasuk Nasi Kerabu dan juadah tradisional yang lain.”
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan aktiviti promosi bersama dan inisiatif pelancongan berasaskan pengalaman. Dengan memanfaatkan pelbagai keutamaan telefon pintar berteknologi tinggi daripada OPPO, usaha ini bertujuan memperkaya keseluruhan pengalaman pelawat, melanjutkan tempoh penginapan purata, dan meningkatkan hasil pelancongan menerusi tawaran fotografi mudah alih dan gaya hidup.
"Di OPPO, kami sentiasa percaya bahawa kisah paling berkesan disampaikan menerusi paparan visual, dan Malaysia mempunyai pelbagai kisah menarik untuk dikongsikan," kata Monica Qin, Pengarah Pemasaran OPPO Malaysia dalam ucapan beliau. "Kami berterima kasih kepada Tourism Malaysia atas kerjasama berterusan dalam menjayakan kempen ini. Kami kagum dengan para jurufoto dan pencipta kandungan yang mengguna pakai siri Find Series dan menjadikannya karya mereka sendiri — kebolehan mereka mencari keindahan dalam sesuatu yang luar jangka memberikan 'jiwa' kepada kempen ini. Bersama-sama, kami berharap gambar-gambar ini menginspirasikan dunia untuk melihat Malaysia bukan sekadar destinasi, tetapi satu pengalaman yang menantikan untuk diterokai."
Kerjasama ini hadir pada saat yang tepat memandangkan Malaysia melanjutkan Kempen Melawat Malaysia 2026 sehingga 2027, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan daya tarikan negara di peringkat global. Mendorong penglibatan menerusi fotografi pintar akan menjadi pemangkin pertumbuhan merentasi ekosistem pelancongan yang lebih luas, seterusnya menggalakkan pelancong meneroka tarikan tempatan dan berkongsi pengalaman autentik di platform digital.
Dari Januari hingga Ogos 2026, Malaysia merekodkan kehadiran 28.8 juta pelawat antarabangsa, iaitu peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Kerjasama seperti ini akan menyumbang kepada pengalaman yang lebih lancar buat pelawat antarabangsa dan menunjukkan momentum positif, sekali gus memberikan asas yang kukuh buat Tourism Malaysia meningkatkan inisiatif promosi bersama bagi mengekalkan pertumbuhan ketibaan pelancong sehingga tahun 2027.
Tourism Malaysia kekal komited untuk menjalin kerjasama strategik bersama peneraju teknologi bagi memanfaatkan inovasi digital. Menerusi kerjasama seumpama ini, ia bertujuan memodenkan penceritaan destinasi pelancongan, merangsang permintaan pelawat, dan memastikan pertumbuhan mampan bagi sektor pelancongan Malaysia.
-TAMAT-
Mengenai Tourism Malaysia Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ia berfokus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dan sejak penubuhannya, telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran serta daya saing negara dalam lanskap pelancongan global.
Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) menegaskan komitmen Malaysia terhadap pembangunan pelancongan mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Kempen ini bertujuan menonjolkan kepelbagaian tarikan semula jadi, warisan budaya yang kaya, serta tawaran pelancongan yang menarik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti tempatan serta pemegang taruh industri.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
0 Comments