Aksi Jackie Chan Dalam Filem "A Legend" Ubat Rindu Peminat! Jackie Kembali Muda Dengan Kuasa A.I. Teknologi!


KUALA LUMPUR, 27 Julai 2024  - Bintang legenda dari Hong Kong, Jackie Chan yang cukup terkenal dengan aksi dan seni bela diri memukau, membuktikan dirinya masih kekal relevan pada usia 70 tahun apabila kembali menggegarkan industri filem menerusi naskhah terbaharu berjudul A Legend.

Bakal memasuki pawagam tempatan tidak lama lagi, sekuel filem The Myth yang diterbitkan pada 2005 itu menyaksikan karya ‘berani mati’ daripada Jackie Chan apabila menampilkan aksi seni bela diri lebih mencabar dan menarik untuk ditonton.

Bukan itu sahaja, unsur pengembaraan dan fantasi yang diselitkan dalam filem A Legend dilihat berpotensi menjadi antara naskhah terbaik tahun ini disebabkan kelainan ditampilkan berbanding filem aksi lain.


Jika dibandingkan dengan beberapa filem aksi lain yang pernah dijayakan Jackie Chan, A Legend juga tidak boleh dinafikan kehebatannya  apabila menampilkan sisi berbeza aktor tersohor yang sudah enam dekad membawa diri dalam industri perfileman itu.

Rata-rata penonton di negara itu memuji naskhah berkenaan selepas terpukau dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) diketengahkan yang menjadikan wajah Jackie Chan kelihatan lebih muda berbanding usia sebenarnya.

Kehangatan filem A Legend terus dirasai apabila penonton tempatan menyatakan rasa tidak sabar untuk menontonya sebaik terpukau dengan trailer yang dimuat naik di media sosial.


A Legend yang mendapat sentuhan magis daripada pengarah The Myth iaitu Stanley Tong berkisar Profesor Fang lakonan Jackie Chan iaitu seorang pakar arkeologi, menyedari bahawa tekstur pada artifak yang ditemui oleh pelajarnya semasa ekspedisi Glasier sangat mirip dengan loket jed yang pernah dilihat dalam mimpinya.

Loket itu menghubungkan alam mimpi dengan realiti. Dengan penuh rasa ingin tahu, Profesor Fang mengetuai pasukan penyelidik dalam perjalanan jauh ke Kuil Glasier, untuk mencari kebenaran di sebalik impiannya. Mereka memulakan pengembaraan hebat bersama-sama.

Sebagai mengikut trend Kecerdasan Buatan (AI), filem A Legend tidak terlepas daripada memanfaatkan teknologi berkenaan dalam sebahagian daripada proses pembikinannya bagi memberikan hasil luar biasa seiring dengan ledakan teknologi masa kini.


Sudah pasti, filem terbitan bersama Bona Film Group dan Shanghai Lix Entertainment itu menampilkan visual lebih mengagumkan, secara tidak langsung membuktikan naskhah terbaharu itu dihasilkan dengan mengikut peredaran teknologi  masa kini bagi mencipta konsep penceritaan lebih menarik.

Perubahan wajah Jackie Chan yang nampak lebih muda dengan janaan AI menerusi filem itu menghadirkan keterujaan kepada penonton dengan kelainan yang di bawa. Penonton juga berpeluang melihat babak aksi yang diketengahkan secara lebih dinamik.


Walaupun wajah Jackie Chan yang diperbaharui secara digital menjadikan usianya tampak muda, pemandangan medan perang yang hebat dengan menampilkan lebih 10,000 kuda perang berlari di padang rumput luas tetap dirakamkan secara asli.

Sebahagian besar penggambaran filem yang antaranya dijalankan di daerah Zhaosu dalam wilayah autonomi Xinjiang Uygur itu masih menggunakan kaedah konvensional.

Treler Rasmi Jackie Chan Filem "A Legend" (2024)

Filem berbahasa Kantonis dan Mandarin itu juga membariskan pelakon handalan lain seperti Lay Zhang, Na Zha, Aarif Lee, Li Chen, Peng Xiaoran serta Zheng Yecheng yang menjadikan naskhah itu lebih memberi impak dalam pelbagai aspek. 

Sudah ditayangkan secara rasmi di China pada 12 Julai lalu, filem A Legend meraih pelbagai maklum balas positif daripada penonton yang terpukau dengan aksi serta lakonan ditampilkan Jackie Chan.

Post a Comment

1 Comments

  1. nampaknya AI ni betul betul buat artis jadi muda. lagi lagi ada jackie chan

    ReplyDelete