JOHOR BAHRU, 30 OKTOBER 2026 - Kumpulan legenda muzik tanah air, Exists bakal kembali menghiburkan peminat di Johor menerusi Konsert Exists Pulang Live In JB yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari 2026, jam 8.30 malam di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.
Mengangkat judul Pulang, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures ini membawa makna tersendiri apabila Exists kembali membuat persembahan di negeri asal mereka, Johor, tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum mencipta nama dan menempa kejayaan dalam industri muzik tanah air.
Konsert Exists Pulang Live In JB ini bakal menampilkan tujuh anggota, iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah (pemain gitar), Musa sebagai (pemain bass), Ujang (pemain dram) dan Ajai (pemain keyboard).
Gabungan mereka bakal membawa peminat menikmati rangkaian karya daripada lapan album studio Exists yang merangkumi pelbagai fasa perjalanan muzik kumpulan itu sepanjang lebih tiga dekad mewarnai industri hiburan tempatan.
MENGHIDUPKAN KEMBALI NOSTALGIA LAGU MALAR SEGAR
Sepanjang perjalanan kerjaya mereka, Exists telah menghasilkan pelbagai lagu popular yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan. Keupayaan karya-karya mereka merentasi generasi menjadikan Exists antara kumpulan yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam perkembangan muzik popular tanah air.
Menerusi konsert Exists Pulang Live In JB ini, peminat berpeluang menikmati persembahan lagu-lagu yang pernah mencipta fenomena dan menjadi sebahagian daripada kenangan generasi terdahulu, selain terus dikenali oleh pendengar masa kini.
Antara lagu popular yang sinonim dengan Exists termasuk Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita dan Langkah Seiringan. Lagu-lagu ini bukan sahaja memperlihatkan identiti muzik kumpulan tersebut, malah terus menjadi pilihan peminat yang membesar bersama karya mereka.
Kehadiran Mamat dan Ezad sebagai vokalis turut memberikan warna tersendiri kepada persembahan ini. Kedua-duanya mempunyai sejarah dan sumbangan tersendiri dalam perjalanan Exists, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian karya yang telah dihasilkan sepanjang perkembangan kumpulan tersebut.
KERJASAMA KEDUA SELEPAS KEJAYAAN WALI LIVE IN JB
Konsert Exists Pulang Live In JB merupakan kerjasama kali kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan penganjuran Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu di lokasi yang sama berjaya menarik kehadiran kira-kira 14,000 penonton sehingga memenuhi stadium.
Kejayaan tersebut menjadi antara pencapaian penting hasil kerjasama kedua-dua syarikat dalam membawa persembahan artis popular kepada peminat di Johor. Menerusi penganjuran kali ini, kedua-dua pihak sekali lagi berganding tenaga dengan membawakan Exists, sebuah kumpulan yang mempunyai sejarah dan hubungan istimewa dengan negeri tersebut.
Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz bin Abd Hamid dan Nur Liyana binti Abd Rahman berkata, kejayaan menganjurkan konsert Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu menjadi pengalaman bermakna yang menyuntik semangat serta keyakinan mereka untuk terus meneroka penganjuran konsert berskala lebih besar.
“Berbekalkan pengalaman pertama tersebut, kami kembali dengan penganjuran konsert Exists Pulang Live In JB sebagai kesinambungan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.
“Pemilihan Exists sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air,” kata mereka.
PULANG KE TEMPAT BERMULANYA PERJALANAN
Sebagai kumpulan yang berasal dari Johor, Exists mempunyai hubungan istimewa dengan negeri tersebut yang menjadi sebahagian daripada sejarah awal pembentukan dan perjalanan muzik mereka. Justeru, judul Pulang bukan sekadar nama sebuah konsert, sebaliknya membawa simbolik kepulangan kepada tempat asal serta penghargaan terhadap perjalanan yang telah membentuk identiti Exists sehingga dikenali seperti hari ini.
Konsert ini turut membuka peluang kepada peminat dari Johor dan negeri-negeri berdekatan untuk menyaksikan persembahan Exists secara langsung, sekali gus meraikan karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik popular tempatan.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket ditawarkan menerusi enam kategori harga iaitu Janji Padamu (CAT 4) berharga RM98, Julia (CAT 3) RM138, Bunga (CAT 2) RM168, Jesnita (GA) RM149, Alasamu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.
Tiket boleh didapati menerusi platform jualan rasmi MyTicket Asia di https://myticket.asia/ bermula 2 November 2026, jam 10 pagi. Konsert ini turut mendapat sokongan ERA FM dan SINAR FM sebagai radio rasmi.
#ExistsPulangLiveInJB
0 Comments