Hasil IPO akan menyokong peluasan rangkaian runcit di seluruh negara dengan 100 Kaunter Konsainan baharu dan 15 butik
KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2026 – EMPG Group Berhad (“EMPG” atau “Syarikat”, bersama anak-anak syarikatnya, “Kumpulan”), sebuah kumpulan pakaian Malaysia yang terlibat terutamanya dalam peruncitan dan pemborongan pakaian melalui portfolio jenama milik sendiri serta jenama berlesen, hari ini melancarkan prospektusnya bersempena dengan Tawaran Awam Permulaan (“IPO”) dan penyenaraian yang bakal berlangsung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”).
EMPG mereka bentuk, memasarkan dan menjual pelbagai jenis pakaian berkualiti pada harga mampu milik untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak. Kumpulan menguruskan rangkaian runcit di seluruh bandar utama dan pekan di Malaysia, yang turut dilengkapi dengan kedai dalam talian milik sendiri serta platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Setakat tarikh praktik terkini (“LPD”), EMPG mengurus dan mengendalikan 578 Titik Jualan Runcit, yang merangkumi 563 Kaunter Konsainan dan 15 Cawangan Runcit.
Portfolio Kumpulan merangkumi jenama milik sendiri termasuk Exhaust, Idexer, Silverland, Brittania, Ventine, Millward, Aplus, John Rider, Oxen, Elmer dan MU-7, di samping jenama berlesen Hummer dan Pierre Cardin. Selain aktiviti peruncitan, EMPG turut mengendalikan saluran pemborongan yang merangkumi jualan terus serta perkhidmatan penyumberan pakaian dan fabrik.
Di bawah IPO ini, EMPG akan menerbitkan 121.60 juta saham biasa baharu selaras dengan Terbitan Awam, berserta Tawaran untuk Jualan sehingga 48.50 juta saham sedia ada, pada Harga IPO RM0.28 sesaham.
Terbitan Awam tersebut dijangka mengumpul kira-kira RM34.05 juta, yang akan digunakan seperti berikut:
■ RM25.00 juta, bagi peluasan rangkaian runcit Kumpulan;
■ RM4.35 juta, bagi modal kerja tambahan; dan
■ RM4.70 juta, bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Kumpulan berhasrat untuk menggunakan hasil yang diperuntukkan bagi peluasan runcit untuk membuka 100 Kaunter Konsainan baharu dan 15 butik dalam tempoh 24 bulan dari tarikh Penyenaraian, tertakluk kepada keadaan kewangan dan pasaran pada masa hadapan.
Daripada 100 Kaunter Konsainan baharu tersebut, 30 akan diperuntukkan kepada Hummer, 45 kepada Pierre Cardin dan 25 kepada jenama sedia ada lain yang dijual secara konsainan, termasuk Exhaust, Brittania, Idexer, Millward dan John Rider. Kesemua 15 butik tersebut akan dibuka di bawah jenama Pierre Cardin.
Encik Loh Tau Sing, Pengarah Urusan EMPG Group Berhad, berkata, “Pelancaran prospektus kami menandakan satu pencapaian penting buat EMPG tatkala kami bersedia untuk memasuki pasaran modal. Sepanjang beberapa tahun ini, kami telah membina platform pakaian yang pelbagai, disokong oleh rangkaian runcit yang luas di seluruh negara serta portfolio jenama yang memenuhi keperluan kumpulan pelanggan dan segmen pasaran yang berbeza. IPO ini akan menyediakan sumber tambahan kepada kami untuk memperkukuh kehadiran pasaran melalui peluasan rangkaian Kaunter Konsainan dan butik Pierre Cardin, di samping memantapkan modal kerja kami bagi menyokong pertumbuhan jenama dalaman serta memperkasakan strategi pelbagai jenama kami.”
Encik Anuar Bin Omar, Ketua Pasaran Modal/Kewangan Korporat Berjaya Securities Sdn Bhd, berkata, “EMPG memasuki pasaran modal dengan jejak runcit di seluruh negara yang kukuh, portfolio jenama pakaian yang pelbagai serta model perniagaan yang menjangkau pelanggan melalui pelbagai saluran pengedaran. Dengan sebahagian besar hasil Terbitan Awam diperuntukkan ke arah pembukaan Kaunter Konsainan dan butik baharu, IPO ini menyediakan platform yang lebih kukuh kepada Kumpulan untuk melaksanakan pelan peluasannya dan seterusnya mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran pakaian Malaysia.”
Menurut Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas, industri pakaian Malaysia, berdasarkan nilai jualan runcit jenama mewah/berprestij tinggi dan pasaran massa, berkembang daripada RM20.5 bilion pada tahun 2020 kepada RM28.3 bilion pada tahun 2025, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (“CAGR”) sebanyak 6.7%. Jenama pasaran massa menyumbang 95.8% daripada keseluruhan pasaran pakaian pada tahun 2025.
Melangkah ke hadapan, nilai jualan runcit pakaian lelaki, pakaian wanita, pakaian kanak-kanak dan aksesori di Malaysia diunjurkan meningkat daripada RM28.3 bilion pada tahun 2025 kepada RM32.0 bilion pada tahun 2029, mewakili CAGR sebanyak 3.1%, disokong oleh faktor-faktor termasuk pertumbuhan populasi, pertumbuhan dalam sektor pelancongan dan peruncitan, permintaan terhadap pakaian berfungsi, peningkatan e-dagang, serta pertumbuhan pelaburan asing dan domestik.
Permohonan bagi IPO EMPG akan dibuka pada jam 10.00 pagi pada 23 November 2026 dan ditutup pada jam 5.00 petang pada 2 Disember 2026. EMPG dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 21 Disember 2026.
Selepas Penyenaraian, EMPG akan mempunyai modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 606.00 juta saham dan permodalan pasaran kira-kira RM169.68 juta, berdasarkan Harga IPO RM0.28 sesaham.
Berjaya Securities Sdn Bhd merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO ini, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd ialah Penasihat Kewangan Korporat.
###
MENGENAI EMPG Group Berhad
(“EMPG”, bersama anak-anak syarikatnya, “Kumpulan”) terlibat terutamanya dalam peruncitan dan pemborongan pakaian melalui portfolio pelbagai jenama yang merangkumi pakaian lelaki, pakaian wanita, pakaian kanak-kanak dan produk-produk lain. Jenama milik sendiri Kumpulan termasuk Exhaust, Idexer, Silverland, Brittania, Ventine, Millward, Aplus, John Rider, Oxen, Elmer dan MU-7, manakala ia turut memasarkan produk di bawah jenama berlesen Hummer dan Pierre Cardin. Rangkaian runcitnya merangkumi Kaunter Konsainan di seluruh Malaysia, Cawangan Runcit berdiri sendiri di Lembah Klang dan platform e-dagang, dilengkapi dengan jualan terus pemborongan serta perkhidmatan penyumberan pakaian dan fabrik. Kumpulan memfokuskan kepada pakaian berkualiti dan mampu milik untuk pasaran massa serta berhasrat untuk mengembangkan rangkaian runcitnya di samping mengukuhkan kedudukan jenama di seluruh portfolionya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://empggroup.com/.
0 Comments